![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Leftenan Adnan
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu
Bakar
Pelakon : Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal
Hussein, Sherie Merlis, Shaharuddin Thamby, Farid Amirul, M. Osman dan lain-lain
Pengulas : Akmal Abdullah
Selepas filem Sarjan Hassan, kemudiannya Bukit Kepong dan kini satu lagi filem Melayu epik bercorak
perang diterbitkan di negara ini. Leftenan Adnan hadir dalam suasana perfileman Melayu yang merindukan
zaman kegemilangannya.
Ini petanda memberangsangkan.
Apabila kita membandingkan antara ketiga-tiga filem itu, sudah tentu ia ada banyak perbezaan dengan matlamat yang sama - menghantar moral patriotik. Sentuhan Aziz M. Osman kali ini turut mengungkap kisah betapa perjuangan askar Melayu zaman pra-merdeka cukup perit untuk mencari makna sebuah kemerdekaan buat tanah air.
Filem ini berjaya disusun dan diceritakan sebagai epik perang yang baik. Sebagai tiket filem Melayu, ia harus diberi pujian kerana aksinya bertaraf filem antarabangsa. Ia diolah dengan unsur sinematik yang berjaya menerusi sinematografi, tatabunyi, kostum dan muzik latar.
Walaupun aliran ceritanya mendatar tetapi ia dapat menyampaikan maksud dengan berfokus. Nadi filem ini banyak bergantung pada mood zaman tahun 40-an dan babak perang yang melimpahkan bunyi gamat. Ia mampu mengundang resah dan gelisah penonton.
Kehidupan watak utama pada zaman kanak-kanak dan dalam kerjaya tentera dipaparkan secara seimbang walaupun perkembangan watak lain tidak diberi perhatian. Karya ini tetap berjaya menyingkap siapa manusia bernama Adnan Saidi yang dianggap sebagai wira Melayu dalam zaman Perang Dunia Kedua.
Selepas menonton filem ini kita tidak berasa ia hebat tetapi ia satu pencapaian menggembirakan. Ia adalah hasil kerja tenaga produksi yang teliti dan tekun menerusi perancangan bertahun-tahun. Karya ini terhasil daripada tenaga kreatif yang tahu meletakkan gambaran sebuah epik yang baik. Estetikanya menjelma walaupun tidak tinggi.
Filem ini berjaya dalam tiga aspek penting sebagai medium seni filem. Ia mengangkat sosio-budaya masyarakat, bahan pengisian yang bermutu dan mengajak penonton berfikir. Kekuatan ini harus menggerakkan hati masyarakat berkunjung ke pawagam.
Babak suasana kampung terutama zaman kanak-kanak Adnan Saidi dipaparkan indah dengan acara berkhatan, mandi sungai dan kehidupan masyarakat desa yang saling bekerjasama. Ia satu pernyataan budaya tradisi Melayu yang berhemah dan nostalgik. Gambaran dengan set rumah kampung, banglo orang putih, kereta lama dan persekitaran desa yang tenang divisualkan dengan kawalan serta tapisan cahaya yang menampakkan zaman sebelum merdeka. Gundah terhadap suasana zaman perang juga dirasakan menerusi filem ini terutama babak keganasan tentera Jepun, kepayahan rakyat untuk mencari perlindungan, suami terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung dan keperitan tugas anggota tentera dalam serba kekurangan.
Dalam acuan patriotik, filem ini menyoroti kehidupan seorang wira tentera yang menjadi kebanggaan negara. Dari zaman kanak-kanaknya yang dipaparkan seperti tidak ada keistimewaan dan kelihatan tidak ada bakat sebagai tentera, kemudiannya dia membesar bersama semangat tinggi untuk bergelar pejuang.
Misteri keberanian watak wira itu diterjemahkan dengan laju dan kasar tanpa menunjukkan apa cetusan atau naluri yang membuatkan Adnan dari sebuah kampung di Kajang, Selangor itu begitu berani dan cepat dinaikkan pangkat.
Bagaimanapun, keseluruhan persembahan dalam Leftenan Adnan baik jika menilai dari aspek ceritanya secara rawak, bukan atas nama individu. Ini kurang menepati maksud judul filem ini yang mengambil nama tokoh.
Perkembangan cerita dan watak wira itu digambarkan dengan baik, tetapi kurang dihalusi.
Leftenan Adnan diterbitkan Kementerian Pertahanan menerusi kerjasama Paradigm Film dan Grand Brilliance. Ia menelan kos RM2.5 juta dengan tempoh penggambaran selama dua bulan.
Filem itu dibintangi Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal Hussein, Sherie Merlis, Shaharuddin Thamby, M. Osman, Wahid Mohamad dan Farid Amirul serta lebih 2,000 anggota tentera dan orang awam.
Ia berkisar mengenai seorang budak kampung yang menjadi tentera walaupun ibu bapanya tidak mengizinkan. Dia terpilih sebagai rekrut terbaik dan diserapkan ke dalam Pasukan Askar Melayu. Dalam masa singkat, dia dinaikkan pangkat sebagai Kolor Sarjan dan terpilih menyertai upacara pertabalan raja di London, kemudiannya menjadi Leftenan Muda. Adnan berkahwin dengan gadis sekampungnya, Safiah dan berpindah ke Port Dickson. Ketenangan di Tanah Melayu mula bergolak apabila Jepun menyerang di bahagian utara. Pasukan pertahanan terpaksa berpindah ke Singapura.
Mulai 8 Februari 1942, tentera Jepun mula mengasak Bukit Pasir Panjang, Singapura - satu lokasi terakhir yang melayakkan Jepun berkuasa ke atas Malaya.
Lt. Adnan mengetuai platunnya mempertahan sebahagian Bukit Pasir Panjang. Kekuatan luar biasa askar Melayu merimaskan tentera Jepun, lalu mengerahkan anggotanya seramai mungkin untuk berdepan dengan platun Lt. Adnan yang kecil.
Pada 14 Februari 1942, sehari sebelum tentera British menyerah kalah, Lt. Adnan bersama anggotanya ditempatkan di Bukit Candu. Di situ, mereka diserang bertubi-tubi dan menyaksikan pasukan Lt. Adnan kecundang.
Aziz menyampaikan cerita filem ini dengan nada yang lurus dan bersahaja, tidak ada subplot yang kuat untuk menjadikan ia filem yang dramatik. Ia juga kurang mengundang konflik demi konflik pada ceritanya. Mungkin karya ini terkongkong kerana bertolak atas naskhah skrip berasaskan fakta sejarah bagi menyelitkan propaganda cinta kepada bangsa, agama dan negara.
Kesan patriotik yang dihantar ternyata berhasil tetapi jika dihayati, ia kurang lengkap dalam aspek keberkesanannya untuk membanggakan jiwa penonton. Namun, filem ini tetap meraih sedikit simpati walaupun ada beberapa unsur komedi dimuatkan.
Barangkali kekurangan dalam Leftenan Adnan ialah tidak mampu menyentuh hati penonton secara menyeluruh. Ini juga berpunca pada kelemahan dari segi olahan babaknya dan gaya lakonan. Mungkin isteri anggota tentera apabila menontonnya akan sebak dan menangis kerana mereka akan terbayangkan suami mereka di medan perang tetapi bagi penonton lainnya, mereka mengharapkan satu kesan mendalam tetapi filem ini tidak begitu kesampaian. Apapun, kita masih dapat merasai unsur patriotiknya. Watak Adnan lakonan Hairie bagaikan tenggelam apabila bersama isterinya, Safiah lakonan Umie. Penampilan Umie lebih dominan.
Sumber : Berita Minggu 27/8/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |