![]() |
Rencana Article |
. | . |
Ada satu perkara dalam diri pengarah filem terkenal Yusof Haslam yang membuatkan dia terus dikagumi oleh hampir sebilangan besar peminat setia filem Melayu.
Perkara istimewa itu ialah dia tidak pernah mengambil kira apa sahaja yang diperkatakan oleh masyarakat mengenai dirinya, tatkala dia muncul dengan filem-filem berunsur cinta dan remaja.
Katakan apa sahaja kepadanya, kritiklah bagaimana cara sekalipun, dia tetap dengan pendirian tegasnya iaitu menghasilkan filem yang menuntut kehendak dan cita rasa masyarakat.
Lantaran itu, apabila Pancaindera bertemu dengannya di kediamannya baru-baru ini, Yusof sekali lagi dengan tegas menyuarakan dia tetap akan terus berjuang mempertahankan filem Melayu di bumi Melayu.
Dalam pertemuan itu, Yusof yang sememangnya dikenali dengan sikap tegas ketika berbual dengan pihak media menjelaskan, dia masih yakin peminat filem Melayu ada di negara ini.
"Saya ingin tegaskan saya bersama karyawan lain akan meneruskan perjuangan menghasilkan filem Melayu. Biar filem itu bertema cinta, remaja atau muzikal jangan lagi ada pihak yang mempertikaikannya.
"Ini kerana semua pihak harus menerima hakikat bahawa filem yang berunsur sedemikian rupa lebih diterima ramai,'' katanya tegas penuh makna.
Menurut pengarah yang turut dikenali sebagai The Six Million Dollar Man ini juga, sebagai pembikin filem dia bersikap jujur dalam berkarya kerana memenuhi kehendak peminat dan pencinta filem Melayu.
Kata Yusof, dia tidak mahu menipu penonton filem Melayu dan sama sekali enggan membiarkan penonton yang membeli tiket untuk menonton filem arahannya merasakan mereka membuat pelaburan yang merugikan ketika menonton filemnya.
Dalam hal ini Yusof menjelaskan, adalah menjadi tanggungjawab pengarah dan penerbit menghidangkan sesuatu yang bersifat memenuhi kehendak penonton.
Ditanya apakah reaksinya pula bila ada segelintir pihak yang kurang senang dengan caranya yang selalu menyogokkan filem bertemakan cinta dan muzikal seperti mana filem-filem Hindi, Yusof memberitahu, terpulang kepada mana-mana pihak untuk menterjemahkan pandangan mereka.
"Saya tahu apa yang saya buat untuk penonton filem Melayu. Saya tidak pernah menghasilkan rubbish film... terpulang kepada sesiapa sahaja untuk menterjemahkan pandangan mereka tentang karya saya,'' ujarnya sambil tersenyum penuh sinis.
Kata Yusof lagi, sebab dia menyatakan sedemikian adalah kerana, berdasarkan daripada reaksi yang diterimanya menunjukkan banyak pihak yang masih gemar menonton filem terbitan dan arahannya termasuk juga golongan korporat.
"Ini lebih meyakinkan saya dan terus memberi sokongan padu untuk saya lebih berkarya pada masa depan,'' katanya lagi.
Sebagai meneruskan usaha syarikat produksinya Skop Productions dalam memastikan filem Melayu terus 'hidup', Yusof bakal mengarahkan sebuah lagi filem yang tidak terlepas daripada unsur-unsur komersialnya tidak lama lagi.
Filem berjudul Pasrah, kata Yusof, dijangka akan mengubat kerinduan peminat seni terhadap lakonan Erra Fazira yang memegang watak utama selain Norman Hakim, Abby Abadi, Zamani Slam, Aleeza Kassim dan ramai lagi.
Menurut Yusof, Pasrah akan menjalani penggambaran bermula 13 Jun ini dengan lokasi seperti Cameron Highlands dan sekitar Kuala Lumpur.
Yusof juga sekali lagi akan bekerjasama dengan pihak Grand Brilliance Sdn. Bhd. untuk menghasilkan Pasrah yang menyingkap suka-duka kehidupan seorang model terkenal.
Sumber : Utusan Online 6/6/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |