![]() |
Rencana Article |
. | . |
Nama Noorkumalasari mungkin tidak dilupakan oleh peminat seni tanah air walaupun dia
tidak lagi aktif dalam dunia lakonan.
Pelakon yang pernah memuncak namanya pada suatu ketika dulu, sering menarik perhatian
ramai dengan penampilan berbeza dalam karier seninya.
Bahkan, dunia peragawati, bidang yang diceburinya sebelum ke dunia lakonan banyak mempengaruhinya dalam kehidupan dunia artisnya. Noorkumalasari juga terkenal dengan penampilan gaya fesyen yang lain daripada apa yang dibawakan oleh orang lain.
Bagaimanapun, sejak meninggalkan dunia lakonan, gaya fesyen dan personalitinya berubah sama sekali.
Kini, pada usia menjangkau 43 tahun, Noorkumalasari atau lebih senang dipanggil Noor
lebih memberi tumpuan pada keluarga.
Noor meninggalkan dunia seni sejak tiga tahun lalu apabila tidak lagi menerima tawaran
berlakon, walaupun masih diburu pengarah drama dan filem sehingga kini.
''Saya banyak menerima tawaran daripada pengarah untuk berlakon,'' katanya yang kini memakai tudung.
Malah, katanya lagi, walaupun personalitinya berubah sama sekali, pengarah tetap mahukan dia untuk berlakon dalam drama atau filem mereka.
Namun, bagi pelakon itu, dia tetap memilih untuk tidak berlakon lagi buat masa ini.
''Saya tidak dapat memberi komitmen kerana tidak sanggup untuk meninggalkan anak-anak saya untuk tujuan berlakon,'' kata Noor yang masih peramah.
Bagaimanapun, ujar Noor lagi, dia sendiri tidak pernah mengatakan dirinya bersara, sebaliknya belum sedia untuk kembali berlakon kerana mahu memberi perhatian kepada keluarga.
Noor juga memberitahu, suaminya tidak pernah memaksanya membuat keputusan berhenti berlakon sebaliknya kesedaran datang dalam dirinya.
Tambahnya, walaupun telah meninggalkan bidang lakonan, namun dia tidak pernah merasa rindu pada dunia itu kerana dia telah melalui segala liku dalam lakonan.
Ditanya mengenai pilihan kerjaya sebagai pelakon, kata Noor, dia tidak pernah berasa kesal apabila memilih bidang lakonan sebagai kariernya.
Malah, katanya, melalui pelbagai watak yang dibawakannya dalam filem dan drama, ia sebenarnya banyak memberikan pengajaran apatah lagi sekiranya melakonkan watak wanita solehah.
''Apabila kita melakonkan watak baik-baik, sebenarnya apa yang dilakonkan itu meresapi ke dalam diri kita,'' katanya lagi.
Walaupun banyak pihak dan peminat mengakui lakonan Noor di filem meninggalkan kesan dan dianggap terbaik, namun dia tidak berkesempatan menerima trofi di sebarang festival filem.
''Saya tidak terkilan walaupun berhenti berlakon dan tidak pernah mendapat anugerah kerana ada yang mengatakan saya telah melakukan yang terbaik,'' kata Noor.
Malah, kata Noor, dia berpendapat ada baiknya terus mengekalkan apa yang ditanggapkan oleh peminat terhadap dirinya itu.
''Barangkali apabila menerima anugerah, seseorang menganggap pelakon mula meminta bayaran lebih dan sebagainya,'' ujarnya.
Walaupun tidak mendapat anugerah di filem, namun Noor pernah menerima tiga trofi menerusi lakonan drama.
Oleh : Rosli Manah
Sumber : Utusan Online 18/9/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |