Ulasan
Review
. .

Judul : Gemerlapan
Tahun : 1997
Pengarah : A. Razak Mohaideen

Lakonlayar : A. Razak Mohaideen
Pelakon : Baby (Res 2), Maya, Lan (A to Z), Sham (Visa), Kuman (KU2), Eisya, Shafi Khan, Umi (Res 2), Amir, Ismail Din, Azean Irdawaty dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C


Kemewahan dalam filem remaja

Gemerlapan Sejauh manakah kehidupan remaja dapat dihubungkan dengan filem-filem remaja sekarang? Juga, sejauh mana pembikin filem dapat menyelami subjeknya (kehidupan remaja sekarang) secara lebih matang? Remaja sendiri dikatakan hanya secara marginal menerima atau mengidentifikasikan diri mereka dengan idea yang terdapat dalam filem-filem remaja.

Malah secara disedari remaja tidak melihat filem sebagai sumber mencari kebenaran atas sesuatu persoalan. Berbanding filem, emosi remaja sebenarnya lebih banyak dipengaruhi oleh muzik, umpamanya muzik rock.

Tetapi sepertimana juga muzik, filem adalah sebahagian dari kehidupan remaja. Remaja adalah penentu pasaran sesebuah filem. Sebab itu hubungan antara filem dan remaja cukup rapat.

Gemerlapan adalah antara filem tentang remaja yang sebahagian besarnya dibintangi oleh para penyanyi remaja yang popular. Gemerlapan mendekati subjeknya sepertimana kebanyakkan filem remaja tempatan lainnya. Dunia remaja dalam filem ini adalah kehidupan kolej, percintaan dan kemewahan.

Kehidupan yang mereka lalui mudah, cantik dan sesekali dihalangi oleh permasalahan cinta. Sudah tentu gambaran ini tidak seluruhnya mewakili kehidupan remaja yang sebenar yang rasanya persoalan kehidupan semasa mereka lebih rencam lalu sukar dimengerti. Kegugupan remaja, impian dan tanggungjawab serta kegelisahan hidup sebagai remaja di kolej sayangnya tidak diterokai sepenuhnya.

Dalam Gemerlapan, Mimi (Baby Res 2) adalah seorang pelajar kolej elit yang diminati oleh Mel (Lan) rakan sekelasnya. Sedangkan pada masa yang sama Mimi meminati seorang pelajar baru (Shafi Khan) yang kebetulan tinggal di sebelah rumah Mimi. Pelajar baru ini juga turut diminati oleh Pam (Maya) rakan sekelas Mimi.

Salah faham dan cemburu timbul diantara mereka. Subplot filem ini cuba menyelitkan hubungan sulit antara bapa Mimi (Ismail Din) dengan ibu kepada pelajar baru tersebut yang kebetulannya seorang janda.

Filem ini dipenuhi oleh personaliti (penyanyi) yang hanya memainkan diri mereka. Kemunculan Ismail Din, Azean dan Kartina Aziz berupaya membantu filem ini dengan memberikan keupayaan lakonan yang menarik. Pengalaman A. Razak dalam menghasilkan banyak drama televisyen (Anak Mami) banyak membantunya dalam mengarahkan filem ini. Arahannya kemas dan baik.

Gemerlapan sebenarnya mempunyai potensi yang baik untuk berkembang menjadi filem remaja yang lebih menarik. Masalah yang dihadapi oleh Lan yang tidak mempunyai keyakinan diri dan masalah yang dihadapi oleh Mimi adalah dua persoalan yang menarik dalam filem ini.

Ia masalah remaja yang perlu difahami dan ditangani dengan meyakinkan. Tidak ada salahnya percintaan remaja dan kegugupan mereka menghadapi kehidupan asal sahaja subjek itu diberi pendekatan sewajarnya. Sayang, Gemerlapan mendekati subjeknya secara mudah dan sederhana. Impian, inspirasi, sensitiviti dan persepsi remaja dalam filem ini tidak diolah sematang mungkin.

Memang subjek remaja selalu kelihatan mudah dan filem selalu terperangkap dengannya. Tetapi untuk mencari filem tentang remaja yang baik, meyakinkan dan penuh sensitiviti selalu sukar. Ini kerana untuk menghasilkan filem yang begini ia menuntut pengarah atau penulis yang benar-benar memahami persoalan dan kehidupan remaja itu sendiri. Kalau tidak kehidupan remaja yang dipaparkan selalunya tidak meyakinkan dan dangkal.

Sumber : Utusan Online 12/9/1997

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001