![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Bara
Tahun : 1999
Pengarah : Yusof Haslam
Lakon Layar : Yusof Haslam
Pelakon : Awie, Rosyam Nor, Nasha Aziz, Zamani, Arni Nazira, A. Galak dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Filem Yusof Haslam yang terbaru? Bagi peminat setia filem-filem Yusof pastinya
sudah dapat menduga konsep cerita, bentuk dan stail filemnya. Jangan kecewa, semua elemen
yang menjadi trademark filem Yusof ada dalam filem ini. Bara tetap
mengekalkan formula kejayaan filem-filem Yusof terdahulu, penyanyi, lagu, cinta dan aksi
(eh, kalau formula itu terbukti berjaya di pasaran, mengapa perlu diketepikan?).
Bara mengisahkan bagaimana seorang gadis kampung (zaman ini?) Effa (Nasha Aziz) kerana kenaifannya dengan mudah ditipu oleh Zeti (Ning Baizura) untuk menjadi seorang pelacur di dalam sindiket pelacuran di ibu kota Kuala Lumpur yang diketuai oleh Carlos (Rosyam Nor).
Satu malam, Effa berjaya melarikan diri, tetapi dia diburu oleh orang-orang Carlos sehinggalah hero kita, Amri (Awie) menyelamatkannya dan bermula dari situ hubungan mereka berkembang hingga menjadi sepasang kekasih.
Amri dan kawannya Ziman (Zamani) adalah mekanik di siang hari, tetapi bekerja sebagai pemuzik dan penyanyi di sebuah kelab di waktu malam. Effa bagaimanapun terus diburu oleh Carlos yang kemudian berjaya membunuhnya, tetapi Amri pula dituduh. Akhir cerita, Amri berjaya membalas perbuatan Carlos.
Ada drama, diselitkan komedi, ada aksi, ada percintaan, konflik dan ada nyanyian. Elemen ini semua memang mampu menghasilkan naratif yang baik asal sahaja dianyam dan diadun dengan bijaksana.
Tetapi Bara tidak mempunyai struktur naratif yang kukuh kerana kelemahan plotnya. Bara bermula dengan baik, tetapi sebaik Effa diselamatkan oleh Amri, plot seterusnya menjadi kacau dan lemah, dan hanya untuk mengisi masa filem dan mengiringi dendangan lagu-lagu.
Bayangkan hero kita Amri masih boleh terperanjat, cemburu dan mahu mendapatkan kepastian daripada Effa semasa seorang lelaki upahan dan Carlos mengugut dan mengatakan Effa seorang pelacur.
Sedangkan sebelum itu, di awal filem, hero kita itulah yang menyelamatkan Effa daripada sindiket pelacuran Carlos dan kemudian jatuh hati pula. Dan jangan persoalkan bagaimana hero kita itu dengan mudah melarikan diri daripada buruan hebat anggota polis dan mudah pula membalas dendam. Eh, itukan realiti filem?
Filem begini mudah diterima dan serasi kepada sebahagian besar penonton kita. Selagi mereka dapat mengidentifikasikan diri dan tahap pemikiran mereka dengan watak Effa (kecantikan Nasha memang menawan) yang naif dan mudah tergoda serta ditipu. Maka, jangan hairan dengan kejayaan formula filem begini.
Sumber : Utusan Online 2/4/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |