Ulasan
Review
. .

Judul : Femina
Tahun : 1994
Pengarah : Aziz M. Osman
Skrip/lakonlayar : Aziz M. Osman
Pelakon : Erma Fatima, Eman Manan, Susan Lankester, Maria Farida, Azman Abu Hassan, Din Glamour

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : ***


Subjek menarik tetapi...

Femina Nampaknya makna feminis sejak pertama kali diperkatakan dalam jurnal Athennaeum, 1985 tidak pernah berubah. Wanita dikatakan mempunyai keupayaan berjuang mencari kebebasan. Feminisme menjadi agenda yang menentang dominasi patriki, yang menyifatkan lelaki cenderung merendahkan wanita, menguasai dan melakukan penindasan ke atas wanita.

Feminisme mahukan dunia sejak dahulu lagi tidak menganggap wanita sebagai objek hiasan atau sebahagian daripada ahli kumpulan istimewa. Wanita kata mereka berhak mendapat peluang dan keadilan, berhak bersuara di agenda dunia.

Wanita selalu dianggap feminis bilamana dia melahirkan sentimen yang membezakannya dengan kumpulan lain.

Wanita sekarang, kata Betty Friedan antara pengasas gerakan feminis, di sebalik sebahagian kejayaan besar perjuangan mereka menuntut persamaan hak, sedang menghadapi krisis identiti dan masalah baru yang tidak 'bernama'. Wanita dikatakan dimusnahkan oleh kebebasan mereka sendiri, ahli-ahli psikologi melihat wanita-wanita independent yang terasing, sebagai mewakili satu masalah utama kesihatan mental hari ini. Wanita profesional dikatakan menghadapi burn-out.

Wanita menghadapi pelbagai kecaman di sebalik kehebatan gerakan feminis. Mereka menghadapi krisis keyakinan.

Segala wacana feminis yang kononnya bertujuan menempatkan wanita di tempat sewajarnya, menjadi sebaliknya. Wanita menerima backlash daripada gerakan yang diatur oleh mereka sendiri. Perjuangan dan kelemahan feminis menjadi dasar cerita Femina karya dan arahan terbaru Aziz M. Osman. Feminisme juga bukan persoalan baru dalam filem Melayu.

Filem Selubung melihat ketabahan dan semangat seorang eksekutif wanita sebagai sukarelawan yang juga menghadapi dilema cinta. Perempuan, Isteri dan... arahan U-Wei Shaari menjadikan dendam seorang wanita kepada lelaki sebagai dasarnya. Aziz mengambil pendekatan yang berbeza. Femina menghujahkan perjuangan feminisme dan kedudukan wanita daripada kacamata seorang penulis dan pengarah lelaki.

Perjuangan wanita diwakilkan kepada dua orang wanita, Anita (Susan Lankester) penerbit majalah Femina dan pengarangnya, Tina (Erma Fatima). Mereka adalah gambaran pejuang gerakan feminis yang agresif yang berani berdepan dengan sesiapa sahaja hatta bertindak di luar batasan seorang wanita. Mereka sedia menghadapi sekumpulan lelaki yang berdemonstrasi di luar dewan seminar. Majalah mereka dijadikan gelanggang membelasah kaum lelaki.

Pejabat penerbitan majalah Femina juga menjadi markas yang aneh, ia membentuk dunia yang tersendiri. Bukan sahaja kerana rekaan dalamannya kelihatan ultra moden dan aneh bahkan mereka membuat peraturan yang aneh yang tidak membenarkan sebarang lelaki bekerja dan memasuki pejabat itu.

Feminisme menjadi ideologi yang begitu menguasai Anita dan Tina, yang mana bukan lagi sekadar perjuangan menuntut hak, tetapi menjadikan mereka lebih agresif hingga pantang dicabar.

Pada mereka lelaki bukan sebagaimana lelaki yang difahami tetapi adalah ejen pengancam dan penindas seksual. Apa yang berlaku ke atas Maya (Sharifah Haslinda) yang dipaksa oleh bapanya menjadi pelacur sebagai usaha membayar hutang, membuka peluang kepada Anita dan Tina menonjolkan perjuangan mereka kepada masyarakat dan sekaligus melakukan male-bashing.

Sikap Azman Abu Hassan yang menggilai Tina hanya sekadar mendedahkan dirinya untuk akhirnya dipermainkan dan dimalukan oleh Tina dan Anita.

Tetapi perlumbaan agresif untuk membelasah lelaki dan membina tembok pemisah akhirnya mendedahkan mereka kepada kelemahan sendiri. Usaha kuat Tina memperjuangkan wanita yang tertindas diambil kesempatan oleh Anita untuk menonjolkan dirinya. Perjuangan mereka akhirnya lemah kerana sikap agresif yang tidak menentu dan sikap oportunis. Anita dan Tina akhirnya sekadar berusaha untuk menonjolkan diri mereka di media sebagai pejuang feminis.

Kehadiran Pyan (Eman Manan) menggugat faham feminisme Tina. Pyan, tauke bas mini sanggup memberhentikan basnya di tepi jalan hanya untuk bertengkar dengan Tina yang dianggap sebagai mengganggu lalu lintas kerana sesi fotografi model-modelnya. Penulis mahu menggunakan watak Pyan untuk melemahkan ideologi dan perjuangan feminis Tina. Hujahan dan tindakan Pyan menyelamatkan Maya adalah usaha Pyan menentang Tina.

Fahaman feminis Tina runtuh bilamana dia akhirnya menyintai Pyan dan perkahwinan Tina dengan Pyan sekaligus menamatkan perjuangan feminis Tina. Sikap Anita terhadap perjuangan feminis daripada awal lagi mungkin boleh diragui atau juga boleh dianggap lebih keras daripada fahaman feminis yang menguasai Tina kerana Anita menggunakan lelaki sebagai pemuas nafsunya. Apakah ini juga bermaksud dominasi patriki lelaki terus kekal.

Sebenarnya tindakan Tina yang menjadikan lelaki sebagai pelepas dendamnya boleh difahami.

Dia adalah anak mangsa perceraian ibu bapanya dan dibesarkan oleh ibu tunggal.

Sejak itu dia memusuhi dan mendendami lelaki. Filem ini mempunyai subjek yang menarik tetapi skripnya lemah, ada dialog yang memberikan hujahan yang menarik tetapi sebahagian besar yang lain sekadar klise dalam menggambarkan pertentangan hubungan lelaki dan wanita yang disampaikan dengan kasar dan sekali gus menunjukkan kekaburan dalam memahami masalah feminisme di negara ini.

Kesannya filem ini sekadar memberikan permukaan yang menarik tetapi kandungannya jauh masih kasar.

Filem ini dibuka dengan pemandangan Kuala Lumpur daripada udara dengan blok-blok bangunan yang kelihatan sebagai gambaran sikap moden masyarakatnya.

Fotografi dilakukan dengan baik tetapi dalam adegan tertentu tidak diarahkan dengan baik. Penggunaan asap di waktu malam di kawasan rumah Maya memberikan kesan sebaliknya.

Adegan sekumpulan lelaki berdemonstrasi di luar dewan seminar dan menjerit-jerit sebenarnya tidak perlu. Adegan penamat filem ini tidak dilakukan dengan baik.

Femina mungkin menjadi filem yang lebih baik kalau penulisnya dapat mengatasi kelemahan pengolahan skrip dan mendalami persoalan feminis dalam masyarakat.

Sumber : Utusan Malaysia 26/3/1994

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001