![]() |
Rencana Article |
. | . |
Filem Soal Hati akan ditayangkan kepada umum pada hujung September ini. Sebelum itu, tayangan amalnya akan ditayangkan pada 25 September di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia adalah terbitan Serangkai Filem Sdn. Bhd. dan merupakan filem kedua yang dihasilkan oleh syarikat itu. Filem pertamanya,
Hati Bukan Kristal telah dihasilkan 10 tahun yang lalu.
Berbeza dengan Hati Bukan Kristal yang agak berat dari segi mesej, Soal Hati adalah filem komedi ringan. Ia menampilkan pelakon Erra Fazira (Nurul Ain), Afdlin Shauki (Ahmad Daniel), Zaibo, Chef Wan, Anuar Zain, Linda Onn dan ramai lagi.
Hati Bukan Kristal pernah raih enam anugerah pada Festival Filem Malaysia ke-9 (1991) - Filem Terbaik, Pengarah Terbaik (Raja Ahmad Alauddin), Aktor Terbaik (Ridzuan Hashim), Aktres Terbaik (Erma Fatima), Bintang Harapan (Julia Rais), Penulis Cerita Terbaik (Habsah Hassan). Apakah mungkin Soal Hati meraih enam anugerah seperti itu?
Berikut ialah temubual antara wartawan URTV, Nor Asikin Hassan dengan produser dari Serangkai Filem, Habsah Hassan atau lebih dikenali sebagai Kak Chah mengenai filem keduanya.
URTV: Apa yang mendorong Kak Chah menerbitkan Soal Hati selepas 10 tahun berehat dari penerbitan filem?
HABSAH: Soal Hati ialah satu filem yang saya buat berdasarkan skrip asal yang telah siap lima tahun lalu. Tapi skrip ni ringan berbanding filem pertama saya,
Hati Bukan Kristal. Jadi mulanya ingat rasa segan pula nak buat cerita ni sebab cerita ni terlalu ringan. Bila orang melihat
Hati Bukan Kristal, orang kata takkanlah Kak Chah buat Soal Hati. Cerita
Soal Hati ni cerita budak-budak, cerita orang muda. Mesejnya pun terlampau ringan.
Tapi anak-anak saya menengok skrip ni, kata, "Mama, cerita macam nilah kita orang suka." Jadi, dia mewakili generasi baru. Tapi saya masih berkata, "Ini bukan saya."
Selepas saya siapkan skrip itu, saya telah duduk berbincang dengan Raja Ahmad Alauddin (pensyarah bidang perfileman di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengarah filem/drama). Malah, saya bagi sebahagian skrip tu padanya. Lepas tu, saya pindah office dan Raja pun dah hilangkan skrip tu. Saya juga hilangkan skrip tu. Tapi bila berkemas, saya jumpa sebahagian saja. Jadi, saya pun sambung buat skrip itu.
Sebelum gawat, saya duduk berbincang dengan Rashid Sibir (pengarah filem dan drama) pula. Rashid keluarkan bermacam-macam idea. Rashid ni memang pengarah yang kelakar. Jadi cerita tu, kalau mengikut Rashid lagi kelakar. Masih lagi saya berkata, "Tak boleh Shid, ini bukan sayalah." Bila lepas gawat, saya kata, "Buat ajalah." Cuma kelemahan saya ialah tajuk. Saya tak tau apa nak letak tajuk skrip saya waktu tu. Kelemahan saya juga nak mengakhirkan skrip. Jadi, bila saya jumpa Hafsham (pengarah filem dan sitcom, Othman Hafsham), saya kata, "Sham, one day kita kerjasama." Dia kata, "Boleh, boleh."
Lepas tu, bila saya sambung skrip tu, saya mental block. Macam mana nak habiskan skrip ni. Jadi, saya pun kata, "Suruh Hafsham baca dululah." Tapi lepas bagi Hafsham, tak ada feedback.
Saya masih berkata, nak buat ke tak nak. Anak-anak kata, boleh. Entah macam mana, Hafsham pula telefon dan beritahu, "Dah baca. Okeylah, bolehlah."
Bila dia kata, tak ada masalah, saya pun naik balik semangat. Bila dapat dorongan daripada anak-anak dan Hafsham pun kata boleh, saya pun rasa bolehlah. Itulah bermulanya Soal Hati.
URTV: Peringkat awal Kak Chah duduk berbincang dengan Raja Alauddin dan Rashid Sibir mengenai skrip
Soal Hati. Tapi akhirnya memilih Othman Hafsham jadi pengarah. Kenapa?
HABSAH: Memang mula-mula nak panggil Raja untuk mengarah sebab saya pernah kerja dengan Raja. Lepas tu nak panggil Rashid sebab dia kelakar. Tapi saya tak naklah terlalu kelakar. Raja pula belum teruji dari segi komedinya. Jadi saya rasa, orang tua kerja dengan orang tualah. Saya pun ajaklah Hafsham bekerjasama.
Lagi pun, ini semua gerak Tuhan jugalah. Saya dan Hafsham jumpa tiap-tiap bulan dalam mesyuarat Persatuan Pengeluar Filem (PFM). Saya gurau-gurau dengannya, "Mari kita cuba buat filem." Hafsham pun kebetulan lama tak buat filem.
Saya kata, "Saya cabar awak, awak cabar saya." Cumanya saya menulis detail sampaikan Hafsham kata, "Skrip awak ni detail sangat, saya cuba nak sedekat-dekatnya ikut." Susahnya sebab kami berdua ada idea. Saya pula kalau boleh nak apa yang saya bayangkan itulah yang dapat saya lihat di layar. Tapi tentulah tafsiran Hafsham berbeza dengan tafsiran saya. Tafsiran pelakon juga berbeza.
URTV: Oleh kerana filem ini mewakili generasi baru, adakah Kak Chah terpaksa meminta pandangan daripada generasi baru?
HABSAH: Ya, kerana saya ni suka mengkritik diri saya sendiri, selalu tak puas hati. Jadi, lagi saya baca, lagi tak puas. Saya pun bagilah kumpulan ni baca, kumpulan tu baca. Kumpulan ni pun bagi
feedback. Saya pun buat lagi draf seterusnya. Sehingga lapan kali draf. Maknanya sehari dua nak start
shooting pun, saya masih lagi buat draf terakhir. Saya kena menerima hakikat, saya menulis skrip ni lima tahun dulu. Saya juga kena menerima hakikat saya tidak dapat lagi mewakili generasi baru. Jadi, yang membaca skrip ni generasi baru. Bahasa,
lingo dan joke yang mewakili generasi baru.
Kerana carita yang saya buat ni untuk masyarakat, ia kenalah sesuai dengan keadaan semasa.
URTV: Siapa panel skrip terlibat?
HABSAH: Ramai. Ada golongan muda, pelajar-pelajar universiti yang boleh dikategorikan sebagai
yuppies. Saya rasa perlu sebab kita tak boleh ego. Iyalah... orang seni ni ego, saya pun ada ego. Tapi saya kenalah fikir saya buat filem ni bukan untuk diri saya, bukan untuk syok sendiri. Bila saya buat cerita, saya rasa bestlah tapi yang menilai akhirnya bukan saya, tapi orang ramai. Jadi saya kena minta pandangan orang.
URTV: Kak Chah ada pengalaman dalam penerbitan cerita komedi sebelum ini?
HABSAH: Pertama kali saya terlibat dengan filem ringan ni ialah ketika
mengedit skrip filem Ali Setan. Tapi skrip asalnya ditulis oleh Osman Abadi (Allahyarham). Mungkin masa tu Pak Osman mewakili generasi lama dan saya mewakili orang muda. Saya
edit skrip sesuai dengan situasi dan saya sendiri terlibat sepenuh masa dalam penerbitan
Ali Setan iaitu sebagai production manager, penjaga props dan sebagainya. Tapi ingat, yang mengarahkan
Ali Setan ialah Datuk Jins Shamsuddin, seorang yang serius. Sebab itulah pada saya yang kuat adalah skrip.
URTV: Sepuluh tahun adalah waktu yang lama untuk Kak Chah menerbitkan filem kedua. Kenapa ambil waktu sepanjang itu?
HABSAH: Saya memang kata tak naklah lagi menerbitkan filem sebab saya tak boleh memahami kehendak masyarakat penonton Malaysia. Saya rasa macam bersalah kalau sekadar mengikut saja selera mereka tapi tak mengajak mereka berfikir, tak memberi mereka sesuatu mesej. Saya rasa bersalah. Saya
give up dan tak nak buat filem dan mahu tumpukan saja pada kerja-kerja penerbitan lain seperti dokumentari dan sebagainya.
Tapi banyak faktor yang mendorong saya buat filem kedua. Saya pun cakap, "Okeylah, cubalah." Tapi dulu heavy, sekarang ni ringan.
URTV: Atau mungkinkah Kak Chah tengok pasaran semasa?
HABSAH: Tak juga. Saya langsung tak terpengaruh dengan suasana perfileman di Malaysia. Maknanya kalau saya rasa nak buat, saya buat. Misalnya waktu saya buat
Hati Bukan Kristal, filem Melayu hampir ketandusan. Saya tak dipengaruhi oleh keadaan itu. Nombor satu saya nak buat filem ialah kerana saya nak buat dan masa tu saya yakin pada skrip saya. Perlu kita ingat
Hati Bukan Kristal banyak ketengahkan muka-muka baru selain Erma Fatima dan Adibah Amin. Ridzuan Hashim misalnya ditampilkan buat pertama kali dalam filem melalui filem itu, Julia Rais pun kita perkenalkan dalam filem tu dan Zaiton Sameon tak pernah berlakon sebelum itu. Saya tidak terkongkong kerana pelakon terkenal kerana saya membayangkan karakter.
Sebab itu masa saya ambil Afdlin, banyaklah yang berkata, terutama di kalangan kawan-kawan wartawan, "Dia tak ada follower di kalangan penonton Melayu."
Tapi saya yakin dia boleh. Sebab pada saya hero bukan sekadar paras rupa. Pada saya penghayatan watak itu penting. Terus terang saya cakap, di negara kita ni kita kurang sangat pelakon yang boleh menghayati watak. Memang kita ramai pelakon dan penyanyi tapi penghayatan kurang. Itu sebabnya saya rasa mereka tak bertahan lama.
URTV: Khabarnya Kak Chah sendiri rasa takut dengan Soal Hati kerana ia sebuah filem komedi ringan?
HABSAH: Betul. Kalau saya, saya suka filem macam
Hati Bukan Kristal. Agaknya orang dah tua, ceritanya mestilah nak sesuai, ada mesej. Tapi macam
Hati Bukan Kristal, walaupun dia Filem Terbaik, dapat enam award dan dipuji oleh pengkritik filem, tapi dari segi pendapatan tu tidaklah sebaik itu. Tak pulang modal. Maknanya filem bentuk festival, tak semestinya mendapat sambutan masyarakat. Saya belajar dari situ.
Sebenarnya saya takut, Hafsham sendiri pun takut. Tapi kalau ditanya saya secara peribadi tentang kepuasan, saya tak pernah puas. Macam Hati Bukan Kristal, kalau saya tengok sekarang ni, saya akan kata, "Ya Allah, kenapalah macam ni." Bagi saya, sentiasa ada ruang untuk lebih baik.
URTV: Kak Chah memang yakin dengan Afdlin Shauki jadi hero Soal Hati?
HABSAH: Waktu saya buat skrip dulu, Afdlin tak timbul langsung. Kalau saya buat skrip, saya tak pernah bayangkan orang ni akan bawa watak ni. Tidak. Pada saya pelakon mesti menyesuaikan diri dengan watak. Bukan saya buat skrip untuk pelakon ni, pelakon tu, tidak. Saya tak terikat. Maknanya kalau pelakon ni tak boleh, tak jadi susah pada saya sebab saya bukan buat skrip untuk dia. Pada saya bakat banyak. Yang penting bakat, bukan sekadar orang kata, "Ambillah yang muka lawa, segak."
Saya yakin Afdlin boleh bawa watak ni. Begitu juga dengan Ridzuan Hashim waktu saya ambil dia dulu. Banyak juga yang kata, "Buat apa harapkan muka aja." Tapi waktu Hati Bukan Kristal, hari-hari saya psychokan dia, "Kak ambil engkau, semua orang kutuk. Kau kena buktikan." Macam Afdlin, saya indirectly psychokan dia, "Kakak ambil awak ni, banyak orang question kakak." Tapi Alhamdulillah, secara peribadi saya puas hati dengan lakonan dia.
URTV: Macam mana pula dengan Erra yang Kak Chah pilih jadi heroin filem komedi ni. Sebelum ini di bawah asuhan Yusof Haslam, Erra memegang watak yang agak berbeza. Apa kriteria utama yang menyebabkan Erra dipilih dalam
Soal Hati?
HABSAH: Kita ni kan hari-hari belajar daripada kelemahan dan kesilapan. Memang selama ni dia belajar di bawah Yusof. Tuhan pun nak dorongkan, saya kebetulan pergi umrah dengan dia. Jadi, saya pun 'buang-buang cakap', "Sudi tak berlakon dengan saya?" Erra kata, "Okey, tak ada masalah." Saya cuma pegang kata-kata Erra yang mahu berlakon kalau ada skrip sesuai.
Bila saya tunjuk skrip dia kata okey. Saya kata kat dia, cerita ni ringan dan berbeza daripada apa yang awak pernah buat. Cerita ni banyak pergerakan, body language. Tak memerlukan sayu pilu kalbu merana. Cuma last scene aja sikit. Tapi yalah dari segi komersial, yang paling top ialah Erra Fazira. Dengan popularnya dia tu, mungkin membantu jugalah.
URTV: Kak Chah sentiasa berani menampilkan muka-muka baru dalam filem. Kenapa agaknya?
HABSAH: Sebab saya nampak potensi mereka. Misalnya Linda Onn pun bagus lakonannya walaupun dia hanya berlakon sebagai setiausaha kepada Ahmad Daniel. Linda Onn ni dengar suara, memang orangnya berbakat. Tapi mesti orang tak percaya, saya tak pernah kenal Linda Onn sebelum ni. Saya memang jarang dengar radio dan tengok TV. Tapi didorong oleh anak-anak buah saya dan saya sendiri dengar di konti. Kita boleh tau orang tu berbakat bila dah tunjukkan bakat dalam bidang seni, ia hanya perlu digilap sedikit saja. Tentulah yang penting kehendak dia. Kalau kita paksa, dia tak nak pun, tak jadi juga. Tapi dia, Anuar dan Chaf Wan ada bakat, kita cuma beri semangat sikit aja.
URTV: Adakah watak Chef Wan memang diwujudkan sejak mula dalam skrip asal?
HABSAH: Sebenarnya skrip asal yang saya buat, watak kawan-kawan Nurul Ain di
shopping complex tu biasa aja. Tapi bila saya bagi panel kumpulan ni baca, terciptalah watak Naza. Secara peribadi saya kurang senang dengan watak tu. Tapi mereka ni beria-ia kata ini keadaan sekarang, saya pun tak boleh nak tolak watak ni. Memang betul, jadi timbullah watak Naza. Tapi taulah Wan, kadang-kadang dia pun
over juga. Itu pun saya sensor terutama ad lips yang saya rasa tak sedap telinga dengar. Sebelum pihak penapis potong, biarlah saya potong dulu
(ketawa).
URTV: Nampaknya Kak Chah berminat menggunakan judul 'hati'. Kenapa agaknya?
HABSAH: Banyak orang tanya tapi itu memang kebetulan. Kelemahan saya ialah memberi tajuk, baik buat lirik, baik buat skrip, apa saja. Ada orang buat tajuk, lepas tu buat tumpuan ke arah tajuk tapi saya tidak. Mengenai
Soal Hati, ada yang cadangkan 'kita tak usah buat tajuk, kita buat lambang aja'. Cantik juga. Saya pun berkenan dengan lambang aja. Tapi bila saya tengok lambang, terfikir pula yang ini
Soal Hati. Lepas tu, saya fikir skrip saya memang berkenaan dengan perasaan dan hati. Sehari dua sebelum pelancaran filem barulah dapat tajuk. Itu pun saya tak perasan persamaan itu. Secara bergurau orang bertanya, "Lepas ni apa pula?" Saya kata, "Tengoklah, kalau filem ni tak menjadi, makan hatilah."
(ketawa).
URTV: Mungkin ada scene yang memerlukan Kak Chah terpaksa menggunakan kuasa sebagai produser dan penulis skrip?
HABSAH: Memang ada iaitu scene selepas Nurul Ain dengan Ahmad Daniel diturunkan dari bas di kawasan kubur. Ada adegan pukul-memukul. Lepas tu mereka naik teksi. Bila dah siap, saya tak puas hati sebab kalau mengikut jalan cerita, mereka baru berkenalan. Walaupun Ahmad Daniel selalu tengok Nurul Ain dari jauh tapi secara peribadi mereka baru berkenalan. Dalam
scene tu Ahmad Daniel duduk terlampau dekat padahal nama pun belum tau lagi. Pada saya ini tak boleh. Saya rasa kita kena bermain dengan perasaan penonton. Afdlin kata, tak apa sebab Ahmad Daniel dah cedera. Saya kata, tak boleh sebab saya gambarkan Ain seorang gadis berperibadi tinggi.
Tak mengapalah dia tolong orang tu sakit tapi tak mungkin dia biarkan orang tu terus sandar pada dia. Saya rasa tak kena dan tidak sebagaimana saya bayangkan. Takkan bila turun teksi nak pergi ke rumah Ain, siap letak tangan atas bahu.
Saya tak boleh terima. Mungkin saya konservatif. Jadi adalah perbincangan di antara kami. Mungkin Afdlin atau Hafsham tak rasa seronok sangat dengan keputusan saya.
Saya kena minta maaf dengan mereka tapi saya kata, "Saya nak buat semula." Jadi, kami shoot semula.
URTV: Sebagai produser, apakah cabaran paling getir yang dihadapi oleh Kak Chah?
HABSAH: Keseluruhannya okeylah. Saya rasa bernasib baik sebab selalu dapat orang-orang yang memberi komitmen. Yalah orang yang bersikap begitu yang saya pilih. Cuma saya kena jaga dari segi kewangan sebab saya ada perkongsian. Masa peringkat
pre-production hanyalah dari segi jangkaan projection dan kita mesti bersedia menghadapi kemungkinan di luar kawalan. Jadi kerana skrip saya terlampau
detail, Hafsham cuba nak ikut. Jadi kos pun naik. Bila kos filem tu naik, terjejas pula peruntukan untuk promosi. Saya pula berharap dapat pinjaman daripada FINAS sebanyak RM300,000 tapi menerima kurang dari itu, menyebabkan beberapa ketika saya kelam-kabut tapi Alhamdulillah sebab member-member tolong cari sponsor, misalnya Perodua yang menolong menaja sebahagian daripada kos promosi.
URTV: Berapa kos keseluruhannya?
HABSAH: Anggaran RM1.2 juta. Saya sebenarnya terkejut sebab waktu saya buat
Hati Bukan Kristal tak sampai RM400,000. Masa tu sayalah salah sebab tak memikirkan tentang
promotion. Jadi tak ada budget untuk promotion. Jadi, saya rasa kegagalan saya daripada Hati Bukan Kristal kerana kurang promosi. Lagipun, ia mengambil masa terlalu lama untuk ditayangkan, cerita yang panas jadi sejuk. Kini saya belajar dari kesilapan. Saya berusaha nak tayang secepat mungkin sebab saya tak nak bila sejuk baru nak ditayangkan.
