![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Gerak Khas The Movie
Tahun : 2001
Pengarah : Yusof Haslam
Lakonlayar : Yusof Haslam
Pelakon : A.C. Mizal, Abby Abadi, Erra Fazira, Yusuf Haslam, Rosyam Nor, Nasha Aziz,
Norman Hakim, Mazlan Pet Pet dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Menghasilkan filem berdasarkan siri televisyen yang popular secara umumnya kelihatan
sebagai tugas yang mudah. Apa tidaknya, sebuah siri televisyen yang popular telah pun
sedia diketahui oleh orang ramai. Siri televisyen yang telah popular itu telah pun
mempunyai kelompok penonton atau peminatnya yang tersedia.
Pihak produser tidak menghadapi kesukaran membuat promosi untuk memperkenalkan lagi konsep filem ini. Watak-watak utama yang menggerakkan cerita sudah diketahui dan dikenali penonton. Hal ini berbeza jika produser menghasilkan filem baru yang sama sekali asing daripada pengetahuan penonton.
Pihak pengarah mahupun produser terpaksa memikirkan strategi promosi dan pemasaran untuk memperkenalkan konsep dan bentuk filem yang dihasilkan itu kepada masyarakat.
Hakikatnya menghasilkan sebuah filem berdasarkan siri televisyen popular sebenarnya bukanlah tugas yang mudah. Ia sama sukar seperti menghasilkan sebuah filem lanjutan (sekuel). Kejayaan dan populariti sesebuah siri televisyen tidak bermakna filem yang bertolak dari siri itu juga akan berjaya.
Antara siri TV dan sebuah filem yang didasarkan daripadanya adalah dua hal yang berbeza. Paling penting adalah pendekatan yang akan digunakan oleh pengarah filem. Apakah dia perlu mengekalkan watak-watak yang sama, situasi yang sama dan masih membawakan jalan cerita yang sama?
Kegagalan sebahagian filem sebegini adalah kecenderungan mereka untuk meletakkan watak-watak yang sama di dalam situasi atau keadaan yang sama. Aksi-aksi mereka sebenarnya sama kecuali sedikit perubahan. Jika kita melihat filem-filem yang berdasarkan siri TV yang berjaya, kita dapati filem-filem itu mengambil watak-watak yang sama, tetapi pada masa yang sama membina jalan cerita yang baru.
Filem Gerak Khas The Movie arahan Yusuf Haslam ini adalah berdasarkan siri televisyen (judul yang sama) yang masih ditayangkan oleh RTM. Siri ini mengisahkan usaha pasukan polis Malaysia memburu dan membanteras penjenayah. Populariti siri Gerak Khas ini di televisyen sudah pasti menjadi pendorong kuat untuk Yusuf menghasilkan filem ini.
Kelebihan daripada populariti siri ini di TV jelas banyak membantu promosi filem ini. Bagaimanapun sebagai sebuah filem, Gerak Khas The Movie perlu memperlihatkan kekuatannya yang tersendiri dan membezakan dirinya dengan Gerak Khas siri televisyen.
Jika tidak filem ini sekadar sambungan siri televisyen yang hanya dipindahkan dari skrin tv yang kecil ke layar perak yang lebar. Dalam filem Gerak Khas The Movie, watak-watak utama seperti DSP Helmi (Yusuf Haslam), ASP Mazlan (AC Mizal) dan ASP Aleeza (Abby Abadi) masih kekal dengan peranan mereka yang sama dan mereka berhadapan dengan situasi jenayah yang hampir sama dengan siri-siri Gerak Khas yang ditayangkan setiap minggu di televisyen.
Filem ini sebenarnya tidak memberikan jalan cerita yang baru. Masalah sindiket video lucah dan cetak rompak video serta pengedaran pil khayal yang dijalankan oleh Suzana (Nasha Aziz), Castelo (Rosyam Nor) dan Rafayel (Norman Hakim) sekadar lanjutan kegiatan jenayah yang dihadapi oleh pasukan Gerak Khas ini dalam siri-siri ini setiap minggu. Kecuali beberapa perubahan pada aksi, watak dan situasinya adalah sama.
Bagaimanapun, apabila watak Inspektor Syafika (Erra Fazira) muncul dan mewujudkan hubungan mesra dengan Inspektor Mazlan, maka satu plot baru yang menarik telah wujud untuk menjadikan jalan cerita yang lebih menarik. Kemunculan Inspektor Syafika telah menimbulkan konflik dalam hubungan antara Inspektor Mazlan dengan Inspektor Aleeza.
Bagaimanapun Yusuf nampaknya mengambil jalan yang cukup mudah dalam menamatkan konflik hubungan ini dengan mematikan sahaja watak Inspektor Syafika. Watak-watak yang lain sekadar pelengkap untuk mewujudkan situasi dramatik, tegang dan kelucuan.
Membawa siri TV yang popular ke televisyen adalah cara yang mudah dan popular bagi sebahagian besar produser di Hollywood, biarpun ramai yang secara sinikal melihatnya sebagai contoh bagaimana Hollywood telah kekeringan cerita asli yang bermutu, hingga mereka terpaksa mengambil jalan mudah dengan melihat kembali kepada siri-siri televisyen yang pernah popular untuk difilemkan. Sebelum filem Gerak Khas The Movie, siri televisyen popular Senario telah juga dijadikan filem.
Filem ini berjaya di pasaran. Bagaimanapun dalam filem-filem Senario kita melihat Aziz M. Osman telah mengemukakan jalan cerita yang baru walaupun watak-watak asal dikekalkan. Dengan itu kita melihat satu landasan cerita yang baru. Watak-watak yang ada dalam siri Gerak Khas itu sebenarnya memungkinkan satu jalan cerita yang lebih menarik.
Banyak persoalan dan permasalahan sekitar kehidupan dan tugas mereka yang memungkinkan sebuah plot cerita yang lebih menarik, tetapi sayangnya tidak diteroka dan diolah sebaik mungkin dalam filem Gerak Khas The Movie. Yang diutamakan adalah peristiwa dan aksi. Sebab itu yang kita tonton hanyalah sebuah siri Gerak Khas TV dalam versi filem dan layar perak yang besar.
Sumber : Utusan Online 9/3/2001
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |