![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Leftenan Adnan
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakon Layar : Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu
Bakar
Pelakon : Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal
Hussein, Sherie Merlis, Shaharuddin Thamby, Farid Amirul, M. Osman dan lain-lain
Pengulas : Ku Seman Ku Hussain
Allahyarham Leftenan Adnan adalah antara ikon wira Melayu yang terserlah dalam sejarah
moden. Kisah keperwiraan Leftenan Adnan tidak dilihat seperti Mat Kilau, Datuk Maharajalela atau Tok Janggut yang
ditokok tambah dengan pelbagai mitos.
Leftenan Adnan adalah tokoh yang diwarnakan oleh perang dan kebangkitan Melayu menentang Jepun. Memperkatakan Leftenan Adnan adalah membicarakan persekitaran perang yang menjadi karakter pada zaman itu.
Tetapi Leftenan Adnan sebenarnya hampir dilupakan kalau tidak kerana publisiti yang diberikan terhadap filem Leftenan Adnan. Filem ini diarahkan oleh Aziz M. Osman dan lakon layar oleh Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu Bakar.
Antara pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem ini ialah Hairie Othman (Leftenan Adnan), Umie Aida (Safiah), Sheril Merlis, Saharuddin Thamby dan Farid Amirul. Ia ditayangkan kepada umum mulai 31 Ogos ini sempena ulang kemerdekaan ke-43.
Apabila suatu peristiwa sejarah atau tokoh difilemkan, antara cabarannya ialah memastikan kejujuran kepada fakta sejarah tidak menenggelamkan tuntutan sebuah filem. Filem berasas sejarah bukan rujukan sejarah. Ini kerana ia menjadi sebahagian daripada realiti yang ditafsirkan semula.
Malah pengarah dan penulis lakon layar mempunyai kebebasan mentafsirkan atau "menulis semula'' sejarah bertolak dari persepsi sendiri berasaskan pengetahuan sejarah yang kuat. Ini yang dilakukan oleh Oliver Stone semasa menghasilkan filem Nixon (1995).
Oliver Stone memberikan tafsiran baru dan menulis semula sejarah bekas Presiden ke-37 Amerika Syarikat itu tanpa menafikan fakta sejarah termasuk skandal Watergate. Selain Nixon, kita boleh juga melihat Oliver Stone mentafsirkan kisah benar Ron Kovic yang lumpuh akibat Perang Vietnam dalam Born On the Fourth of July (1989).
Ketepikan soal teknologi dan belanja besar filem-filem yang diterbitkan oleh studio di Hollywood. Perbandingan ini sekadar melihat perspektif pengarah terhadap bahan sejarah.
Bagaimana Aziz dan penulis lakon layar melihat dan mentafsir tokoh dan karakter perang zaman dalam Leftenan Adnan?
Suatu yang paling ketara pada filem Leftenan Adnan adalah naskhah yang tidak menonjolkan tokoh Askar Melayu ini sebagai bahan yang mengerakkan filem ini. Malah Aziz mengambil pendekatan kronologi untuk memaparkan riwayat hidup Leftenan Adnan.
Aziz mendapat bahan yang baik untuk difilemkan. Watak Leftenan Adnan sendiri memungkinkan dia dilihat dari sudut antaranya psikoanalisis manusia Melayu zaman perang. Watak ini cukup unik apabila ada kebangkitan dalam kekerdilan bangsa berdepan dengan penjajah.
Tetapi filem Leftenan Adnan menyingkap aspek sejarah yang superficial tentang tokoh ini. Perwatakannya tidak keluar jauh dari sesuatu yang telah diketahui umum malah tidak meneroka ke konflik dalam diri Leftenan Adnan.
Di sini kelihatan fakta sejarah telah menenggelamkan Leftenan Adnan sebagai filem. Pengarah atau penulis lakon layar perlu memilih satu bahagian yang sesuai dengan filem ini daripada galur hidup Leftenan Adnan yang panjang.
Tanyalah kepada siapa saja, Leftenan Adnan telah sinonim dengan perang. Keperwiraannya kerana dia beraksi dalam situasi yang penuh debaran dan terkorban dalam keadaan yang paling tragis.
Suasana tegang di Bukit Candu, dentuman bom dan medan pertempuran yang sentiasa diwarnai mata dan telinga yang liar untuk menangkap gerak musuh sewajarnya menjadi karakter filem ini. Kerana filem ini bukan biografi Leftenan Adnan, maka Aziz wajar memberikan persepsinya terhadap Leftenan Adnan dan persekitaran sosial yang mempengaruhi karakter Leftenan Adnan sendiri.
Skrip yang agak longgar menjadikan Leftenan Adnan seumpama membaca sebuah biografi, tanpa elemen dramatik yang diperlukan untuk sebuah filem. Kenapa adegan bermain senapang kayu zaman kanak-kanak, berkhatan, bercinta yang menjadi cukup utama dalam filem ini?
Leftenan Adnan sebenarnya tenggelam dalam sekian banyak fakta sejarah yang kelihatan semacam tidak boleh ditiadakan. Aziz wajar menumpukan tugasnya sebagai pembikin filem bukan sejarawan.
Kalaupun mahu digelar filem Leftenan Adnan sebagai filem patriotik, biarlah patriotismenya disuntik secara kreatif daripada elemen-elemen sinematik. Tentu tidak perlu sama sekali mesej-mesej yang didaktik lagi merimaskan.
Dari aspek pengarahan, Aziz kelihatan cukup bersungguh-sungguh untuk membawa penonton ke zaman perang tahun 40-an. Setting, prop, landskap alam memberikan wajah yang cantik kepada filem ini.
Malah memperlihatkan dia memanfaatkan sokongan yang diberikan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kostum tentera Jepun, pelakon tambahan yang begitu ramai, kereta kebal dan juga senjata zaman itu.
Dengan mempunyai pelakon tambahan yang ramai, Aziz berpeluang membuat penggambaran dari sudut jauh adegan serangan tentera Jepun di Bukit Candu dengan penuh dramatik.
Penggunaan imej berkomputer diadun dengan baik dengan adegan-adegan yang dilakonkan. Bahagian kapal terbang lama menjadi sebahagian daripada adegan filem ini. Adegan letupan juga kelihatan begitu realistik.
Tetapi aspek teknologi hanya sampingan saja bagi sesebuah filem. Filem tetap akan diukur pada pengarahan, perwatakan, naratif dan lakonan pelakon-pelakonnya.
Sumber : Utusan Online 18/8/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |