![]() |
Rencana Article |
. | . |
Namanya dulu cukup dikenali dalam filem komedi Mekanik. Filem yang mempopularkan dirinya dalam dunia seni penuh glamor.
Namun, dia tidak bertahan lama untuk meneruskan kariernya, lantas terus menyepikan diri selepas itu.
Kini, bekas pelakon, Azmil Mustapha kembali semula, tetapi tidak lagi dalam dunia artis yang pernah dilaluinya.
Azmil kini dianggap seorang usahawan berjaya. Malah melihat daripada perwatakannya, ia meninggalkan jurang perbezaan cukup ketara dengan identitinya dulu ketika dalam dunia seni.
Dunia seninya dilemparkannya jauh-jauh, malah bekas pelakon itu mahu melupakan terus dunia yang pernah mengangkat popularitinya.
Perwatakannya kini lebih tenang. Azmil sekarang menumpukan bidang perniagaannya dengan memiliki syarikat sendiri yang berkonsepkan keislaman. Syarikatnya diberi nama Taat Suci Sdn. Bhd.
Syarikatnya itu menawarkan produk-produk baru gaya kehidupan bercirikan Islam kepada pelanggan-pelanggannya.
''Hati saya berdetik untuk mencurahkan khidmat saya kepada masyarakat Islam. Ia menjadi inspirasi saya selama ini meletakkan semua usaha dan sumber-sumber yang ada untuk tujuan itu,'' katanya.
Azmil juga mengakui dia bukanlah orang yang paling layak bercakap mengenai Islam apatah lagi sebagai penceramah.
Tetapi, katanya, sekurang-kurangnya dia mahu memilih mana yang terbaik dilakukannya untuk masyarakat Islam.
Syarikatnya juga turut mengadakan kerjasama dengan syarikat CaliphWorld Kuala Lumpur yang dilantik untuk memperkenalkan produk-produk syarikatnya kepada masyarakat Islam antarabangsa.
''Bukan mudah untuk mempromosikan kehidupan Islam di Barat yang dibayangi oleh budaya mereka. Jadi saya akan tetap berjuang atas apa yang kami pegang,'' ujarnya.
Tidak seperti dunia seni yang ditinggalkannya dulu, Azmil kini lebih banyak menekankan produk-produk, gaya hidup dan memperkatakan falsafah Islam.
Sumber : Utusan Online 9/7/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |