Rencana
Article
. .

Berjayakah Soal Hati cecah box-office?

Temubual - Othman Hafsham Othman Hafsham, 61, kembali dengan filem terbaru arahannya, Soal Hati. Filem bercorak komedi yang menampilkan Erra Fazira, Afdlin Shauki, Chef Wan, Khatijah Tan dan Anuar Zain diterbitkan oleh Serangkai Filem telah pun menemui peminat sejak 28 September lalu.

Kehadiran filem sentuhannya kali ini menimbulkan persoalan apakah Soal Hati dapat mengulangi kejayaan filem komedi arahannya sebelum ini seperti Adik Manja (70-an) dan Mekanik (80-an).

Apa yang nyata, pengarah yang sentiasa sibuk dengan sitcom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2+1.com.my ini berharap hasil terbarunya setelah sekian lama menyepi dapat memenuhi cita rasa penonton. Untuk mengetahui perasaan dan harapan Hafsham pada filem ini, kita ikuti perbualan wartawan URTV, Nafsiah Jani dengan Hafsham.

URTV: Sudah berapa lama Abang Hafsham tak mengarah filem?
HAFSHAM: Rasanya kurang daripada 10 tahun. Kalau tak silap filem terakhir saya ialah Ujang sekitar tahun 90-an.

URTV: Merajuk ke?
HAFSHAM: Tidaklah. Cuma masa itu saya rasa industri perfileman tidak bagus, itu sebabnya saya sepikan diri buat seketika.

URTV: Jadi bagaimana terbuka hati tiba-tiba nak arahkan filem Soal Hati?
HAFSHAM: Saya dapat skrip tu dah lama... lebih kurang 1½ tahun. Masa dapat skrip tu ke mana saja saya pergi saya membawanya termasuklah hingga ke luar negara.

Sambil tu saya letak juga sedikit idea saya dalam skrip tu.

URTV: Apa yang buat Abang Hafsham tiba-tiba tergerak nak mengarah filem ini setelah 1½ tahun menyimpan skripnya?
HAFSHAM: Masa tu saya kata, tunggu dululah. Tunggu... tunggu... tak sangka akhirnya hingga 1½ tahun saya menyimpannya. Saya ambil masa yang lama kerana masa tu pulangan filem tak banyak sangat. Tapi bila tengok Yusof Haslam dapat kutip dua hingga tiga juta... tu buat saya bersemangat nak buat. Sekuran-kurangnya kita trylah... mungkin boleh tumpang hasil Yusof sebab dia buat filem semuanya menjadi. Lagi pun cerita ni okey. Walaupun ia tidak keseluruhannya komedi... ia ada love story dan komedi sikit.

Akhirnya bukan Kak Chah yang panggil saya, sebaliknya saya yang panggil dia... saya kata... let's go and look at the script... mungkin this is the time people want to see the love story.

URTV: Macam mana perasaan Abang Hafsham pada hari pertama mengarah filem itu?
HAFSHAM: Walaupun dah lama tak mengarah filem tapi saya tak menghadapi masalah. Setelah baca skrip, saya dah dapat bayangkan bagaimana nak buat dan saya dapat gambarkan bagaimana adegan itu dilakonkan. Bukan itu saja malah saya juga tahu di mana nak letak kamera dan pergerakannya.

URTV: Bagaimana dengan skrip tu... ada tak apa-apa pindaan yang Abang Hafsham buat?
HAFSHAM: Tak banyak pindaan yang saya buat pada skrip tu. Termasuklah dialognya saya tak kacau. Dari segi cerita pun tak tambah tapi dari segi situasi saja. Komedi ni mirip macam filem Adik Manja... iaitu dari segi lakonan, pelakonnya yang melucukan.

URTV: Abang Hafsham puas hati dengan hasil filem ini?
HAFSHAM: Setakat ni memang saya puas hati. Tapi... selepas filem tu siap ada saja yang saya rasa... patutnya yang ini buat macam ni dan yang tu buat macam ni. Biasalah tu kerana kerja seni ni memang tak habis. The work of arts is never complete... kalau dah complete namanya bukan the work of arts.

URTV: Bagaimana pula dengan pelakon?
HAFSHAM: Saya tak ada masalah dengan Erra keran dia dah biasa berlakon. Tapi dengan Afdlin tu masa peringkat awal tu ada jugalah... sikit-sikit.

URTV: Masalah macam mana tu?
HAFSHAM: Afdlin ni suka ad lip bukan saja dialognya... aksyennya pun dia suka ad lip. Masa latihan dia buat aksyen tertentu dan masa shoot aksyen lain pula yang jadi. Dia kata nak buat sikit pembaharuan... mungkin method acting. Tapi ini beri masalah pada jurukamera kerana masa latihan lain dan shoot pula lain. Untuk selamat, saya cakap dengan jurukamera... you kena pandai-pandailah ambil shoot kerana dia ni suka tukar-tukar aksyen.

Mungkin Afdlin ni dibesarkan dalam era video di mana ad lip itu memang wujud... sebab video tak mahal. Tapi filem ni mahal. Pada saya, seseorang pelakon tu tak boleh ad lip berpanjangan. Kalau dia ad lip berpanjangan dia akan makan filem. Selain itu bila dubbing nanti akan ada masalah kerana bila ad lip... filem tu jangka masanya akan panjang.

URTV: Dalam banyak-banyak scene... scene yang mana yang mendatangkan masalah?
HAFSHAM: Scene penghabisan bila Afdlin kemalangan dan orang berkumpul. Masa scene tu pening saya fikirkan bagaimana nak create dan babitkan Erra dalam scene itu. Tapi esoknya bila berada di lokasi di Flat Pekeliling, saya tak ada masalah untuk melakukannya. Nak buat kemalangan tu tak susah tapi scene selepas tu yang susahnya.

URTV: Bagaimana pula dengan lokasi... kenapa Abang Hafsham tak pilih lokasi luar selain Kuala Lumpur?
HAFSHAM: Pada saya, kalau cerita bagus tak payah pergi mana-mana... dalam bilik pun boleh. Tapi ceritanya mesti bagus kerana bila orang keluar panggung mereka tak pernah cerita pengarahan bagus ataupun acting tu bagus. 80 peratus penonton kata ceritanya yang bagus.

URTV: Harapan pada filem ini?
HAFSHAM: Susah nak cakap. Tidak semestinya filem Adik Manja dan filem Mekanik saya menjadi... filem ini akan menjadi juga. Ini terpulang kepada penonton kerana mereka ada hak mutlak... mereka yang akan buat verdict pada filem ini. Mungkin mereka nak tengok Erra... boleh ke berlakon komedi. Lagi pun Erra tak ada filem baru dalam tahun ni... mungkin orang rindu pada Erra dan ini yang mendorong mereka nak tengok dia berlakon di bawah Hafsham pula. Pada saya, kalau dah untung sedikit pun dah baik. Kalau filem itu berjaya hingga memecah box-office, saya anggapnya sebagai bonus saja. Tapi tidaklah semestinya tiap-tiap filem yang kita buat akan jadi box-office kerana yang penting... tidak rugi.

URTV: Selepas Soal Hati... ada tawaran lain?
HAFSHAM: Sekarang ni ada juga dua atau tiga produser yang jumpa saya. Melihatkan skrip mereka yang berat membuatkan saya menolaknya. Saya tak mahu buat filem yang berat kerana filem yang berat tu bakal melibatkan duit yang banyak. Bila gunakan duit banyak, saya kena pula fikirkan pulangannya. Takut juga.

Oleh : Nafsiah Jani
Sumber : URTV 1/10/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000