![]() |
Rencana Article |
. | . |
"Maaf tuan... saya mancis tak ada walaupun tuan tuduh saya kaki bakar''.
Demikian petikan dialog dari teater kedua U-Wei Haji Saari, Main Api yang berlegar pada persoalan yang bernada protes, sinis dan marah.
Elemen api iaitu simbol marah dan protes ini adalah kelangsungan daripada filem Kaki Bakar yang dianggap oleh pengkaji dan pengkritik bukan sahaja bermutu malah cukup tajam protesnya.
Main Api diadaptasi dari Fire Starter karya Max Frisch tahun 1958 merupakan naskhah yang berbentuk ''farce'' atau komedi karut tetapi melucukan.
''Marah saya mungkin belum habis,'' kata U-Wei penuh makna pada pelancaran teater itu yang dilakukan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan Datuk Tengku Alaudin Majid di Matic, Jalan Ampang Jumaat lalu.
Menurut U-Wei yang mengakui dirinya sebagai 'mualaf teater', api adalah bahan kajiannya yang tidak pernah selesai.
Sebelum ini dia pernah mengutarakan Kaki Bakar yang meletakkan elemen api sebagai metafora kemarahan dan protes sehingga karya itu ditolak oleh stesen TV tempatan.
Bagi U-Wei, api membawa maksud yang pelbagai dan mungkin boleh diertikan kepada kemarahan, pertentangan dan sebagainya.
''Main Api memberi saya satu perasaan yang tergamam. Kalau kita menyalahgunakan api, ia mungkin membawa satu keadaan yang berbeza sifatnya,'' ujar U-Wei.
Sebelum ini dia mengarahkan teater Bakai yang diadaptasi dari karya Euripides, The Bacchae iaitu sebuah karya klasik Greek.
Mengenai kecenderungannya mengadaptasi karya-karya dari luar, U-Wei menjelaskan, dia mahu teater Malaysia kaya dengan nilai dan sifat yang sejagat.
''Tidak ada salahnya mengadaptasi nashkah luar jika ia lebih bersifat sejagat kerana nashkah teater harus hidup dan membiak di tempat tertentu,'' ujar pengarah filem yang mencatatkan nama di luar negara ini.
''Kalau membawa nashkah tempatan, kita akan 'mengkampungkan' nashkah kita. Saya lebih suka kalau jiwa kita menjadi besar dan sejagat,'' tegas U-Wei.
Katanya, karya bukan dinilai kerana stail tetapi pendekatan mengemukakan daya fikir kepada penonton.
''Karya adaptasi dibentuk oleh kita sendiri kerana ia bukan menyalin tetapi proses interaksi antara penulis asal, penulis adaptasi dan akhirnya pengarah. Ia melahirkan sebuah karya baru yang bersifat tempatan dalam konteks yang lebih sejagat,'' ujar U-Wei yang menulis skrip adaptasi tersebut.
Menurut U-Wei, menerusi Main Api, dia mahu menyelak persoalan utama mengenai salah satu sifat manusia yang tidak mahu berdepan dengan masalah.
U-Wei memberitahu, Main Api adalah satu kebanggaan kepadanya kerana berjaya menggabungkan dua nama besar dalam bidang teater iaitu Ahmad Yatim dan Khalid Salleh.
''Gabungan ini saya fikir cukup menarik kerana mereka belum pernah bertemu dipertemukan di pentas teater,'' ujar U-Wei.
Main Api juga mengemukakan pelakon teater generasi baru seperti Melissa Saila, Adlin Aman Ramlie, Sobri Anuar Tarmizi dan Ijoy Azhari.
Kata U-Wei, semua tenaga kerja yang terlibat dalam Main Api membantu kepada kejayaan pementasannya kelak.
Para pelakon lain yang terlibat dalam teater itu ialah Rominah Sidek dan Istina Jafri. Selain mereka, kumpulan korus yang mengiringi pementasan selama satu setengah jam itu ialah Azizah Mahzan, Mohd Arif Waran, Lai Siau Fwei, Abdul Sham Abd. Razak dan Mohd Nazar.
Mengenai ketiadaan bintang-bintang popular dalam teater ini untuk menarik penonton, U-Wei hanya berkata, ''Teater Malaysia perlu membiak dan membesar secara jujur.''
Pementasan ini diterbitkan oleh Gambar Tanah Licin Sdn. Bhd. dan Actual Plan Sdn. Bhd. Ia akan dipentaskan di Panggung Eksperimen, Kompleks Budaya Negara (KBN) selama seminggu mulai 7 Ogos.
Main Api mengisahkan seorang ahli perniagaan Wan Syukur Wan Abdullah serta isterinya Hamidah yang dikunjungi oleh Seman Ali.
Seman Ali ialah ahli gusti yang lurus bendul dan disyaki seorang kaki bakar yang sedang bermaharajalela membakar bandar si situ.
Bagaimanapun, Wan Syukur takut untuk menghalau Seman sebaliknya sanggup hidup dengan menipu diri sendiri walaupun dia ada bukti tentang niat tetamu yang tidak diundang itu.
Sumber : Utusan Online 28/6/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |