Rencana
Article
. .

Karim Latiff pelakon berwatak bengis

Seseorang pengarah mempunyai sebab tertentu untuk membentuk karakter pelakon yang mereka ketengahkan di dalam sesebuah filem berdasarkan kesesuaiannya.

Pelakon watak jahat misalya mempunyai karakter yang tersendiri seperti bermisai tebal, berwajah bengis atau berbadan tegap.

Kerana memiliki perawakan sedemikian pelakon veteran Karim Latiff cukup terkenal kerana sering membawakan watak jahat, kaki pukul, pengkhianat dan sebagainya.

Lazimnya pelakon watak jahat tidak banyak peminat berbanding pelakon yang ditampilkan sebagai hero atau heroin yang selalu dipuja dan disanjung.

Nama Karim mungkin tidak dapat dilupakan kerana keberkesanan lakonannya filem Dayang Suhana terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) pada akhir tahun 70-an.

Dia berlakon sebagai seorang suami yang tidak bertanggungjawab dan mengabaikan rumahtangga serta ingin mengongkong bekas isteri.

Dan sehingga hari ini Karim masih lagi memenuhi undangan berlakon drama tempatan tetapi membawakan watak yang agak ringan berbanding semasa zaman mudanya dulu.

Karim yang tinggal di Cheras, Kuala Lumpur itu juga banyak menghabiskan masa di rumah sekiranya tidak mempunyai undangan berlakon.

Walaupun wataknya di dalam filem-filem sebagai seorang yang bengis dan jahat namun di luar filem, dia sebenarnya sering berjenaka.

Namun wajah bapa kepada lima orang anak itu masih lagi kelihatan sebagaimana di dalam filem dengan mengekalkan imej bermisai tebal.

Sehingga kini Karim telah berlakon 20 buah filem dan lebih 100 buah drama TV selain daripada drama radio.

Menceritakan kemunculan awalnya, Karim sebenarnya mempunyai minat dalam bidang nyanyian. Dia pernah mengadakan persembahan bersama sebuah pancaragam. Pada masa yang sama dia juga turut berlakon dalam bangsawan yang ditubuhkan di kampungnya, di Klang, Selangor.

Kemudian hasil penglibatan di peringkat kampung itu membawanya bertemu A.R Tompel yang mengadakan persembahan bangsawan di Klang, tempat tinggalnya semasa remaja.

Kemudia mengikuti rombongan Sandiwara Kenchana sebelum bertukar kepada Booty Surya Negara yang dipimpin oleh Kasma Booty.

Penglibatan sebagai pelakon bangsawan berlangsung selama tiga tahun sekitar tahun 1953 hingga 1956. Pada tahun 1957 dia ke Singapura untuk mencuba nasib sebagai pelakon.

Daripada pelakon tambahan dia akhirnya muncul sebagai seorang pelakon terkenal. Antara filem lakonannya ialah Ahmad Albab, Keluarga 69, Masam Masam Manis, Lain jalan Ke Syurga, Amuk Tok Nadim, Anak Bapa dan Kancan Tirana.

Dia juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Lakon Pentarama Jabatan Penerangan Malaysia dan pernah membimbing penyanyi baru seperti Jamal Abdillah, Jamilul Hayat, Norsheila Amin, Liya, Zieha, Sharifah Mona, Shidee dan banyak lagi.

Sumber : Utusan Online 2/6/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000