![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Leftenan Adnan
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu
Bakar
Pelakon : Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal Hussein, Sherie Merlis,
Shaharuddin Thamby, Farid Amirul, M. Osman dan lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Apakah sebuah filem selalu serius dalam melihat dan mentafsirkan
sejarah? Ini adalah soalan yang lazim ditanya, apatah lagi apabila sebuah filem
mengetengahkan sebuah peristiwa sejarah sebagai subjeknya. Antara pembikinan filem dan
sejarahwan, mereka bekerja secara berbeza, terutama dalam mentafsirkan sebuah peristiwa
sejarah.
Seorang pembikin filem, mengambil peristiwa sejarah kerana nilai etikanya yang baik, menarik dan kompleks serta kemungkinan memanipulasikannya secara dramatik, manakala sejarahwan cuba mentafsirkan peristiwa sejarah dalam mencari kebenarannya daripada pelbagai sudut pandangan.
Tetapi hari ini, tulisan-tulisan mengenai peristiwa sejarah semakin banyak dipertikaikan hakikat kebenarannya kerana tafsiran ahli sejarah juga dipengaruhi oleh sudut pandangannya. Ini kerana, bukan sedikit sisi-sisi kebenaran sebuah peristiwa disembunyikan, disebabkan kelemahan pengkaji, penulis atau atas sebab-sebab tertentu.
Hal ini menjadikan usaha memfilemkan sebuah peristiwa atau tokoh sejarah sering sukar, kontroversi dan sukar diterima kerana setiap orang mempunyai persepsinya sendiri terhadap sesuatu peristiwa sejarah.
Apabila Darryl F. Zanuck menerbitkan filem The Longest Day (1962), sebuah filem epik tentang Perang Dunia Ke-2, dia menerima banyak kritikan. Dia memberikan jawapan apa sahaja yang berubah adalah nilai berharga kepada filem.
Tidak ada yang lebih membosankan pada filem daripada menjadi rapat (pada sejarah) tetapi tidak dramatik. Sebuah filem menyampaikan ceritanya semudah mungkin, dramatik dan visual. Atas hakikat kepentingan ini, maka medium filem selalu mengubah, membuang dan mempermudahkan sebuah kronologi peristiwa disebabkan tidak mungkin mampu melakukan seperti sebuah buku yang tebal dengan maklumat dan fakta.
John Seyles ketika menghasilkan filem Matewan tentang kebangkitan dan pembunuhan pekerja lombong kaum kulit hitam di Virginia Barat pada 1920, dia berhadapan dengan banyak lapisan persoalan dan sudut pandangan.
Untuk mempermudahkan penceritaan Seyles mewujudkan dua watak fiksyen untuk menggerakkan plot. Masalah yang dihadapinya adalah dia cuba rapat dengan kepentingan dramatik dan filem, maka dia perlu bahan-bahan yang berhubungan dengan peristiwa itu tetapi bukan fakta.
Jelas di sini, Seyles mempermudahkan sejarah. Ketika Sir Richard Attenborough hendak memilemkan Gandhi dia berhadapan dengan seorang tokoh sejarah yang telah menjadi legenda. Dia diingatkan untuk tidak mendewakan Gandhi, tetapi pada masa yang sama perlu melihat Gandhi sebagai manusia yang hebat. Kerana berhadapan dengan hakikat filem yang memerlukan isu dan motif dipermudahkan, peristiwa penting dibuang jika tidak membantu perkembangan naratif.
Attenborough akhirnya cuba menjadi 'setia' kepada semangat Gandhi daripada berlaku benar kepada fakta sebenar kehidupan subjeknya. Untungnya, bagi Attenborough, tokoh sejarah seperti juga manusia lain sering meninggalkan ruang ambiguiti dan ketidakpastiannya.
Inilah juga ruang sering dieksploitasikan oleh filem. Dan ruang serta potensi ini jelas dimanfaatkan oleh Oliver Stone dalam filem JFK yang cuba melihat beberapa isu dan kemungkinan dalam pembunuhan Presiden Amerika itu pada tahun 1963.
Apabila Aziz M. Osman memilemkan seorang tokoh yang dianggap perwira dan hero dalam satu peristiwa sejarah yang masih segar dalam ingatan sebahagian penduduk negara ini, perlu sedar dan membuat pendekatan yang betul.
Ini kerana peristiwa yang berlaku di Bukit Chandu Singapura pada Perang Dunia Kedua itu boleh sahaja dilihat daripada pelbagai sudut dan tafsiran sejarah.
Apakah dengan pengertian mengangkat peristiwa daripada pertempuran itu bererti semangat nasionalisme berjaya diserapkan. Peristiwa tentang keberanian sejumlah kecil askar Melayu yang berhadapan dengan sejumlah besar tentera Jepun dalam mempertahan Singapura daripada dikuasai Jepun boleh sahaja dilihat dari sudut lain.
Peristiwa ini boleh sahaja dilihat sebagai bagaimana tentera Inggeris (kolonial) dengan bijak telah mengeksploitasikan keberanian askar-askar yang terdiri daripada anak watan untuk mempertahankan kepentingan kolonial di pulau itu.
Apatah lagi, selepas Jepun kalah perang, Inggeris kembali menguasai Tanah Melayu. Bagaimanapun, di pihak lain, keberanian askar Melayu ini wajar disanjung dan diketengahkan, tetapi sayangnya pertempuran itu walaupun untuk mempertahankan Tanah Melayu daripada dijajah Jepun, tetapi keuntungan daripada perjuangan itu diraih oleh pihak kolonial Inggeris.
Debat yang sedemikian pasti memberikan tafsiran yang berbeza, dan kalau Aziz berani mengungkapkan persoalan sebenar, pastilah filem ini lebih menarik dan pasti mampu membakar semangat nasionalisme. Ini kerana sebuah filem seperti ini mudah tenggelam di sebalik babak-babak peperangan yang sarat dengan pertempuran dahsyat sahaja, tetapi nilai dan pengertiannya hilang kekuatan. Apatah lagi, usaha menggambarkan seorang tokoh yang dilihat sebagai hero, maka gambaran watak Leftenan Adnan yang dimainkan oleh Hairie Othman akan kekal buat beberapa lama.
Apakah gambaran yang diberikan itu mampu meyakinkan penonton dan yang penting dapat diterima. Inilah kekuatan George C. Scott yang membawakan watak Jeneral Patton dengan penuh kekuatan dan unsur kemanusiaannya.
Sebuah filem sebesar Leftenan Adnan, ia tidak epik kerana pertempuran dan peperangannya semata-mata, tetapi bagaimana manusia-manusianya dan emosinya dibangunkan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh Leftenan Adnan. Ia mencuba menjadi sebuah epik dengan kebesaran dan pertempurannya, tetapi watak-wataknya tidak mampu dibangunkan sebaik mungkin dan dengan cara yang lebih meyakinkan.
Lihat bagaimana Eros Djarot memilemkan tokoh Njut Nyak Dien, tokoh wanita Acheh yang berjuang menentang Belanda. Kekuatan lakonan dan kebijaksanaan pendekatan pengarah menjadikan filem itu begitu hebat dan menarik, walaupun dari segi kosnya lebih rendah. Bagaimanapun, sebagai sebuah filem perang, ia merupakan cubaan yang menarik dengan menyaksikan keterampilan teknik yang jauh lebih meyakinkan.
Sebagai sebuah karya seni, filem adalah medium yang cukup berkesan untuk menyalurkan ideologi dan pada masa yang sama mengubah persepsi penonton terhadap sesuatu subjek kerana filem juga adalah medium yang tidak memberikan pilihan kepada penonton dalam memilih imej dan tidak membuka kepada perdebatan. Penonton hanya menerima persepsi pengarah. Kerana itu, sebuah filem tentang sejarah, peristiwa itu sebenarnya adalah dilihat dari kaca mata pengarah.
Sumber : Utusan Online 8/9/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |