![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Burung Besi
Tahun : 1999
Pengarah : Badaruddin Azmi
Pelakon : Azean Irdawaty, Sharul Nizam Ariffin, Noraini Morat, Hairul Rickyno
dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Badaruddin Azmi menjadi terkenal kerana bakatnya yang cukup baik sebagai pengarah fotografi yang selalu berjaya menghasilkan visual-visual yang menarik. Berdasarkan keupayaannya itu, dia ditawarkan untuk mengarahkan filem Burung Besi. Pengarah fotografi menjadi pengarah filem bukanlah asing.
Contoh antara pengarah fotografi yang berjaya menjadi pengarah filem adalah Haskell Wexler, Vilmos Zsigmond, Nven Nykvist dan yang cukup popular sekarang ini adalah Jan de Bont (filem arahannya yang cukup berjaya adalah Speed). Bagaimanapun keupayaan menghasilkan visual yang cemerlang bagi sesebuah filem bukan ukuran mudah untuk berjaya menjadi pengarah filem yang baik. Ini kerana sebuah filem yang baik tidak dibangunkan daripada kehebatan persembahan visualnya sahaja tetapi dilengkapkan dengan komponen yang lain seperti skrip dan lakonan.
Filem ini sebenarnya sudah lama disiapkan. Sayangnya filem sulung arahan Badaruddin Azmi daripada cerita yang dihasilkan oleh Unit Skrip Grand Brilliance ini tersimpan senyap untuk beberapa lama.
Burung Besi ditayangkan tanpa promosi yang hebat. Judul filem ini Burung Besi agak aneh dan sedikit melucukan, tetapi keanehan judul itu juga mungkin dapat menarik perhatian penonton.
Filem Burung Besi adalah sebuah filem aksi komedi yang ditujukan kepada remaja. Pemain utamanya adalah remaja, pelakon baru dan subjeknya merupakan sebahagian daripada hobi remaja masa kini iaitu permainan kapal terbang kawalan jauh.
Kerana Badaruddin Azmi merupakan seorang pengarah fotografi sebelum ini dan ia juga bertindak yang sama dalam filem ini selain mengarah maka aspek fotografi kelihatan menjadi tumpuan utama dalam Burung Besi.
Bagaimanapun fotografi dalam filem ini tidaklah begitu cemerlang. Beberapa adegan yang menunjukkan pertempuran di udara antara dua kapal terbang kawalan jauh berjaya digambarkan dengan baik. Tetapi sebahagian adegan yang seharusnya dilengkapkan dengan shot penerbangan yang dramatik di waktu malam tidak dilakukan dengan sebaiknya, cuma sekadar dilengkapkan dengan kesan bunyi enjin sahaja. Adegan-adegan begini seharusnya dapat memberikan impak dramatik kepada filem ini.
Burung Besi berpotensi menjadi sebuah filem remaja yang baik jika skripnya lebih diberikan perhatian yang utama. Setiap adegan dalam binaan plotnya harus lebih meyakinkan dan tidak meremehkan. Tujuan untuk menghasilkan sebuah filem remaja dengan jalan cerita yang ringan tidak bermaksud mengetepikan kepentingan perincian dan kekuatan plot.
Kalau hal ini diutamakan tidaklah banyak adegan yang dipersoalkan, sungguhpun tujuannya tidak lebih untuk menimbulkan kelucuan. Kelemahan filem ini bukan bermakna pengarah fotografi yang baik tidak boleh menjadi pengarah filem yang baik, tetapi tumpuan harus diberikan kepada pembentukan skrip yang ampuh dan keupayaan arahan lakonan. Jika kelemahan dalam binaan skrip, lakonan para pelakon dan pendekatan pengarah dapat diatasi saya percaya Burung Besi boleh menjadi sebuah filem yang baik dan menghiburkan.
Sumber : Utusan Online 3/12/1999
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |