![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Azizah - The
Legend
Tahun : 1993
Pengarah : Arief Karmahani
Pelakon : Wafa Abd. Kadir, Badrul Muhayat, Azreen, Khalid
Salleh, Ebby Saifullah dan Rosnani Jamil
Keluaran : Fuego Production
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Saya ingin memulakan perbicaraan filem kali ini dengan filem yang membuka tirai filem Melayu 1993.
Filem ini dihasilkan dengan hasrat yang baik tentunya. Tetapi, filem tidak dinilai dari niat pembikinannya. Orang tidak mahu ambil tahu bagaimana sukarnya filem dibikin. Filem dinilai dari hasilnya. Maka menghasilkan filem, dengan teknik apa pun, apa jua temanya, yang tertinggal adalah kesan. Kesan hanya dapat dirasai bila filem berjaya mengungkapkan permasalahan manusia secara jujur.
Filem, apa pun jua genrenya, sama ada periodik atau semasa tetap sama saja mengungkapkan permasalahan manusia. Kesemua permasalahan itu tidak akan berjaya diungkapkan ke dalam filem dengan baik tanpa pemahaman yang pasti terhadap mana-mana budaya manusia yang diangkat kisahnya.
Segala pemahaman ini masih belum bererti jika si pembikin tidak benar-benar memahami keupayaan dan kekuatan mediumnya, yakni filem. Sebuah skrip yang baik belum menjanjikan filem yang baik jika fotografinya tidak bererti, demikian juga jika skrip baik, fotografinya cemerlang tetapi suntingan yang muziknya bercelaru, pasti akan menghasilkan filem yang buruk.
Selain menghasilkan Riang Tirana, saya menganggap Arief telah mendapat pengalaman yang cukup berharga. Dia tidak mungkin akan mengulangi kelemahan-kelemahan yang telah dilakukannya dalam filem itu. Maka, bila dia mengarahkan Azizah - The Legend, seharusnya Arief telah memahami apa yang harus dilakukannya.
Kita bersetuju bila filem ini tidak dihubungkan dengan peristiwa dalam kehidupan P. Ramlee. Atas alasan ini, filem Azizah boleh sahaja dibuat dengan mengambil latar waktu masa kini kerana menghasilkan filem periodik memerlukan persiapan yang lebih besar dan dengan ketelitian yang lebih mendalam.
Tetapi apakah yang boleh dilakukan jika skripnya sahaja sudah sedemikian lemah? Barangkali pengarah mempunyai dua pilihan. Pertama, menolaknya. Dan kedua, memperkuatkan dengan meminda atau menulis semula skrip asal.
Filem ini sebenarnya boleh dilihat dari dua aspek. Hubungan Azizah dengan Ramli atau hubungan Azizah dengan ayahnya, Sidi. Antara dua hubungan ini ternyata hubungan Azizah dengan ayahnya lebih menarik. Kerana lingkungan tradisi, Azizah begitu taat (takut?) pada ayahnya, manakala Sidi terlalu mengongkong pergerakan anaknya. Ini mungkin di sebabkan Sidi takut kehilangan kasih sayang Azizah kepadanya selama ini. Yang menarik, siapakah Sidi? Orang tua yang menghadapi tekanan perasaan atau menghadapi masalah jiwa? Malah hubungan Sidi dengan adiknya Sidah (Rosnani Jamil) turut mencurigakan. Ini di sebabkan dalam adegan Sidi hendak menembak Abu yang memperkosa Azizah, Sidah segera mengingatkan Sidi yang Abu itu anak siapa. Siapakah sebenarnya Abu? Anak hasil hubungan sumbang Sidi dan adiknya Sidah?
Ceritanya menarik. Tetapi kelemahan plotnya kerana mengutamakan yang remeh-temeh. Yang penting diabaikan. Maka tidak hairanlah, apa yang dipaparkan hanyalah kemarahan-kemarahan si ayah yang pada waktu-waktunya tidak berasas. Mencemburui anak-anak muda main muzik secara membabi buta. Yang boleh dibanggakan hanyalah kejayaan filem ini menunjukkan bagaimana bahasa surat cinta tahun 30-an. Tetapi ini bukan elemen penting dalam Azizah.
Dalam banyak hal pengarah ternyata lebih berminat pada kerja-kerja kamera. Jangan hairan jika penggambaran dalam rumah pun menggunakan kren, gambar diambil dari sudut tinggi, atas alang rumah atau lebih melampau kemera dari sudut dalam perigi. Apakah fungsi sudut-sudut kamera ini? Di manakah perhitungan gerak, pemilihan objek dan subjek, penciptaan mood dan sebagainya. Lebih buruk bila imej-imej dalam frem gagal memberikan sumbangan yang bererti.
Imej, kata Gogol berfungsi memaparkan kehidupan sendiri. Kekuatan imej adalah ritme yang selalunya menyarankan ruangan masa dalam frem.
Azizah tidak seharusnya menjadi terlalu melodrama.
Sebagai sebuah filem period, Azizah boleh cemerlang asal pengarahnya benar-benar memahami bagaimana menangani subjeknya.
Azizah membuka tirai filem Melayu 1993, tetapi hakikatnya nyata kemiskinan filem Melayu perlu terus diakui.
Sumber : Utusan Malaysia 13/2/1993
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |