![]() |
Rencana Article |
. | . |
Peranan jurukamera amat penting bagi menjayakan penerbitan sesebuah filem. Bagi dunia perfileman tempatan, nama Bada atau Badaruddin Azmi memang tidak asing lagi. Hasil kerjanya sudah lama terbukti dan terbaru, dia memberikan sinematografi yang hebat bagi filem Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman bersama A. R. Sulaiman. Ikutilah wawancara terbaru Ellyna Ali bersama Bada, baru-baru ini.
Bagaimana anda mendapat pendedahan menjadi jurukamera?
Pendedahan awal saya dalam bidang ini ialah menerusi didikan arwah ayah
saya. Dia pernah berkhidmat sebagai ketua jurukamera di Filem Negara Malaysia selain bekerja di Jabatan Penerangan dan RTM.
Pendedahan awal ini bermula ketika kecil. Ketika berusia 12 tahun, ayah bawa saya berjumpa kawan-kawannya, antaranya Othman Hafsham.
Namun apabila umur saya 14 tahun, minat bermain dengan kamera terbantut. Ketika itu saya lebih tertarik mempelajari bidang yang berkaitan dengan elektronik dan mekanikal. Pada usia 17 dan 18 tahun, barulah saya ambil kursus berkaitan fotografi.
Kemudian apa yang terjadi?
Ayah dari awal lagi memang beriya-iya membawa saya ke lokasi
filem, antaranya pembikinan filem Abang. Ayah saya memanglah garang - jadi mahu tak mahu saya
terpaksa ikut juga walaupun tak minat. Dari situlah saya diajar mengenal kamera dan cara
menggunakannya.
Ayah dulunya juga seorang guru dan pernah mengajar di ITM dan ITTAR dalam bidang fotografi. Tapi, kerana sibuk, dia menghantar saya belajar secara one to one dengan anak muridnya, Fuad Ariffin. Fuad kini mengajar di Akademi Filem.
Jadi selama satu tahun, dari pagi hingga malam setiap hari, saya belajar dan belajar hinggalah tiba pada satu tahap, saya sudah boleh mengajar guru saya balik! (tersenyum).
Sebab, dia benar-benar memastikan saya punya asas yang kukuh dalam apa yang saya pelajari dan dia juga benar-benar faham apa yang dia ajar. Memang efektif.
Saya bertuah dapat belajar secara one to one dengan Fuad sebab sekarang susah nak dapat guru yang boleh mengajar kita dengan cara itu lagi.
Anda belajar secara formal tetapi tidak dapat apa-apa sijil.
Ia tidaklah begitu formal tapi macam mana pun saya kena juga menghadiri kelas
yang disediakan guru saya. Tapi, saya tidak ada sijil atau ijazah dalam bidang yang
saya pelajari itu.
Ketika itu, memang tidak ada akademi filem atau pusat pengajian yang menawarkan pengkhususan dalam bidang fotografi. Sebab itulah saya dihantar belajar secara one to one dengan Fuad.
Selain belajar dengan guru, saya juga turut menghadiri bengkel-bengkel yang berkaitan dengan bidang fotografi.
Saya juga menduduki peperiksaan dengan Fuad. Saya memperolehi banyak pengalaman menerusi Fuad sebelum membabit diri dalam bidang komersil, dokumentari dan filem. Tetapi pilihan utama saya memang filem.
Kenapa?
Sebab saya memang suka kesan dramatik. Mungkin sebab saya ada minat dalam
bidang itu dan menyukai artistik.
Lagipun, saya mahu menyumbangkan sesuatu dalam filem kita dan bukan setakat nak buat duit atau jual produk iklan.
Sebenarnya lama juga saya terbabit dalam bidang iklan, adalah lebih kurang empat hingga lima tahun. Tapi dari sudut positifnya, ia banyak mengajar saya membuat kerja dengan begitu teliti dan bersifat komersil.
Tapi, seperti yang saya katakan tadi, pilihan utama saya ialah filem. Dan filem pertama yang menggunakan khidmat saya ialah Rozana ’87.
Sebelum itu, saya hanya menjadi pembantu jurukamera tetapi kerana saya cepat belajar, dalam usia 21 tahun, saya sudah diberi tanggungjawab menjadi pengarah fotografi dalam filem Nasir Jani itu.
Selepas itu banyak tawaran saya terima hingga ada yang terpaksa ditolak. Sebab saya ada matlamat saya sendiri dalam bidang ini.
Matlamat saya adalah untuk menjadi tiga yang terbaik selepas Johan Ibrahim dan Zainal Othman. Hingga sekarang pun saya masih bekerja keras untuk menonjolkan kualiti tugas.
Berapa banyak filem yang menggunakan khidmat anda?
Ohhh... banyak juga. Lebih kurang 40. Tapi, impian saya ialah untuk mencapai 50
filem dengan menjadi pengarah fotografi saja.
Betulkah untuk menjadi jurukamera yang baik, seseorang perlu bermula
dalam bidang komersil terlebih dulu.
Macam yang saya katakan tadi, bidang komersil adalah tempat untuk kita belajar
fine work. Ia mengajar kita bagaimana untuk melihat sesuatu kesilapan itu dan juga
mengajar kita membuat sesuatu kerja dengan teliti.
Kenapa agaknya kebanyakan jurukamera kita ini tidak begitu rajin
mengendalikan kerja-kerja kamera mereka? Contohnya, dalam adegan kemalangan selalunya guna
crazy camera, tapi kebanyakannya camera work mereka kelihatan statik saja.
Banyak sebab yang boleh dikaitkan dengan hal ini. Pertama, mungkin kerana
mereka tak tahu. Kedua, mungkin kerana budget dan masa yang tidak mengizinkan
untuk mereka membuat shot lebih. Atau mungkin juga kerana mereka juga
malas.
Tapi, sukar juga untuk saya mengatakan puncanya sebenar. Sebab, saya sendiri ada ketikanya tidak sempat mengambil lebih daripada dua tiga shot. Ada sesetengah pengarah pula tidak mempercayai jurukamera. Ini selalu juga berlaku.
Siapa pengarah yang banyak memberi kebebasan kepada anda menonjolkan
kreativiti?
Aziz M. Osman. Bukan kerana dia kawan saya maka saya kata begitu.
Tapi, kita kalau nak jadi apa-apa pun, kita kena faham kerja kita. Kalau kita nak jadi
pengarah, kita perlu tahu had dan sempadan kita.
Ada sesetengah pengarah masih tak faham dengan tugas mereka. Sesetengah pengarah masih mengajar pelakon. Pengarah juga tak sepatutnya buat banyak benda. Apabila pengarah buat banyak benda, filem itu sudah jadi filem dia, bukan filem yang dihasilkan secara team work atau filem yang hendak dihasilkan daripada skrip itu.
Saya rasa antara sebab saya boleh bekerja lama dengan Aziz ialah kerana dia tahu sempadan dia sebagai pengarah dan saya pun sama.
Sebagai pengarah fotografi dalam Leftenan Adnan, anda perlu merancang
shot, sudut dan gaya lensa. Adakah anda diberikan semua kebebasan ini dalam filem itu atau kebanyakan ideanya datang daripada
Aziz?
Katakanlah Aziz mahu membuat sesuatu shot tetapi dia menyerahkan hasilnya
kepada saya. Sayalah yang menentukan pemilihan lensa, posisi kamera, filem jenis
apa dan tahap cahaya.
Tapi, secara mata kasar, Aziz akan beritahu apa dia mahu. Contohnya, shot lebih moody atau shot laju, saya sesuaikanlah mengikut kemahuannya.
Kenapa follow camera atau crazy camera kurang digunakan dalam filem
Leftenan Adnan seperti filem Inggeris?
Sebelum filem itu dibuat, saya dan Aziz berbincang mengenai imej dan konsepnya
dulu. Memang ada banyak filem 'Orang Putih' seperti Saving Private Ryan dan
Thin Red Line yang kita boleh tiru.
Tapi Aziz tidak mahu dikatakan meniru atau duduk di bawah bayang filem perang Inggeris. Dia mahu buat filem yang dihasilkan dengan cara kita sendiri.
Hingga sekarang, filem manakah yang memberi kepuasan kepada
anda?
Saya selalu ajar diri saya supaya bersyukur. Saya tidak pernah mengatakan setiap
filem yang saya buat itu adalah hebat. Malah, saya rasakan diri ini masih lagi serba
kekurangan. Memanglah seronok kerja dengan filem budget besar seperti Leftenan
Adnan.
Apakah nasihat anda kepada jurukamera muda hari ini?
Kebanyakan mereka hari ini tidak sabar. Masa zaman saya dulu, saya cuma
berazam jadi pembantu jurukamera saja. Saya tidak pernah minta untuk jadi kamera operator atau pengarah
fotografi.
Oleh : Ellyna Ali
Sumber : Bi-Pop Berita Minggu 10/9/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |