Ulasan
Review
. .

Judul : Jibon
Tahun : 1998
Pengarah : Nahar Akhbar Khan

Lakon Layar : Nahar Akhbar Khan
Pelakon : Melissa Saila, Along Kamaruddin, Mohd. Zafrie Ikmal, Ruzaidi, Aziz Satar, Mat Sentul, Nora Ramli dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-


Cabaran Jibon untuk meyakinkan penonton

Jibon Apakah yang menentukan sebuah filem berjaya di pasaran? Persoalan yang sering menghantui pembikin filem. Persoalan yang melibatkan cita rasa penonton.

Dan cita rasa penonton sukar ditelah dan dijangka. Biarpun, kadangkala kelompok penonton sudah dapat dikenal pasti dan filem yang dihasilkan mengikut cita rasa kelompok yang dijangkakan, tetapi filem itu masih gagal di pasaran.

Ini juga menyebabkan sebahagian filem yang telah dikenal pasti kelompok penonton dan dihasilkan dengan budget yang besar masih gagal di pasaran. Bagaimanapun, penganalisis filem tetap percaya sambutan sesebuah filem adalah berdasarkan kepada kualiti filem yang dihasilkan.

Kualiti filem meliputi soal cerita, lakonan dan teknik pembikinan. Antara aspek yang penting di dalam pembinaan cerita adalah soal originaliti.

Originaliti idea dan kreativiti artistik akan menggerakkan minat dan suspens di kalangan penonton. Filem The Terminator (1984) hanyalah berbudget kecil, tetapi kerana originaliti idea dan kreativiti artistik pembikinannya, filem itu mendapat sambutan hinggakan memberi cabaran besar kepada sequalnya Terminator 2 untuk menghasilkan lebih baik, biarpun bertolak daripada idea filem yang pertama.

Jibon yang ditulis oleh Sudiro ini berdasarkan cerita tentang kewujudan seekor makhluk aneh di hutan Malaysia. Sama ada kewujudannya benar atau tidak, ia tidak menjadi persoalan di dalam sesebuah filem.

Ini kerana filem haruslah berupaya meyakinkan dengan dunia cerita yang diwujudkannya.

Di dalam konteks penonton Malaysia yang sering pesimis dengan idea cerita yang lari daripada arus perdana filem tempatan (komedi dan drama masyarakat), sukar menghasilkan cerita sedemikian yang selalunya menghadapi masalah keyakinan.

Jibon juga rasanya berhadapan dengan masalah untuk meyakinkan penonton. Filem ini bercerita tentang bagaimana seekor makhluk seperti orang utan (yang dipanggil Jibon) menyelamatkan seorang budak bernama Sani iaitu seorang pengakap sekolah yang dihanyutkan oleh arus sungai.

Jibon yang menjadi legenda Orang Asli menyebabkan ia menjadi buruan seorang bomoh Semaun (Rozaidi) yang mahu mendapatkan keuntungan. Pada masa yang sama untuk membalas dendam kepada binatang yang pernah mencederakannya.

Filem ini bukan sahaja sukar untuk meyakinkan makhluk Jibonnya, tetapi kelemahan utamanya adalah pembinaan plot. Banyak perkembangan plot yang menimbulkan persoalan. Seperti biasa, pertemuan manusia dengan binatang ini adalah melalui peristiwa tidak sengaja, yang mungkin boleh diterima.

Tetapi, bagaimana peranan guru yang perlu bertanggungjawab terhadap pelajarnya? Semudah itu, Sani mesra dengan Jibon? Banyak aspek penting yang seharusnya ada diabaikan oleh filem ini.

Plot berkembang dengan mudah. Tanpa pembinaan plot yang baik, sukar untuk menghasilkan sebuah cerita yang baik dan seterusnya meyakinkan penonton. Untuk sebuah filem seperti ini, ia tidak mungkin dihasilkan sekadar berdasarkan laporan akhbar sahaja, tetapi juga kajian dan penyelidikan mendalam tentang habitat binatang itu, selain daripada pembinaan plot yang menarik.

Jibon dihasilkan dengan niat baik, untuk lari daripada tema biasa filem Melayu. Jibon sebenarnya boleh menjadi filem yang baik dan menarik kerana banyak aspek yang menarik dan misteri mengenai binatang ini boleh dieksploit.

Bukan dengan menghasilkan cerita yang mudah tetapi mengabaikan kepentingan plot yang meyakinkan dan cerdik. Akibatnya, Jibon berhadapan dengan pelbagai masalah untuk meyakinkan penonton. Lebih-lebih lagi, kanak-kanak sekolah kini sering terdedah dengan filem-filem seumpamanya yang lebih canggih dan hebat.

Sumber : Utusan Online 15/5/1998

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000