Ulasan
Review
. .

Judul : Getaran
Tahun : 2001
Pengarah : Nagaraj
Lakonlayar : Nagaraj
Pelakon :
Awie, Fiza (Elite), Kumpulan Kristal, Faizal Hussein, Aida Rahim, Opie Zami, Bob Lokman dan lain-lain

Pengulas : izza@nstp.com.my


Sensasi mengatasi mutu

Agak sukar untuk memulakan ulasan ini memandangkan lebih banyak kontroversi yang timbul sebelum ditayangkan lagi. Ramai datang bertanya soalan, “Betul ke adegan cinta mereka sehebat latihan di luar filem untuk dapatkan mood cinta?” berbanding soalan “Best tak cerita tu?”

Nampaknya lebih banyak pihak yang tertarik dengan kisah ‘sampingan’ daripada mengetahui sejauh mana persembahan filem ini secara keseluruhan.

Ketika filem ini dalam pembikinan lagi, ia sudah bergetar dengan desas-desus di kalangan orang industri mengenai keintiman dua pelakon utamanya.

Pun begitu ia mula dipersoalkan secara terang apabila filem ini memulakan promosinya. Entahlah, sehingga laporan ini ditulis kisah ini masih belum berakhir. Lihat sajalah apa yang akan berlaku seterusnya.

Setidak-tidaknya, filem ini berjaya mendapat publisiti meluas dan secara tidak langsung menjemput peminat Awie atau Fiza ke pawagam; ataupun kemungkinan menjadi alasan orang enggan menjejakkan kaki ke panggung.

Ketepikan cerita sensasi, kita beralih pada jalan cerita filem ini. Tiada yang istimewa selain kisah cinta yang diselitkan dengan keazaman untuk menuju kejayaan.

Awie (entah mengapa dia masih menggunakan nama yang sama) adalah seorang pemuda yang membuka bengkel membaiki kereta selain disegani penduduk setempat kerana ketegasannya. Sekumpulan pelajar yang meminati muzik (Kristal) meminta bantuannya untuk menjadi pengurus sekali gus membimbing mereka berjaya sebagai artis rakaman.

Pada masa yang sama, Awie berkenalan dengan Mona (Fiza) secara tidak sengaja ketika membaiki keretanya yang rosak. Melihatkan perwatakan Awie yang tegas dan macho, Mona terus tertawan hati.

Bagaimanapun, cinta mereka teruji apabila Awie menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Kristal. Selagi Kristal tidak berjaya menjadi artis rakaman mereka tidak dapat bersatu. Kalau ditanya mana-mana wanita pun, ini adalah satu alasan yang begitu remeh. Bagaimanapun, mereka tetap berusaha menempuh segala cabaran.

Sekali lagi, kasih abadi pasangan yang sebenarnya kelihatan macam adik dan abang ini berdepan dengan kejadian tragik apabila Awie dipukul teruk oleh sekumpulan gangster. Bagaimanapun Faizal Hussein, yang memegang watak sebagai wakil syarikat rakaman yang memiliki sikap acuh tidak acuh dalam mengenengahkan bakat Kristal, lebih menyerlah.

Penampilan Aida Rahim pula sepatutnya lebih mantap dan rapi seperti wataknya dalam drama sebelum ini sebagai wanita berkerjaya. Imejnya sebagai bos besar sebuah syarikat rakaman lebih cenderung pada gaya dan cermin mata besarnya untuk menggambarkannya sebagai seorang yang berpendirian tegas. Opie Zami juga patut diberi lebih ruang bagi menambahkan unsur komedi filem ini.

Berbalik pada jalan cerita, kerana cemburu dan dendam, cinta Awie dan Mona menghadapi pelbagai rintangan. Begitu juga dengan kerjaya Kristal yang mula hendak bertapak. Anak didik Awie itu kurang bersemangat dan enggan meneruskan persembahan tanpa kehadiran mentor mereka.

Alangkah baiknya jika kisah Kristal diperkembangkan dengan baik daripada cerita cinta yang masih berpaksi pada landasan yang membosankan. Mungkin kisah lima anak muda ini melalui pahit jerih bergelar artis rakaman seperti mendapat halangan keluarga, masalah pelajaran, hubungan sesama ahli kumpulan serta masalah kewangan seperti yang sering terjadi kepada kumpulan anak muda yang ingin bertapak dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, filem ini lebih bersahaja tanpa terlalu terikat dengan bahasa skrip dan suasana persekitaran lebih realistik seperti penggunaan latar perkampungan setinggan.

Aksi Awie pula di bawah arahan pengarah selain Datuk Yusof Haslam, tiada banyak perbezaan. Lakonan Fiza pula? Emmm... anda sajalah yang membuat penilaian.

Sumber : Berita Minggu (2/9/2001)

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001