![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Azam
Tahun : 1997
Pengarah : Z. Lokman
Skrip/Lakon Layar : Panel Skrip Grand Brilliance Sdn Bhd
Pelakon : Shaharuddin Thamby, Wan Norazlin, Sharifah Shaheera, Zaidi Omar, Abu
Bakar Omar dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Z. Lokman adalah antara pengarah yang paling prolifik dalam menghasilkan
filem. Tetapi nama Z. Lokman juga sering memberikan kesan bahawa menghasilkan filem itu
kerja yang mudah.
Filem-filemnya sering diingat sebagai filem-filem yang berbujet rendah. Kualitinya dinilai rendah. Komedi slapstik yang ringan dan sering dicemuh. Tetapi bagi Z. Lokman biar apapun tanggapan ramai, filemnya tidak sampai kerugian.
Z. Lokman mungkin benar jika filem hanya dinilai sebagai sebuah hasilan komoditi tetapi filem adalah sebuah karya seni yang nilai dan kesannya jauh lebih penting dari sekadar ukuran untung rugi. Diukur dari jumlah filem yang telah dihasilkannya, filem-filem Z. Lokman sudah seharusnya menampakkan kematangan.
Kelemahan dalam filem-filemnya yang lepas seharusnya menjadi perbandingan yang baik dalam membuat penilaian. Azam diterbitkan oleh Grand Brilliance, dimana sekurang-kurangnya Z. Lokman tidak menghadapi belenggu modal seperti mana yang sering dirungutkannya sebelum ini.
Sebab itu Azam seharusnya menjadi lebih baik dan mantap. Kesempatan yang ada harus digunakan sebaiknya oleh Z. Lokman untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih bermakna. Sayangnya Azam sepertimana filem-filem Z. Lokman sebelum ini.
Ia sekadar mengulangi penyakit lama filem Melayu. Azam mengisahkan Azam (Shaharuddin Thamby) seorang pemuda yang perlu menghadapi masyarakat selepas 17 tahun menjalani hukuman akibat melakukan rompakan di sebuah bank. Tetapi masyarakat kampung nyata tidak mudah menerima seorang bekas banduan.
Bukan itu sahaja isterinya Tipah (Wan Norazleen) yang kini telah berkahwin dengan Musa (Zaidi Omar) seorang guru silat juga tidak dapat menerimanya. Anaknya yang telah remaja Izah (Sharifah Shaheera) tidak dapat mengenalinya.
Kecuali Pak Itam (Abu Bakar Omar) dan isterinya sahaja yang bersimpati, Azam harus menghadapi pelbagai tohmahan dan penghinaan daripada orang kampung. Ada persoalan yang menarik hendak dikemukakan oleh Z. Lokman sebenarnya. Tetapi olahan plotnya lemah dan mengacaukan.
Kecuali adegan pembukaan dan penutupnya (yang diarah dan disunting dengan baik), perkembangan plot dalam filem ini cukup lemah. Perwatakan tidak jelas dan hilang ransangan. Ceritanya hilang fokus.
Kalau filem sudah lemah dalam aspek yang mendasar begini, bagaimanakah hendak dinilai aspek lakonan, fotografi dan kekuatan konsepnya. Hujah begini mungkin sukar diterima bagi sebuah filem yang dihasilkan dengan niat untuk hiburan semata-mata.
Bagaimana pun walau sebuah filem hanya dihasilkan untuk hiburan semata-mata ia tetap memerlukan olahan cerita yang baik. Kelemahan teknik boleh sahaja dimaafkan sekiranya didokong oleh cerita yang baik. Ini kerana penonton yang menonton filem tetap menanyakan nilai cerita terlebih dahulu.
Sumber : Utusan Online 14/3/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |