Ulasan
Review
. .

Judul : Cinta Tiada Restu
Tahun : 2001
Pengarah : Azman Yusoff
Lakonlayar : Rice Miller
Pelakon : Surni Salasan, Salehuddin Hasan, Kartina Aziz, Abu Bakar Omar, Jasmin Hamid, Rozie Osman, Nahib Salim, Yusof Chong dan lain-lain

Pengulas : Ellyna Ali


Cinta Tiada Restu macam filem 70-an

Saya akui selepas mendengar pelbagai masalah yang dihadapi syarikat Dreamwalk Film ketika menerbitkan filem muzikal Cinta Tiada Restu, saya tidak tahu bagaimana mahu mengulas filem ini.

Yalah... apa yang perlu saya katakan kalau yang menghasilkan filem ini adalah sebuah syarikat produksi kecil yang bercita-cita besar untuk menjadi pembikin filem tapi dalam masa yang sama pula berdepan dengan masalah kewangan.

Takkanlah kita mahu menyekat impian murni mereka itu pula. Sekurang-kurangnya pembabitan Dreamwalk Film mampu memeriahkan lagi industri perfileman kita. Tapi, alang-alang membuat filem, biar hasilnya yang keluar nanti boleh dibanggakan.

Masalah kewangan yang dihadapi mereka tidak harus dijadikan alasan, kenapa produk Cinta Tiada Restu ini kurang menarik dari segi keseluruhan persembahannya. Malah, ia kelihatan seperti filem yang dibikin pada 1970-an.

Sinematografinya pula agak lemah. Tapi, oleh kerana mereka cuba bereksperimen dengan menggunakan kaedah medium penggambaran digital video yang lebih jimat kosnya berbanding pembikinan filem biasa, maka kelemahan dari segi sudut sinematografinya mungkin bolehlah dimaafkan.

Tapi, jalan ceritanya pula sebenarnya akan menjadi lebih menarik kalau digarap dengan lebih padat dan teliti walaupun menggunakan tema yang biasa saja iaitu cinta yang dipersembahkan dalam bentuk muzikal. Tapi, pengarahnya Azman Yusoff gagal memanfaatkan peluang itu.

Dialognya pula tidak nampak begitu mantap, cerdik dan mengesankan walaupun mempunyai banyak mesej berguna. Mungkin juga kerana disampaikan secara surface.

Bentuk muzikal yang dipersembahkan dalam filem ini seperti yang dilakukan filem Bollywood bolehlah dipuji. Tapi, standardnya biarlah membanggakan. Janganlah nampak begitu murahan seperti menyelitkan Yusof Chong menyanyi sambil berbaring kemudian diiringi pula beberapa penyanyi latar lelaki yang bertopi koboi. Itu semua ala 70-an!

Pun begitu, saya puji kesungguhan Dreamwalk Film sebagai penerbit untuk merealisasikan Cinta Tiada Restu walaupun berdepan dengan pelbagai kemelut. Malah, mereka begitu yakin produk itu boleh menghiburkan penonton kita.

Apa lagi menampilkan Suara Serasi iaitu kumpulan duo kelab malam yang dianggotai Surni Salasan dan Salehuddin Hasan sebagai watak utama. Satu percubaan yang berani!

Cinta Tiada Restu yang bakal menemui pawagam pada 27 September ini mengisahkan percintaan seorang gadis, Irda lakonan Surni Salasan terhadap seorang pemuzik, Ilham (Salehuddin Hasan).

Tapi, percintaannya dengan Ilham mendapat halangan ibunya, Mak Kijah (Kartina Aziz) kerana Mak Kijah berpendapat golongan pemuzik adalah low class.

Dalam masa yang sama, Irda yang mewarisi darah seni daripada bapanya, Pak Haron (Abu Bakar Omar) menyimpan impian untuk menjadi penyanyi.

Pelbagai kesukaran terpaksa ditempuhnya demi menjadi penyanyi termasuklah berdepan dengan seorang lelaki, Andy Jefri (Yusof Chong) yang mengakui produser album tetapi sebenarnya berhasrat untuk mengambil kesempatan terhadapnya.

Akhirnya, impiannya itu tercapai apabila bertemu dengan Encik Hormat (Nahib Salim) dan Irda kemudian mendapat tunjuk ajar daripada Ilham.

Dalam diam-diam, Ilham dan Irda saling cinta-menyintai. Tapi, adakalanya Ilham enggan mengakui perasaannya itu kerana dahulu dia dikecewakan seorang penyanyi wanita yang dididiknya semata-mata terpikat dengan kekayaan seorang VIP bergelar Datuk.

Lalu dia menganggap semua gadis adalah sama saja dan mementingkan materialistik termasuklah Irda.

Pun begitu, seperti mana kebanyakan filem Melayu atau Bollywod yang sedia ada, apa yang terjadi seterusnya memang dapat anda jangka. Apapun, selamat menonton!

Sumber : Berita Minggu Online (30/9/2001)

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2002