URTV: Secara peribadi, Kak Chah rasa adakah filem ini bakal mendapat sambutan hangat?
HABSAH: Saya tawakal ajalah. Dalam waktu yang sama, syarikat saya pun kena buat produksi. Kita nak pusing modal kena ada perancangan.
URTV: Apa harapan Kak Chah terhadap filem Soal Hati?
HABSAH: Saya tak taulah. Kalau dengan izin Tuhan, filem ni berjaya, maknanya barulah saya tau saya boleh menulis cerita yang ringan.
URTV: Mungkin ada peluang untuk merebut anugerah?
HABSAH: Saya buat filem ni tak ada langsung fikir fasal anugerah. Terserahlah pada orang dalam bidang ini nak menilainya. Kalau saya buat kerja meletakkan matlamat macam tu, memang saya tak boleh buat kerja. Saya mesti buat kerja dalam suasana yang tenang tanpa tekanan apa-apa. Sebab tu saya tak suka beri tajuk tentang apa yang saya buat sebab saya terkawal oleh tajuk.
Dan kalau saya buat dengan memikirkan festival, saya terkawal kerana orang festival nak tengok dari sudut ini dan itu. Saya tak mau meletakkan benda yang hanya menyemakkan fikiran saya. Itu cara saya bekerja.
Tension tu memanglah sebab ia melibatkan kewangan dan orang. Sebab tu sewaktu penggambaran, saya pastikan semua orang diinsuranskan selama dalam tempoh penggambaran selesai. Manalah tau malang tak berbau. Sekurang-kurangnya kalau ada apa-apa berlaku, mereka ada jaminan tertentu. Saya takut kerana kita gunakan tenaga orang.
URTV: Bagaimana dengan tayangan amal Soal Hati?
HABSAH: Sebenarnya saya cukup sedih dan terkilan sebab selama ni saya tak tau, banyak buruk sangka di belakang saya. Kalau ikutkan saya dah serik nak beri orang buat tayangan amal filem saya. Sebab, niat ikhlas tapi hasilnya yang tak elok.
Macam Hati Bukan Kristal tu, saya serahkan pada satu kumpulan kawan-kawan. Satu sen saya tak dapat. Dahlah tak dapat satu sen, malah seolah-olah saya pula yang makan duit. Padahal saya cuma bagi filem saja. Macam mana dia orang dapat duit, siapa dia orang contact, berapa banyak dia orang buat, saya langsung tak tau. Sebelum tu saya mendapat tajaan promosi dari Avon, jadi seolah-olah anggapan penganjur tu mengatakan saya dapat Avon kerana mereka padahal hubungan baik saya dengan Avon dah lama.
Saya tak tau cerita sebenarnya. Lepas tayangan amal tu, nama saya diburuk-burukkan. Saya rasa kecewa sebab orang-orang yang mengendalikan tu semua kawan-kawan. Saya bagi ikhlas atas kepercayaan dengan harapan pungutan tu boleh menghidupkan persatuan. Rupanya terbalik. Tak dapat satu sen tu tak apalah, sebab tak ada rezeki. Tapi yang cakap-cakap tu saya rasa terkilan sangat sebab orang bayar bukan pada saya, tapi pada penganjur.
Bila wakil URTV datang jumpa saya nak adakan tayangan amal Soal Hati, saya rasa nak bagi, tak nak bagi. Cuma takut kalau saya bagi dengan ikhlas karang, lain pula ceritanya. Tapi bila kenangkan hubungan baik saya dengan orang-orang Utusan, saya bagi filem itu. Cuma saya nak jelaskan supaya hentikan cakap-cakap negatif sebab demi Allah, satu sen pun saya tak makan duit tayangan amal Hati Bukan Kristal.
Oleh : Nor Asikin Hassan
Sumber : URTV 15/9/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |