![]() |
Rencana Article |
. | . |
Kekecewaan telah membuatkan pelakon popular Ramona Rahman beralih haluan ke bidang yang tidak menonjolkan dia sebagai personaliti. Malah kekecewaan juga semacam mencabar Ramona untuk meneroka bidang yang lebih sukar iaitu menerbitkan rancangan untuk siaran TV.
Ramona yang suatu ketika dulu mencetuskan kontroversi kerana melakonkan adegan bercium dalam teater A Streetcar Named Desire cukup kecewa dengan kritikan yang bertalu-talu dilemparkan kepadanya.
Kemudian diikuti dengan kemunculannya dalam filem Amok arahan Adman Salleh yang memegang watak sukarelawan Amerika yang datang ke negara ini.
Menerusi watak itu, Ramona menjadi penggerak cerita kerana menggoda anak muda tempatan dengan budaya hippies dan seks bebas.
Akibatnya filem Amok diharamkan daripada tayangan bagaimanapun dibenarkan kemudian dengan potongan beberapa adegan yang dianggap tidak sesuai untuk penonton negara ini.
Kerana keadaan yang kurang menyenangkan itu, Ramona mengambil keputusan nekad untuk menceburi bidang lain yang dirasakan lebih menghargai bakat dan usahanya.
Ramona bertindak matang dan tidak menyalahkan sesiapa sebaliknya mengambil jalan sendiri untuk keluar daripada kemelut dan tanggapan negatif sesetengah pihak terhadapnya.
''Saya rasa bosan apabila sering dikritik. Saya berlakon teater A Streetcar Named Desire dikritik, kemudian berlakon dalam Amok juga tidak disenangi kerana watak Amerika,'' tegas Ramona yang kini menjadi Pengerusi Articulate Television Sdn Bhd.
''Saya mengambil keputusan mengakhiri ka-rier lakonan buat sementara dan beralih ke arah lain. Saya cintakan industri seni dan saya masih mahu bergiat dalam bidang ini cuma dari jurus yang lain,'' tambahnya.
Menurut Ramona, dengan melibatkan diri dalam bidang penerbitan dia merasakan sumbangannya lebih dihargai daripada menjadi artis yang ada ketikanya hilang kebebasan sebagai orang biasa.
''Malah ada ketika itu, saya juga bertanya sampai bila saya mahu berlakon dan melakukan perkara yang sama,'' ujar Ramona yang mula bergiat dalam bidang penerbitan sejak tahun 1995.
Articulate Television sebelum ini telah menghasilkan rancangan bersiri untuk kanak-kanak dan bercorak permainan seperti Lingo, Kanak Kanak Kilat, Kosa Kata, GoldQuest, Metro Chart Show, Pintar Pintas dan Get, Set...Go The Commonwealth Games Show.
Terbaru daripada syarikat ini ialah rancangan berbentuk majalah iaitu i. Golf yang disiarkan pada setiap Selasa pukul 6 petang di TV2.
Katanya, buat masa ini dia tidak memikirkan untuk kembali ke bidang lakonan kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap syarikat penerbitan tersebut.
Ujar Ramona, pembabitannya dalam bidang tersebut juga sebenarnya sebagai satu usaha untuk membuktikan yang dia tidak bergantung kepada orang lain untuk memajukan dirinya.
''Saya tidak boleh bekerja sekiranya saya terpaksa memikirkan perkara lain yang juga memerlukan tumpuan daripada saya. Saya hanya boleh menumpukan perhatian kepada satu perkara dalam satu-satu masa,'' ujar pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Fenomena.
Menurut Ramona, dia mempunyai cita-cita besar untuk membawa produk Articulate ke peringkat antarabangsa dan menempatkan syarikat itu sendiri di peringkat yang tinggi.
''Saya serius dengan tugas saya untuk membawa Articulate ke luar negara. Bagi saya, jika ingin kejayaan di dalam negara, semua produser boleh melakukan perkara tersebut. Tetapi untuk membawa syarikat dan produk ke peringkat antarabangsa bukan satu tugas mudah,'' ujar Ramona.
Menurutnya, jika ditakdirkan Articulate sudah mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa, mungkin ketika itu dia akan mula memikirkan untuk kembali ke bidang lakonan.
''Saya akan kembali semula dalam bidang lakonan ini tetapi bukan masa ini. Tambahan pula usia bukanlah penghalang untuk menjadi pelakon yang baik,'' ujarnya.
Oleh : Nor Asikin Hassan
Sumber : Utusan Online 22/9/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |