![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Amok
Tahun : 1995
Pengarah : Adman Salleh
Lakonlayar : Adman Salleh
Cerita asal : Salleh Ben Joned
Pelakon : Nasir Bilal Khan, Ramona Rahman, Hans Isaac, Rosnani, Yusuf Muhammad, Johan
Abdullah, Latiff Borgiba
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : ***
Filem ini seharusnya menjadi sebuah filem yang menarik dan provokatif. Ia cuba
menjangkau subjek yang khusus ada pada orang Melayu yang banyak dikaji. Sebuah bangsa
dengan keanehan dan keunikannya dan dua sifat yang dikatakan unik yang ada pada orang
Melayu adalah amuk dan latah. Tindakan yang sebenarnya lahir dari ketidakmampuan mengawal
diri ini banyak ditulis oleh penyelidik yang membuat kajian tentang psikologi orang
Melayu. Antaranya adalah buku The Malay Dilemma yang ditulis oleh Dr. Mahathir
Mohammad.
Amok filem kedua Adman Salleh selepas menghasilkan Bintang Malam bertolak dari kekagumannya terhadap buku The Malay Dilemma. Menurut Adman, filem Amok melengkapkan triloginya tentang amuk selepas Ikan Kekek dan Bintang Malam. Bagaimanapun, selepas menonton Amok, motif amuknya agak mengganggu fikiran saya.
Di sebalik kontroversi yang pernah menyelubungi filem ini, Amok dengan cerita asalnya Amok Wan Man yang ditulis oleh Salleh Ben Joned sebagai sebuah filem sebenarnya dihasilkan dengan pendekatan skrip yang kejap, adegan bergerak pantas dari satu adegan ke satu adegan. Subjek dan konsepnya menarik. Bagaimanapun, sebagai sebuah filem apatah lagi yang menyangkut aspek psikologi bangsa, maka yang wajar dilihat dan dianalisis pastilah pada watak-watak yang membangunkan cerita dan kewajarannya.
Amok bertolak dari tiga watak yang berhubungan dan juga bersifat kontras iaitu Wan Man (Nasir Bilal Khan) pemuda kampung yang pernah belajar ilmu silat dari Pak guru (Latiff Borgiba). Dia kemudian terperangkap dalam perhubungan cinta dengan seorang wanita Amerika bernama Natalie (Ramona Rahman).
Natalie adalah sukarelawan dari American Peace Corp yang datang ke sebuah kampung di pantai Timur dengan tujuan untuk memperlengkapkan kajian Ph.Dnya tentang Malay Psychic.
Natalie digambarkan sebagai gadis yang bebas, sebahagian dari Flower Generation yang timbul hasil dari pengaruh woodstock dan mengamalkan seks bebas. Manakala Rem (Hans Isaac) kawan sekampung Wan Man turut dipengaruhi dengan kehidupan bebas yang dibawa oleh pelancong barat dan turut mengamalkan seks bebas.
Filem ini berlatarkan tahun-tahun awal 1970-an, era yang dipengaruhi oleh kehidupan ala hippies, musik rock, dadah, protes perang Vietnam oleh generasi muda Amerika dan woodstock di Amerika.
Adman cuba melihat pertembungan dua budaya yang kontras sebagai titik tolak yang menjadi asas Amok. Wan Man yang pendiam, introvert dan menghadapi tekanan jiwa yang berat.
Wan Man memendam rasa kecewa dan marah. Marah kerana diberhentikan kerja, tertekan keran disuruh berkahwin dengan gadis kampungnya, terhina dengan penghinaan yang dilemparkan oleh pemuda kampung, kecewa dengan perlakuan Rem yang bebas dan puncak kemarahannya adalah bila dia merasa terhina dengan sifat Natalie.
Budaya tradisi yang diamalkan oleh Wan Man yang diasaskan oleh guru silatnya di kampung dan pusaka batin yang diwarisi oleh Wan Man dan bapanya (Yusuf Muhammad) dikejutkan oleh pertembungan dengan budaya liar yang dibawa oleh Natalie. Kesemuanya gelodak perasaan ini akhirnya meledak dengan amukan.
Mungkin segala analisis Adman tentang asas mengapa seseorang itu mengamuk ada benarnya. Tetapi sebagai sebuah cerita, watak harus dibangunkan dengan meyakinkan, watak digerakkan oleh hubungan sebab akibat yang munasabah.
Kita mungkin akan menyoal sejauh manakah kewajaran antara rasa marah dan kekecewaan Wan Man dan hubungannya dengan Natalie yang memungkinkan dia mengamuk.
Watak Natalie sendiri antara watak yang menarik dan sekaligus meragukan. Hubungan Natalie dengan Rem adalah berbeza dengan Wan Man.
Hubungan Rem dan Natalie tidak mempunyai banyak masalah kerana mereka menganut fahaman budaya yang sama. Tetapi hubungan antara Natalie dengan Wan Man adalah hubungan yang aneh dan kontras dari segi budaya sungguhpun kemudian Wan Man turut terjerumus ke dalam kancah hubungan bebas dengan Natalie.
Natalie melihat Wan Man sebagai subjek kajiannya tentang psikik orang Melayu dan sebagai pemuas nafsu seksnya.
Apakah kemuncak kemarahan Wan Man terhadap Natalie kerana dia merasakan dipermainkan oleh Natalie atau merasakan budayanya tercemar oleh perbuatan Natalie.
Jika ini alasannya, amuk Wan Man tidak bersebab kerana jelas Wan Man juga sudah mula dipengaruhi dan menerima budaya bebas Natalie.
Ramona Rahman mencuba sebaik mungkin membawakan watak Natalie, sukarelawan Amerika yang liar dengan kehidupan hippiesnya. Lakonan baik dan menarik tetapi sayang kurang meyakinkan, malahan dalam beberapa adegan kelihatan artificial.
Natalie juga seorang orientalis yang sedang melengkapkan kajian Ph.Dnya tentang sifat dan psikologi orang Melayu. Sebagai seorang orientalis wataknya agak menyimpang dengan watak orientalis sebenar yang selalu membuat kajian tentang orang Melayu.
Seorang orientalis yang membuka penyelidikan tentang psikik orang Melayu melalui kesusasteraan klasik Melayu, fasih dengan budaya Melayu atau berusaha bercampur dengan masyarakat Melayu, perlakuan mereka jauh lebih sopan dan halus dari orang Melayu sebenar.
Tidak cukup dengan hanya membaca beberapa kitab atau memahami kitab Tajul Muluk atau dengan cara yang melucukan membawa kesana-kemari keris pusaka yang diberikan Wan Man. Jauh sekali dari banyak menghabiskan masa malam berhibur di pesta tarian liar.
Amok mungkin bukan sebuah filem dokumentari tentang amuk orang Melayu tetapi walaupun sifatnya sebagai sebuah filem cereka, Amok harus dapat dipertanggungjawab landas budaya dan realiti sosialnya.
Kita mungkin boleh melihat Amok sebagai lanjutan dan percikan dari amuk Si Jebat. Dalam montaj visual yang menarik Adman meransang watak Wan Man yang berusaha mengumpul kekuatan dan ransangan dari alam untuk mengamuk. Terik panas matahari, ombak laut yang terus berdebur, alam yang mencabar dan Natalie yang seolah mempersendakannya.
Adegan Wan Man duduk di atas batu menghadap ombak laut yang luas sambil melayan kemurungannya adalah percikan dan pengaruh adegan filem Hang Jebat (Hussein Haniff 1961).
Dalam filem Hang Jebat, Jebat (Nordin Ahmad) melayan kemurungannya di atas batu selepas Tuah dibunuh sebelum dia mengamuk di istana raja untuk mencari keadilan.
Filem Amok dihasilkan dengan struktur cerita yang kejap, fotografinya baik walaupun terdapat penggunaan sudut kamera yang terasa canggung antaranya penggunaan sudut bawah yang tidak membawa pengertian yang jelas.
Suntingan filem ini kemas, banyak membantu memperkejapkan struktur cerita tetapi ada ketika pemilihan shotnya tidak diperhalusi maksudnya yang mana shot itu akhirnya menjadi sia-sia.
Penggunaan efek kilat semasa transformasi batin dari bapa Wan Man kepada Wan Man pada awalnya baik, tetapi apabila diulang beberapa kali kesannya menjadi sebaliknya.
Begitu juga dengan lakonan tiga orang pemuda kampung (tak ada kerja lain selain mengganggu pelancong luar) jelas tidak diarahkan dengan baik.
Kalaulah diberi pendekatan yang baik dan watak mereka jelas, mereka akan memberikan sumbangan yang baik untuk filem ini dengan unsur-unsur humor yang mampu mengimbangkan unsur ketegangan di sepanjang filem ini.
Satu aspek yang barangkali diambil mudah oleh filem ini ialah arahan seninya. Era tahun tujuh puluhan yang seharusnya menguasai suasana filem ini bukan sahaja tidak terasa tetapi mengelirukan kerana ketidaktelitian dalam rekaan set dan prop yang digunakan.
Di sebalik beberapa kelemahan filem ini, Amok masih sebuah filem yang menarik untuk ditonton. Subjeknya menarik dan berbeza dengan filem-filem tempatan lainnya.
Sumber : Utusan Malaysia 27/7/1995
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |