![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Hanya Kawan
Tahun : 1997
Pengarah : Harith Iskandar
Lakon Layar : Harith Iskandar
Pelakon : Ella, Hans Isaac, Bonnie Sta Maria, Korie, Jojie, Harith Iskandar, Bernie
Chan dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C
Apakah ini resepi atau formula ampuh yang
memastikan kejayaan filem tempatan di pasaran? Mengambil kisah hidup penyanyi dan
menggunakan penyanyi sebagai pelakon utama di dalam filem? Tidak ada salahnya kisah hidup
penyanyi difilemkan atau mengambil penyanyi sebagai pelakon utama asal sahaja adaptasi dan
olahannya dilakukan dengan baik dan dengan tidak mementingkan nilai komersilnya sahaja.
Mungkin tidak wajar mempersoalkan kebolehan penyanyi untuk berlakon (kerana memang ada
penyanyi yang boleh berlakon), tetapi penyanyi yang dilakonkan di dalam filem adalah watak
yang memerlukan kebolehan seorang pelakon, bukan penyanyi yang menjangka lebih mudah
melakonkan watak sendiri (penyanyi).
Kejayaan komersil beberapa buah filem tempatan yang meletakkan penyanyi sebagai pelakon utama dan kisah yang diambil daripada kehidupan penyanyi telah mendorong beberapa buah filem lain mengikut jejak yang sama.
Bagaimanapun, ternyata tidak semua filem-filem itu berjaya di pasaran. Bukan sahaja dari segi kualitinya boleh dipersoalkan, tetapi cerita yang diolah memperlihatkan kelemahan yang nyata di sana-sini. Tetapi mengapakah pembikin filem tempatan masih terus menghasilkan cerita-cerita yang sempit dan miskin begini? dan kemudian mengharapkan tuah pasaran daripada peminat penyanyi tersebut.
Untuk berlaku adil, memang ada kisah penyanyi dan ranjau yang harus dilaluinya untuk menempa kejayaan mempunyai nilai dramatik yang menarik, yang boleh dieksploit untuk menjadi cerita yang baik.
Tetapi ia memerlukan keupayaan pengolahan semula, sepertimana filem-filem yang mengambil kisah hidup sesuatu tokoh lain sebagai dasarnya.
Menggunakan nilai komersil yang ada pada penyanyi untuk kejayaan sesebuah filem adalah jalan mudah yang boleh dipertikaikan kebijaksanaannya.
Hanya Kawan turut mengikut jejak beberapa buah filem yang menggunakan penyanyi terkenal dan kisah hidupnya sebagai dasar cerita. Filem ini mengisahkan Ella (yang dilakonkan oleh Ella) seorang penyanyi di sebuah pub sedang berusaha untuk menjadi penyanyi terkenal.
Kebetulan pula seorang penerbit lagu dari syarikat rakaman EMI, Michael Nasir (Bonnie Sta Maria) telah terlihat keupayaan Ella menyanyi.
Dia yakin Ella boleh menjadi penyanyi yang lebih berjaya lalu menawarkan Ella menyertai syarikat rakamannya. Pada masa yang sama Ella mempunyai seorang teman lelaki Hans (Hans Isaac) seorang pelakon kecil yang sangat bercita-cita untuk menjadi pelakon terkenal dan menang anugerah.
Ella berjaya menjadi penyanyi terkenal, tetapi hubungan mereka selepas itu menghadapi masalah. Apatah lagi Ella mulai rapat dengan Michael atas alasan urusan rakaman. Barangkali untuk menimbulkan sedikit konflik, diwujudkan hubungan antara Hans dengan Natasha (Bernie Chan) seorang pegawai perhubungan awam sebuah hotel.
Bagaimanapun, konflik-konflik setengah masak ini diselesaikan bilamana mereka disedarkan yang mereka rupanya masih menyayangi antara satu sama lain.
Apa sebenarnya yang hendak diceritakan oleh filem ini? Cerita Ella hendak menjadi penyanyi terkenal dengan segala kesukarannya, atau masalah cintanya dengan Hans Isaac? Ceritanya mengelirukan.
Segala-galanya berlaku secara cukup mudah dan konflik yang timbul bukan sahaja tidak meyakinkan malah membawa lebih banyak persoalan. Ini kerana plotnya yang tidak dirancang dengan baik. Watak-watak tidak difahami dan diperjelaskan secara lebih meyakinkan.
Hanya Kawan kelihatan seperti filem dalam filem. Ia dibuka dengan sekumpulan pekerja filem sedang bertugas dan Hans Isaac memberikan latar cerita. Filem ini kemudian ditutup dengan adegan terakhir sebuah filem yang dilakonkan oleh Hans Isaac dan Ramona Rahman yang melakonkan watak Ella. Untuk menimbulkan sedikit kejutan Ella tiba-tiba muncul di set, memberitahu bahawa dia ke Amerika dengan penerbangan yang lain. Tujuannya untuk memberitahu kepada Hans tentang peristiwa sebenar pada malam dia dituduh bermalam di rumah Michael. (Keseluruhan penipuan adegan ini tidak perlu dan lebih buruk kerana ia dilakukan dengan citarasa yang buruk).
Kesan yang timbul nyata mengelirukan. Filem ini mengelirukan bukan sahaja kerana adegan filem dalam filem itu, tetapi sama tidak jelas apakah filem ini membawa kisah hidup Ella yang dilihat daripada kacamata Hans atau Ella atau mereka sebenarnya sedang melakonkan kehidupan Ella seorang penyanyi yang terkenal.
Malah, kisah cinta antara Ella dengan Hans juga tidak meyakinkan plotnya, hasilnya kita tidak melihat di mana keistimewaan hubungan mereka. Hubungan Ella dengan kakaknya (Jojie) dan adiknya (Korie), tidak memperlihatkan keharmonian yang seharusnya. Hakikatnya, bukan mudah untuk melakonkan watak sendiri. Sebaliknya, dalam beberapa adegan kemunculan Bernie Chan jauh lebih berkesan daripada Ella yang memegang watak utama.
Filem ini akan lebih menarik jika Harith sebagai penulisnya jelas arah ceritanya dan dapat membina struktur plot dan watak-watak yang lebih meyakinkan. Mengambil kisah hidup penyanyi terkenal dan menggunakan penyanyi terkenal mungkin umpan komersil yang mudah, tetapi tanpa cerita yang baik, filem lebih mudah mendedahkan pada pelbagai kelemahan.
Sumber : Utusan Online 12/12/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |