![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Dari
Jemapoh Ke Manchestee
Tahun : 2001
Pengarah : Hishamuddin Rais
Lakonlayar : Hishamuddin Rais
Pelakon : Indra Syahril, Zulkarnain Ibrahim, Azizul Akma, Fariza Azlina, etc.
Pengulas : Hasmiron Hamdan
Tertayang juga sebuah filem yang amat sesuai untuk dijadikan santapan minda kita - muda belia negara. Dari Jemapoh Ke Manchestee (DJKM) mungkin tidak segah The English Patient atau Farewell My Concubine tetapi mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan filem-filem seperti Full Monty, Happy Together dan Taste Of The Cherry.
Tidak keterlaluan jika dicanangkan filem ini adalah filem "komedi" pascamoden yang terbaik pernah dihasilkan oleh pembikin-pembikin filem tempatan (selain filem road movie pertama Malaysia). Banyak yang mampu dipelajari oleh Datuk Yusof Haslam dan Aziz M. Osman dalam memberi definisi kepada istilah lucu dan kelakar. Sepatutnya era komedi splastik dan lawak bodoh yang ditunjangi oleh kumpulan SENARIO sudah berkubur sedekad dua nan lalu.
Dalam memperkatakan tentang DJKM, tidak sah jika tidak disentuh kekuatan jalan ceritanya. Cerita yang bagus tidak hanya terletak kepada berapa takung air mata yang tertumpah atau berapa ramai mayat yang bergelimpangan. Kerana itulah, filem yang bertolak kepada keinginan seorang kanak-kanak perempuan yang hendak membeli seekor ikan emas pernah dinobat sebagai filem terbaik. Dalam filem ini, impian seorang anak muda untuk menonton aksi George Best secara langsung telah digarap dengan begitu jelas dan kukuh sehingga tampak sama pentingnya dengan keghairahan Mafiz untuk mencari ayahnya yang merantau ke Liverpool.
Di sini nampak nilai-nilai humor Hishamuddin Rais yang bersahaja. Tidak perlu dengan adegan-adegan Mr. Bean untuk menarik tawa daripada penonton. Idea untuk ke England dengan berkelana mengikut jalan darat pasti mengundang cemek. Apatah lagi dengan sebuah kereta antik Volvo merah. Tetapi bak kata pegawai polis, "Masa muda ni lah nak buat benda-benda yang mengarut. Bila dah tua, dah berkahwin, dah beranak semuanya takut"
Semangat Yadi dan Mafiz yang berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki ke bumi bekas penjajah, meniupkan ransangan kepada muda-mudi untuk berangan-angan serta berani mencuba. Mungkin sesetengah orang melihatkan mereka ini sebagai golongan yang bodoh tetapi saya lebih tergerak untuk memandangnya sebagai sifat lurus kebanyakan remaja yang kadangkala pendek akal.
Apa yang ingin disampaikan oleh pengarah bahawa setiap orang itu boleh menjadi lucu kepada orang lain. Dan kelucuan yang natural inilah yang menyerlahkan nilai-nilai keseksian seseorang insan. Kefanatikan anak remaja lelaki kepada demam bolasepak yang dibawa oleh Manchester United mungkin menjadi kepelikan kepada sesetengah orang. Begitu juga kepada anak muda rugged yang membencikan kezaliman dan jenayah.
DJKM bagai menghidangkan kebebasan berfikir kepada para penonton. Sepanjang hampir dua jam tayangan, apa yang merisaukan bukannya bilalah anak-anak muda ini ke Manchester tetapi sampaikah mereka? Penonton bagai dihambat dengan pertanyaan apa yang akan berlaku sebentar lagi. Pendek kata, tiada yang predictable dalam filem ini.
Pedas. Itu yang wajar disimpulkan kepada sindiran-sindiran yang dihidangkan kepada penonton. Selain kerajaan, pihak polis dan Lembaga Penapisan Filem, kaum lelakilah yang acapkali dicucuk. Dan yang paling melekat di kotak ingatan ialah poster-poster seksi yang dicalitkan cat hitam pada anggota-anggota badan yang tertentu.
Perjalanan DJKM adalah terkawal dan konsisten tanpa menjejaskan elemen kebebesan yang cuba dicanangkan. Mungkin kerana itu, skripnya digarap dengan plot-plot yang sedemikian rupa. Teknik suntingan yang digunakan seperti gunting silang, cepat-cepat mengingatkan kepada filem-filem Suhaimi Baba. Memang jarang kalau bukan tidak pernah, untuk melihat pembikin filem seperti Z. Lokman dan Datuk Yusof Haslam bermain dengan kepelbagaian teknik suntingan yang sedia ada.
Selain kekuatan lakonan, DJKM juga bereksperimen dengan sinematografi yang sungguh memberangsangkan. Kecantikan setiap babak tidak hanya pada prop yang minima serta latar alam yang kaya dan jujur tetapi juga kesegaran watak-wataknya. Amat jarang di dalam sesebuah filem Melayu mahupun Hollywood, sahsiah watak-wataknya seimbang. Dalam DJKM, setiap orang mempunyai hati yang hitam putih. Bukankah kita pun sama?
Sumber : http://www.oocities.org/arenaku/filmreview/darijemapohkemanchester (11/10/2001)
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2002 |