Rencana
Article
. .

Antara Jabar, Mastar dan Engku Sulaiman

Saya hormati permintaannya agar pertemuan itu tidak dibuat di rumahnya sebaliknya di rumah ibubapanya di Kampung Datuk Keramat. Cukuplah dia dan bapanya Datuk Hassan Azahari yang menjadi perhatian ramai. Dia tidak mahu mengheret keluarganya di depan lensa kamera pihak media. Setiba di rumah Datuk Hassan Azahari, Jalaludin Hassan sudah pun menanti kehadiran kami sebagai memenuhi janjinya untuk ditemubual walaupun sedang sibuk dengan penggambaran drama Doa arahan Rashid Sibir. Seronok berbual dengannya ditemani empat orang anak buahnya.

Dalam Sayang Salmah, dia memegang watak Jabar; guru lulusan sekolah Inggeris yang menyokong pentadbiran kolonial; Jabar yang kecewa dengan penangkapan anaknya Hassan, anggota Persatuan Melayu Johor yang menentang Inggeris. Wataknya yang kecil dalam Sayang Salmah tidak mengizinkannya membuktikan kemampuan sebagai pelakon tetapi dia suka kepada body language Jabar.

Begitu juga sebagai Mastar dalam Johnny Bikin Filem. Mastar seorang gangster kecil dalam dunia gangsterisme Towkeh Wong, Towkeh Fong dan Johnny. Watak Mastar dirasakan janggal kerana bertentangan dengan sikapnya yang lembut dan penyayang. Jika diberi kesempatan, dia ingin mengulangi lakonannya itu dan menjiwai watak Mastar serta membuang kejanggalan yang bersarang.

Hanya watak Engku Sulaiman dalam Jimmy Asmara dirasakan paling serasi dan banyak persamaan dengan dirinya. Engku Sulaiman yang penyabar, penyayang dan tergolong dalam kelas bangsawan memudahkan penghayatannya tetapi keserasian itu masih tidak memberi kepuasan yang mutlak kepadanya.

Watak Jabar, Mastar dan Engku Sulaiman menuntut komitmen yang bersungguh-sungguh kerana pemikiran watak yang didukungnya dicorakkan oleh tiga pengarah yang berbeza. Bekerja dengan tiga pengarah filem period yang berbeza memberinya banyak pendedahan dalam lakonan filem. Baginya, ketiga-tiga pengarah itu ada kelebihan masing-masing. Mahadi ada falsafah sendiri dan tidak banyak bezanya dengan Dr. Anuar manakala Erma lebih banyak ke arah komersial. Bagi Jalaludin, filem period semakin digemari oleh pengarah kerana mungkin dapat mengimbas nostalgia dan menyampaikan mesej tertentu kepada penonton.

"Contohnya dalam Sayang Salmah. Mahadi cuba mengimbas asal-usul kita sebelum kemerdekaan. Ramai generasi muda yang tidak tahu kesusahan orang dulu untuk dapatkan kemerdekaan. Dalam Jimmy Asmara dan Azizah The Legend pula, kita dapat tengok macam mana orang dulu bercinta. Nak jumpa buah hati pun terpaksa sembunyi-sembunyi dan hantar surat pun sembunyi bawah pasu."

Jalaludin mengakui filem period melibatkan kos yang tinggi dan sukar dari segi setting seperti dalam filem Johnny Bikin Filem.

"Dr. Anuar amat particular tentang set kerana baginya set yang gagal adalah set yang mati. Sungguhpun saya tidak punyai banyak masa berbincang lama dengannya untuk Johnny Bikin Filem kerana terlibat juga dengan XX Ray II, banyak yang saya pelajari darinya. Saya tak pernah bertemunya sebelum Johnny tapi saya rasa walaupun dia orang beru dalam pengarahan, dia profesional dalam tugas. Ilmu yang ada padanya dipraktikkan sepenuhnya. Dia kreatif dan melaluinya saya belajar the correct approach of an actor. Berlakon bukan setakat menghafal dialog. Ia datang dari dalam diri. Kalau dalaman kosong, macam mana nak lontarkan perasaan?"

Sungguhpun Jalaludin bekerja dengan krew pelajar dalam Johnny Bikin Filem, dia merasakan mereka dapat melakukan tugas dengan baik dan menjaga kebajikan pelakon yang terlibat - antaranya Erma Fatimah, Wafa A. Kadir dan M. Amin. Dia memahami masalah kewangan yang sentiasa menghantui Dr. Anuar, para pelakon dan krew tetapi tidak menganggapnya satu halangan untuk terus mendukung watak Mastar dan mendapatkan ilmu dari Dr. Anuar.

Jalaludin sebenarnya tidak pernah bercadang untuk terjun ke layar perak pada usia yang sudah mencecah 40 tahun tetapi tawaran Ahmad Fauzee mengubah fikirannya. Dia menerima lamaran Fauzee untuk mengembalikan nostalgia kegemilangan Allahyarham P. Ramlee dan membuktikan keupayaannya mendukung watak Husin yang dahulunya dilakonkan oleh Yusof Latif.

"Saya kurang bersetuju dengan usul Fauzee supaya saya belajar cara lakonan Yusof Latif dalam Panggilan Pulau sebab saya tak mahu terikut-ikut dengan lakonan Yusof. Apa yang saya buat ialah kaji cara pemikiran Yusof dan tindakannya. Dari segi pergerakan lakonan, saya buat sendiri. Ramai yang puji lakonan saya dalam Panggilan Pulau tapi saya kecewa dengan kegagalan filem itu."

Kegagalan Panggilan Pulau menyebabkan Jalaludin mengambil keputusan menarik diri daripada lakonan filem tetapi kesungguhan Aziz M. Osman berjaya mengubah hatinya. Aziz berulangkali menghubunginya di rumah tetapi ketika itu dia masih kecewa dan sengaja mengelakkan diri daripada Aziz. Hanya setelah pertemuan empat mata dengan Aziz, dia menerima tawaran membintangi XX Ray II sebagai Hang Tuah.

Setelah membintangi Panggilan Pulau, XX Ray II, Johnny Bikin Filem, Sayang Salmah, AWAS dan Jimmy Asmara serta drama televisyen, Jalaludin masih cuba menghalusi lakonannya dan menanamkan azam untuk menjadi pelakon yang berkarektor. Kesempatannya bergiat dalam teater bersama kumpulan teater Hidayah memberinya peluang mengasuh bakat lakonan, mencari pengalaman dan menguji kebolehan.

"Teater memberi kita peluang untuk perbaiki kelemahan diri. Bermula daripada hari pertama latihan sehinggalah tiba hari pementasan, kita ada banyak masa untuk develop lakonan. Konsentrasi penting dan terpulanglah pada kita sama ada akan jadi hero di pentas atau jadi badut yang ditertawakan penonton. Berbeza dengan drama. Bila pengarah kata cut! mood mungkin akan terjejas dan kadang-kadang susah nak kembalikan mood tadi. Bagi saya, bukan senang nak berlakon tapi kalau ada yang kata berlakon itu senang, saya teringin nak jumpa orang itu dan belajar darinya."

Baginya, peluang beraksi dalam teater Jebat (versi Inggeris) sukar dilupakan kerana itulah kali pertama dia berlakon di bawah arahan Rahim Razali. Rahim banyak mengajar para pelakonnya cara mendisiplinkan diri dan para pelakon diberikan peluang untuk berbincang tentang watak yang didukung. Sewaktu perbincangan, setiap pelakon akan ditanya tentang kefahaman mereka terhadap sejarah Melaka untuk dikaitkan dengan lakonan.

Apabila ditanya tentang rancangan masa depannya, Jalaludin merenung jauh, seolah-olah merenung masa depannya dalam dunia lakonan secara sepenuh masa.

"Saya tidak mahu menipu diri sendiri. Setelah berbincang dengan keluarga dan adik-beradik, saya ambil keputusan berhenti kerja dua tahun lalu dan tumpukan perhatian pada lakonan. Insya Allah dalam tempoh beberapa bulan akan datang, saya ingin cuba bidang pengarahan," tegasnya.

"Selagi bakat yang ada pada saya belum ditarik balik olehNya, saya akan guna sebaiknya. Apa yang penting, kita tidak lupa diri dan hidup ini mesti ada pedoman. Saya harap drama dan filem Melayu dapat diterima oleh semua bangsa."

Oleh : Fadilah Abdullah
Sumber : Smash Times, January 1996

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000