Ulasan
Review
. .

Judul : Antara Gadis
Tahun : 1993
Pengarah : Yuzwan Wahid
Cerita : Yuzwan Wahid
Pelakon : Yuzwan Wahid, Mas Anizan, Kamarool Hj. Yusuf, Zarina Zainuddin dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian: *


Adegan yang tidak menentu

Sejak sekian lama filem Melayu hidup dan berkembang dengan imej penuh glamour, indah, mengagumkan dan sekaligus bernafas dalam kekecewaan, keraguan dan kepalsuan, Filem kita adalah cerita tentang harapan dan impian, yang dramatik dan mendebarkan, yang sesekali tercapai dan banyak pula yang kecewa.

Filem Melayu adalah hiburan yang mudah, menjadi sinonim dengan mutu yang rendah, tiada tradisi intelektual dan buruk. Filem Melayu selalu dilihat dengan penuh prasangka dan sekadar menjadi cemuhan di kalangan penonton sendiri.

Di manakah salahnya filem Melayu?

Pembikinan filem Melayu pernah melalui zaman gemilangnya. Dikagumi dan dihargai. Tetapi maruahnya entah di mana kini. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan filem.

Siapa sahaja boleh menjadi pengarah filem. Filem Melayu dihasilkan sepertimana komoditi dagang lainnya.

Persoalannya untung rugi. Filem sebagai karya seni hanya momokan para penelaah dan sarjana filem yang sering menjadi pemerhati yang penuh prasangka.

Kisah seorang yang merasakannya serba boleh dalam urusan pembikinan filem Melayu. Yuzwan Wahid barangkali boleh berbangga dengan keupayaan menerbitkan, menulis skrip, berlakon, mengarah dan malah menyusun muzik untuk filemnya yang pertama ini. Tetapi apakah yang mahu dibuktikan oleh Yuzwan dengan filem Antara Gadis?

Satu hakikat yang pasti tentang filem, memanglah perspektif pengarahan adalah hak istimewa pengarah dan tidak boleh dipersoalkan. Sebab itulah akibat berkuasanya seorang pengarah ke atas cerita, lakonan dan fotografi telah melahirkan autuer theory yang menganggap pengarah adalah author sebenar karya filem yang mencorakkan konsep dan stail filem yang dihasilkan. Tetapi filem sebagai karya seni adalah a communal art form yang dihasilkan oleh sekumpulan tenaga kreatif selain dari pengarah.

Secara ringkas sebuah filem yang baik harus mempunyai cerita yang baik, dan digerakkan oleh plot yang dinamik.

Plot digerakkan oleh hubungan watak-watak dalam hukum sebab dan akibat yang tidak terabai, rasional dan meyakinkan. Adegan demi adegan diikat secara memikat, kemudian barulah kita boleh melihat sejauh manakah pengarah mampu berkomunikasi menerusi gambar dan lakonan.

Imej yang dihasilkan oleh kerja kamera harus berupaya mentafsir skrip. Hasil fotografi yang cemerlang adalah bonus kepada sesebuah filem.

Filem juga tidak mungkin dipisahkan dari aspek emosi. Di dalam filem, emosi saling bertindak sebagai sebahagian dari keseluruhan sistem. Emosi menggerak dan memotivasikan penonton. Tetapi emosi perlu ditangani dengan betul dan tidak seharusnya dibiarkan kering dengan melodrama yang dangkal.

Sesungguhnya hubungan di antara emosi yang diwakilkan di dalam filem dan emosi yang dirasai oleh penonton ada waktunya menjadi kompleks.

Seperti juga emosi, filem harus memberikan makna pada karyanya. Makna filem hanya berfungsi pada keseluruhan bentuk filem bila mana ia dijelaskan konteksnya.

Semakin umum atau abstrak makna yang dimaksudkan pada sesuatu adegan atau keseluruhan filem, maka semakin sukarlah penonton memahaminya dan semakin tinggilah risiko filem itu.

Sebab itulah menonton filem boleh menjadi pengalaman yang emosional dan intelektual. Filem tidak lagi dianggap sebagai substandard dari bentuk hiburan tetapi satu bentuk pengerjaan seni dalam bentuk dan konsep yang tersendiri.

Dalam budaya popular, filem telah menjadi sebahagian dari struktur ideologi yang telah membina imej individu dan masyarakat yang menentukan tindak balas dan penerimaan dalam hubungannya terhadap dunia sekitarnya.

