Rencana
Article
. .

Vanida mengutip pengalaman di pentas

Vanida Imran Pelakon Vanida Imran tidak pernah menganggap populariti sebagai tiket atau jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam lakonan di pentas.

Pengalaman terlibat dalam beberapa pementasan teater sebelum ini membuktikan bahawa dia memulakan dari bawah sekali pun pernah berlakon di TV dan filem.

Malah tambah mencabar lagi apabila muncul dalam teater perdana Keris Sang Puteri arahan Datuk Rahim Razali yang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kerana itu dia tidak mahu ada yang menganggap pelakon filem ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dalam lakonan di pentas teater.

Malah Vanida menganggap kemunculannya dalam Keris Sang Puteri adalah sebagai salah satu daripada sekian banyak proses pembelajaran yang terpaksa dilalui oleh pelakon teater.

Kata Vanida, pengalaman dalam lakonan di filem tidak sama dengan pentas yang bukan saja berdepan secara langsung dengan penonton malah perlu berlakon dalam suasana dan emosi yang berbeza-beza dalam tempoh dua jam teater berkenaan dipentaskan.

Di teater bagi Vanida, seseorang pelakon harus belajar dari bawah walaupun mereka telah memiliki nama yang popular dalam drama dan filem.

Vanida mengakui dia terasa cukup kerdil apabila berada di pentas teater kerana kurang pengalaman tetapi masa yang sama dia melengkapkan melalui proses pembelajaran.

Ini semua untuk memastikan agar dia tidak ditenggelami oleh pelakon teater yang mempunyai kekuatan tersendiri khususnya di segi vokal.

''Berlakon teater sebenarnya memberi satu proses baru kepada pelakon filem untuk membaiki kekurangan diri,'' katanya.

Dalam teater Keris Sang Puteri, Vanida bukan saja perlu berlakon malah menyanyi, menari dan bersilat yang tidak pernah dilakukannya dalam lakonan drama.

''Saya belajar menari dan bersilat untuk menjayakan watak yang saya bawakan,'' jelasnya lagi.

Vanida mengakui, di pentas teater cabaran besar yang menanti ialah untuk mengekalkan mood sepanjang pementasan berlangsung. Berlainan dengan lakonan di drama yang melalui proses suntingan dan boleh diulang sekiranya melakukan kesilapan.

Untuk itu dia memberi sepenuh tumpuan pada teater pertama yang dipentaskan di Istana Budaya itu, kata Vanida lagi.

''Saya terpaksa menolak tawaran berlakon drama untuk memastikan apa yang saya lakukan di pentas teater memberikan kepuasan pada saya,'' ujar Vanida.

Dia tidak mahu hadir tanpa persediaan rapi dan tidak mempunyai cukup latihan kerana segala kelemahan akan terlihat oleh penonton, jelasnya. Dia juga berpendapat pelakon filem atau drama yang ingin mencuba bidang teater harus mengorbankan rasa glamor buat sementara waktu.

Sekiranya mereka hadir dengan bangga diri kerana telah popular mereka akan ketinggalan dan tidak banyak yang dapat dipelajari.

Oleh : Rosli Manah
Sumber : Utusan Online 21/9/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000