Ulasan
Review
. .

Judul : KLU
Tahun : 1999
Pengarah : Ricky Uy

Lakon Layar : Dilla Hussein
Pelakon : Azhar Sulaiman, Amy Mastura, Susan Menon, Nana Nurgaya, Nina Juren dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Filem KLU sudah hilang semangat

KLU Akhirnya filem ini ditayangkan juga setelah terperap untuk beberapa tahun. Orang hampir melupakan bahawa pernah ada sebuah filem bernama KLU yang telah dibuat. Filem begini pasti akan menghadapi masalah untuk menarik semula minat khalayak.

Kalau ada yang masih mengingati bahawa KLU pernah dihasilkan, pasti juga mereka akan memikirkan bahawa filem ini mungkin menghadapi masalah iaitu kurang menarik untuk memastikan khalayak menyerbu menonton filem ini. Kalau filem ini menarik pastilah pengeluarnya tidak akan melengahkan lagi masa pengedarannya.

Bagaimanapun apabila sebuah filem terperap begitu lama penonton dengan mudah telah melupakannya, akibatnya filem itu memerlukan tenaga, kerja keras dan strategi yang lebih hebat untuk menarik kembali perhatian penonton. Yang penting untuk mengingatkan semula khalayak penonton akan kewujudan filem tersebut.

Mungkin usaha mengingatkan kembali atau mendorong penonton untuk menonton filem itu tidak begitu sukar jika filem tersebut berkualiti dan cukup menarik persembahan ceritanya.

Itulah hakikat sebuah filem. Ia adalah sebuah karya seni yang sekali gus juga boleh menjadi komoditi dagang yang perlu dipasarkan. Selain kekuatan cerita dan tukangannya, masa dan strategi pasaran menentukan sambutan yang bakal diterima oleh sesebuah filem. Filem digerakkan oleh dorongan penonton.

Hayatnya yang pendek dan analisis filem-filem di pasaran menunjukkan pola pasaran yang pantas. Tahap penerimaan penonton mudah jatuh selepas seminggu atau dua minggu filem itu ditayangkan. Dan KLU menghadapi masalah ini semua.

Sebagai sebuah filem, KLU tidaklah terlalu buruk penghasilannya. Tema remaja dan kehidupan penuntut di kolej adalah subjek yang selalu diulang dalam sejarah filem terutama filem Amerika dan Hong Kong. Bukan subjek begini tidak menarik, tetapi gambarannya selalu stereotaip dan klise. Apatah lagi bila budaya kolej atau remaja yang memang kelihatan menarik di filem luar cuba hendak diterapkan ke filem tempatan tanpa mengira suasana dan budaya kolej tempatan. Akibatnya subjek yang ditonjolkan kelihatan asing dan khalayak penonton sukar hendak menerimanya. Ini masalah sebenar KLU.

Baik pengarah atau penulis filem ini tidak memahami atau tidak jelas tentang budaya dan masalah sebenar yang hendak dibawakan oleh filem ini. KLU membawakan suasana dan kerenah penuntut di sebuah universiti iaitu Universiti Kuala Lumpur.

Tentang seorang pelajar Shahril (Azhar Sulaiman) yang cuba hendak memikat seorang pelajar wanita bernama Maria (Amy Mastura). Untuk memikat Maria, Shahril terpaksa melalui beberapa siri percubaan yang diatur oleh teman-teman Maria.

Pada masa yang sama Maria cuba hendak dipikat oleh Sunni (Johan Ariff - pelakon yang kedengaran cukup janggal dan mual setiap kali dia melafazkan dialognya) demi kepentingan perniagaan bapanya (Kuswadinata). Dan sepertimana lazimnya sebuah filem tentang penuntut universiti akan adalah pelajar yang bijak seperti Najib (Jai Johari) tetapi kelihatan dungu dengan robot ciptaannya dan pelajar lain yang cuba mengambil jalan mudah dalam pelajaran atau sekumpulan pelajar lain yang menjadi pengikut sahaja tanpa fungsi yang jelas.

Imej-imej pelajar yang dipaparkan ini adalah imej dan budaya pelajar yang hanya wujud dalam filem-filem Amerika atau Hong Kong. Kita sebagai penonton telah jelak menonton cerita yang begini dalam filem-filem popcorn Amerika. Ricky Uy sebagai pengarah dan Dilla Hussein sebagai penulis lakonlayar tidak seharusnya membuat kesilapan dengan membawakan apa yang kelihatan berjaya di dalam filem remaja Amerika dan Hong Kong ke filem tempatan tanpa memahami budaya pelajar kolej di Malaysia.

Sebagai sebuah filem remaja atau anak muda, KLU adalah sebuah filem yang hampir tidak mempunyai semangat. Hampir setiap adegan berlalu dengan hambar dan ini menjadikan tempo filem ini begitu lembap. Dan ini ditambah oleh kelemahan lakonan (maklumlah Amy Mastura pun baru pertama kali berlakon dalam filem ini).

Memang dalam sejarah filem, filem yang lama terperap tidak bermakna tidak boleh berjaya di pasaran.

Ini kerana faktor akhir yang menentukan kejayaan sebuah filem tetap pada kekuatan nara-tifnya dan penggarapannya. Tetapi hanya daya kreatif dan sensitiviti budaya yang memungkinkan sebuah filem remaja dan kehidupan pelajar kolej berupaya dilihat daripada perspektif yang berbeza, terkeluar daripada stereotaip filem-filem remaja kolej Amerika atau Hong Kong.

Sumber : Utusan Online 12/9/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000