Sebaliknya perbicaraan filem Antara Gadis adalah sebaliknya. Dengan kesungguhan Yuzwan yang berusaha menerbit, mengarah, menulis dan berlakon, dia seharusnya berusaha menjadikan Antara Gadis sebagai sebuah penerokaan artistik yang boleh dibanggakan.

Sayangnya Yuzwan barangkali terlupa aspek yang penting ini kerana terlalu sibuk dengan berlakon, mengarah, menulis dan menyusun muziknya, yang akhirnya memerangkap dirinya.

Filem boleh digunakan untuk apa sahaja. Sebagai bahan hiburan melulu. Sebagai media kritik sosial, sebagai media propaganda malah filem boleh menjadi media ibadah. Tetapi tanpa komitmen seni, filem kehilangan makna lalu menjadi komoditi dagang yang rakus.

Antara Gadis menjadi contoh antara beberapa banyak kekacauan dalam filem Melayu. Dan kekacauan ini bukanlah hal baru dalam filem Melayu, melainkan ulangan yang sama akibat dari kelemahan penulis cerita dan pengarah filem yang tidak peka.

Barangkali pengarah filem ini berniat baik mahu menampilkan kisah seorang mahasiswa dari keluarga (miskin?) di kampung, yang bertungkus lumus belajar dan pada waktu yang sama cuba berniaga untuk menampung belanja di universiti.

Bukan setakat itu, Zarul (Yuzwan Wahid) harus juga menghadapi dilema memilih antara dua gadis, seorang lepasan universiti luar negara dan seorang lagi, Dila (Mas Anizan) yang berlajar di universiti. Agaknya tidak cukup kompleks dengan kisah itu, diwujudkan pula masalah hubungan Amir (Kamarool Hj. Yusuf) rakan berniaga Zarul dengan Seha (Zarina Zainuddin) pelajar universiti yang juga teman Dila hingga cukup menimbulkan pelbagai masalah.

Terlalu banyak cerita yang hendak disampaikan dengan subplot-subplot yang tidak menentu dan tidak cukup kuat alasannya, yang akhirnya memangsakan filem ini sendiri. Filem bermula dengan kumpulan marhaban yang cukup panjang dan kemudian diikuti dengan kegiatan di kampus universiti.

Tetapi dari mula hingga akhir, kita tak pasti apakah yang mahu disampaikan oleh Yuzwan. Hubungan antara watak-watak tidak meyakinkan, malah penampilan watak tidak menonjolkan perwatakan pelajar universiti yang mereka bawakan. Kegiatan pelajar dilihat dari sudut yang cukup mudah dan mengelirukan.

Benarlah, pelajar universiti tidak dapat lari dari membuat hubungan cinta sesama mereka, tetapi tidaklah se'naive' dalam Antara Gadis. Pelajar universiti dalam filem ini bukan sahaja tidak bermotivasi tetapi langsung tidak kelihatan intelek. Gambaran yang sedemikian kacau dan mengelirukan tentang pelajar universiti bukan setakat dalam filem ini sahaja malah telah ditonjolkan dalam filem Riang Tirana dan Harry Boy. Ini adalah gambaran (yang jelas tidak benar) yang cukup berbahaya tentang kehidupan pelajar universiti kita.

Adegan-adegan (sequence) dalam filem ini tidak menentu, tidak unified dan akhirnya tergantung dan hilang makna serta tidak ada penjelasan.

Bila adegan yang tidak menentu ini dibiarkan maka filem yang dihasilkan hilang kesatuan. Akhirnya apa yang ditonton adalah cebisan-cebisan adegan yang tidak bermakna, tergantung dan bertaburan di sana-sini.

Ini diburukkan lagi dengan lakonan dan fotografi yang lemah. Kehadiran Abu Bakar Omar masih tidak berupaya membantu filem ini.

Sebahagian besar punca kesalahan filem Antara Gadis adalah berpunca dari Yuzwan sendiri. Barangkali dia harus sedar, menghasilkan filem yang baik tidak semudah membuat filem yang asal jadi.

Filem adalah a communal art form. Zaman satu orang menguasai segala-gala aspek pembikinan filem telah berlalu dan memang tidak wajar dipraktikkan.

Selagi pembikin filem mengambil sikap mudah dalam seni pembikinan filem, maka selagi itulah mutu filem kita tidak kemana. Dan akhirnya, jangan salahkan penonton bila mereka menolak filem Melayu.

Sumber : Utusan Malaysia 1/5/1993

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001