Ulasan
Review
. .

Judul : Cinta Tiada Restu
Tahun : 2001
Pengarah : Azman Yusoff
Lakonlayar : Rice Miller
Pelakon : Surni Salasan, Salehuddin Hasan, Kartina Aziz, Abu Bakar Omar, Jasmin Hamid, Rozie Osman, Nahib Salim, Yusof Chong dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Alahai malangnya Cinta Tiada Restu

Filem ini tiba-tiba muncul tanpa riuh rendah publisiti dan promosi. Pengarah dan penulis skripnya juga tidak pernah kita tahu sebelum ini.

Selepas menonton filem ini, saya tidak tahu bahawa menghasilkan sebuah filem boleh jadi semudah itu. Dengan menggunakan teknologi video digital dan kemudian dipindahkan ke filem, maka filem ini dihasilkan.

Filem ini barangkali membuktikan anda tidak perlu ke sekolah filem, memecah kepala untuk memahami teori filem, mengkaji filem secara kritis atau mempelajari makna dan kaedah betul teknik pembikinan filem.

Saya tidak bermaksud publisiti dan promosi akan menjanjikan kehebatan sebuah filem, lulusan sekolah filem akan menjanjikan anda menjadi pembikin filem yang hebat atau video digital tidak boleh digunakan untuk menghasilkan filem yang baik.

Sebuah filem bukan sahaja dilihat pada kekuatan aspek teknikalnya, tetapi yang lebih penting adalah subjek dan aspek pemikirannya.

Saya kira sebuah filem dengan kisah cinta yang kacau begini sudah tidak lagi dihasilkan oleh pembikin filem tempatan di alaf baru. Saya silap rupanya. Puluhan drama yang ditayangkan di televisyen mempunyai kualiti cerita yang bukan sahaja jauh lebih baik daripada filem ini, malah dari segi teknik jauh lebih sempurna.

Hampir keseluruhan imej filem ini dalam keadaan "burn-out" dan perspektif yang lemah akibat kelemahan teknikal dan kegagalan pengawalan cahaya.

Mungkin video digital adalah jawapan kepada kos yang semakin tinggi jika menggunakan filem, tetapi dengan kualiti yang sebegini lemah ia juga tidak memberi sebarang makna.

Sumber : Utusan Malaysia Online (5/10/2001)

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2002