Ulasan
Review
. .

Judul : Lagi Lagi Senario
Tahun : 2001
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman
Pelakon : Azlee, Mazlan, Saiful Apek, Wahid, Yassin, Wardina, Ani Maiyuni, Accapan, Robert Kong, Osman Kering, Syanie dan lain-lain

Pengulas : Ellyna Ali


Senario lebih matang

Selepas Senario The Movie dan Senario Lagi, Grand Brilliance dan Paradigm Pictures sekali lagi tampil dengan filem kesinambungan Senario yang terbaru, Lagi Lagi Senario.

Memang ramai wartawan dan karyawan yang menanti kelahiran filem Senario ketiga arahan Aziz M Osman ini kerana ketika memulakan pembikinannya Aziz pernah memberitahu bahawa dia ingin melakukan sesuatu pembaharuan dalam filem itu.

Pembaharuan itu adalah dari sudut jalan cerita filem Senario itu yang mana ia tidak lagi begitu merapu seperti mana filem Senario yang terdahulu tetapi kali ini ia lebih berhemah dan mempunyai mesej yang boleh membuatkan penonton ketawa sambil berfikir.

Selepas menontonnya di majlis prebiunya yang diadakan awal November lalu, saya harus mengucapkan syabas kepada Aziz kerana saya kira dia berjaya melakukan pembaharuan itu seperti mana yang diinginkannya.

Malah, kebanyakan karyawan dalam industri ini yang saya temui juga turut memuji Aziz dan filem ini sambil menyifatkan ia sebagai yang terbaik berbanding kedua-dua filem Senario yang pernah diarahkannya sebelum ini.

Lagi Lagi Senario bukan saja sarat dengan kritikan sosial yang ditampilkan dengan komedi yang berhemah tetapi juga penuh dengan sindiran politik yang membuatkan kita sendiri menilai kedudukan kita sebagai bangsa Melayu pada hari ini.

Sebagai pembuka cerita, Aziz cuba membawa kita melihat latar suasana sebuah warung yang diusahakan oleh anak muda Melayu bernama Azlee.

Perniagaannya maju dan popular kerana keistimewaan roti canai buatan Saiful. Apatah lagi, dialah satu-satunya pengusaha warung makanan di situ.

Aziz kemudian cuba memperlihatkan bagaimana sikap orang Melayu itu sendiri apabila melihat bangsanya maju.

Mazlan adalah watak kepada sikap orang Melayu yang penuh dengan hasad dengki ini yang kemudiannya membuka warung bersebelahan dengan warung Azlee. Menu yang dijualnya juga serupa dengan menu di warung Azlee.

Pada mulanya Azlee tidak berasa tergugat kerana menganggap kehadiran warung baru di situ bakal memberi persaingan sihat. Tetapi pendiriannya berubah apabila Mazlan memancing Saiful bekerja di warungnya diikuti dengan Yassin.

Azlee tertekan dan putus asa. Tapi, pekerjanya Wahid yang setia dengannya sentiasa memberi semangat kepadanya untuk bangkit dari kegagalan itu.

Bersama-sama dengan Wahid, Azlee melancarkan Roti Canai Terbang Rock & Roll yang dihasilkan sendiri oleh Wahid selepas Wahid mempelajarinya secara bersendirian ketika membasuh pakaiannya di bilik mandi.

Keadaan ini menyebabkan Mazlan tidak puas hati dan menggunakan pelbagai taktik kotor untuk menjatuhkan perniagaan Azlee. Azlee kemudian mendapat tahu akan hal itu dan sejak itu mereka sering bertelingkah.

Pertelingkahan itu berlarutan hingga mereka masing-masing kehilangan warung itu apabila tapak warung yang mereka dirikan itu dibeli orang lain.

Di sinilah Aziz dengan bijaknya menyuntik falsafah bersatu teguh, bercerai roboh. Apabila kita tidak bersatu, orang luar mengambil kesempatan.

Falsafahnya memang klise tapi persembahannya menarik malah bersesuaian dengan keadaan semasa berlaku pada bangsa Melayu kita hari ini.

Pun begitu, filem ini ada juga kelemahannya iaitu dari sudut seni fotografinya yang tidak begitu selari.

Namun, Aziz tidak menyalahkan Pengarah Fotografinya, Badaruddin Azmi kerana kelemahan itu berkemungkinan adalah disebabkan kerja makmal.

Lagi Lagi Senario yang dikatakan menelan kos fotografinya sebanyak RM1.6 juta akan berada di pawagam mulai hari ini.

Jangan ketinggalan untuk menontonnya dan fikir sendiri apakah anda mahu nasib orang Melayu terus-menerus menjadi seperti nasib Azlee dan Mazlan?

Sumber : Berita Minggu Online (16/12/2001)

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2002