Ulasan
Review
. .

Judul : Gerak Khas The Movie
Tahun : 2001
Pengarah : Yusof Haslam
Lakonlayar : Yusof Haslam
Pelakon : A.C. Mizal, Abby Abadi, Erra Fazira, Yusuf Haslam, Rosyam Nor, Nasha Aziz, Norman Hakim, Mazlan Pet Pet dan lain-lain

Pengulas : Ellyna Ali


Filem terbaik Yusof Haslam

Gerak Khas The Movie Sebelum menonton filem ke-10 Yusof Haslam ini, saya sudah membuat kesimpulan ia sama seperti filemnya yang terdahulu (kecuali Bara).

Pun begitu, tanggapan saya meleset sebaik saja menonton filem yang diadaptasi dari drama bersiri Gerak Khas ini.

Pada awal cerita, hati saya berbisik, “Apakah benar Yusof Haslam yang mengarahkan filem yang bercorak penyiasatan ini?”

Pertanyaan itu timbul kerana banyak kelainan yang tidak diduga dilakukan Yusof dalam filem ini. Begitu juga dengan corak pengarahannya.

Berani saya katakan Gerak Khas The Movie adalah filem terbaik Yusof setakat ini. Malah, lebih baik daripada Bara.

Dan, secara jujur juga saya berpendapat Yusof lebih serasi menghasilkan filem bercorak aksi berbanding filem bertema cinta kerana dia tahu bagaimana untuk memanfaatkan adegan yang berbentuk genting, cemas atau pertarungan dengan begitu baik.

Malah, kerja kamera dalam filem ini juga baik, begitu juga dengan skor muzik, kesan bunyi yang suspens serta sinematografinya. Lagu temanya, bagaimanapun tidak begitu menarik.

Kalau Yusof terus menghasilkan filem bertema cinta, saya rasa ia akan terus menjadi filem cinta yang terlalu mudah, murah dan lesu dengan menampilkan mesej terlalu ringan dan tidak berkesan, hasil jalan cerita serta skrip yang longgar dan tidak ada kekuatan.

Berbalik kepada Gerak Khas The Movie, saya kira pemilihan tema yang digunakan oleh Yusof dalam filem ini sangat bertepatan dengan senario yang berlaku dalam industri muzik dan filem kita.

CD dan VCD cetak rompak terlalu berleluasa ketika ini dan kegiatan yang dilakukan secara haram ini masih tidak mampu untuk dikekang apatah lagi dihapuskan.

Begitu juga dengan masalah VCD lucah yang berlambak di pasaran serta pil ecstasy yang begitu senang diperolehi di pusat hiburan.

Yusof cuba mencelikkan penonton dengan membongkar segala keadaan sindiket ini dengan menghasilkannya secara visual di layar perak. Satu percubaan yang berani!

Malah, bagi menampakkan kegiatan sindiket itu lebih realistik, Yusof mewujudkan tiga watak penjenayah yang didukung oleh Rosyam Nor (Castello), Nasha Aziz (Suzanna) dan Norman Hakim (Rafayel).

Castello dan Rafayel adalah ketua kumpulan haram yang saling bermusuhan kerana merebut untuk menguasai pasaran CD, VCD haram dan VCD lucah di seluruh negara sementara Suzanna pula adalah mastermind kepada semua kegiatan jenayah ini.

Pemilihan ketiga-tiga pelakon ini untuk membawakan watak penjenayah, saya rasakan sangat tepat dan Yusof tidak perlu bersusah payah membentuk mereka terutama Rosyam dan Nasha kerana mereka memang pelakon handal.

Kekuatan lakonan Rosyam adalah pada gerak mata dan gesturenya. Di situlah dia melontarkan segala sifatnya sebagai seorang penjenayah dan di situlah kita dapat melihat keberkesanan lakonannya.

Saya gemar melihat tatu sementara bercorak ular di belakang kepalanya itu dan gayanya memegang pistol ala Chow Yuen Fatt.

Nasha bagi saya mengagumkan. Dia benar-benar menjiwai wataknya dan membawakannya dengan begitu baik sekali. Saya tidak fikir Yusof sendiri berasakan lakonan Nasha akan sebaik itu.

Mekap, pakaian, rambut, kasut sehinggalah warna kukunya berbeza setiap kali dia tampil. Memang ada kelas...

Norman pula benar-benar memeranjatkan. Dia bukan saja dapat lari dari imej filem Pasrah tetapi juga menampilkan lakonan yang boleh dibanggakan sekalipun adegannya tidak banyak mana.

Ada keserasian yang wujud antara Rosyam dan Nasha. Mungkin ia dipengaruhi pengalaman mereka berlakon dalam filem Bara. Keserasian Rosyam dan Norman yang maksimum dapat dilihat ketika mereka bertarung.

Bentuk fizikal badan Norman yang tegap banyak membantu untuk kelihatan seperti seorang mafia. Pun begitu saya tertanya adakah sindiket benar-benar satu sindiket jenayah yang paling besar di ibu negara?

Sudahlah rangkaian setiap aktiviti jenayahnya tidak ditonjolkan, keahlian anggotanya juga boleh dibilang dengan jari dan balik-balik muka itu juga.

Satu lagi, bagaimana pula Castello dan Rafayel dalam masa yang singkat, mudah dicederakan oleh Inspektor Aleeza dan Inspektor Shafikah ketika bertarung sedangkan pertarungan mereka berdua sendiri lebih hebat daripada itu.

Sebenarnya, banyak lagi kelemahan lain yang kelihatan dalam filem ini. Antaranya, imej kepolisan yang hendak ditonjolkan itu sendiri tidak begitu mantap, tema cinta terlalu berlebihan, lakonan AC Mizal yang sedikit keterlaluan menerusi dialek negerinya kecuali ketika menyamar sebagai Mak Nyah bersama Lan Pet Pet (lakonan Lan Pet Pet juga bagus), lakonan Normala Samsudin juga agak kaku dan paling saya tidak faham ialah bagaimana watak jurukamera yang membuat liputan bahan berita jenayah adalah lelaki lembut (bapuk)?

Ada dialog yang agak formal dan ketinggalan zaman. Pun begitu, keseluruhannya, Gerak Khas The Movie wajar ditonton kerana selain unsur aksi, Yusof juga turut menyelitkan unsur komedi dan cinta dalam filem ini. Malah, saya juga berasakan wajar watak Inspektor Shafikah dimatikan di penghujung cerita.

Ini memberi laluan kepada Inspektor Aleeza kembali rapat dengan Inspektor Mazlan saja tetapi juga memudahkan drama bersiri Gerak Khas disambung dan diterbitkan pada masa akan datang.

Sumber : Berita Minggu 11/3/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001