![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Leftenan Adnan
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu
Bakar
Pelakon : Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal Hussein, Sherie Merlis,
Shaharuddin Thamby, Farid Amirul, M. Osman dan lain-lain
Pengulas : roslen2000@ hotmail.com
Merekacipta sebuah filem perang apatah lagi bersifat period movie bukanlah
perkara mudah kerana ia membabitkan kehalusan kerja supaya audiens dapat melihat sesuatu
yang realistik dan meninggalkan impak.
Dalam hal ini, Aziz M Osman dan sutradara bersama, AR Sulaiman dan Dol Baser, beruntung kerana projek Leftenan Adnan mendapat sokongan penuh Markas Tentera Darat Kementerian Pertahanan Malaysia.
Bantuan serta khidmat nasihat kementerian terbabit besar ertinya bagi merealisasikan sebuah epik mengenai askar Melayu bernama Adnan Saidi yang dulu kisahnya saya baca menerusi buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Fakta sejarah, kostum, peralatan ketenteraan lama serta elemen logistik yang dipantau Kementerian Pertahanan nyata mengukuhkan filem ini dan ia diperindahkan dengan garapan Aziz, Sulaiman dan Dol Baser sebagai kemudinya melalui lakon layar, sinematografi dan kesan dramatik.
Membandingkan Leftenan Adnan dengan filem perang Hollywood seperti The Bridge on The River Kwai, Tora! Tora! Tora!, Platoon, Saving Private Ryan dan Thin Red Line memanglah keterlaluan kerana penceritaan masing-masing berbeza selain kos produksi yang berpuluh-puluh kali ganda besarnya.
Namun satu perkara yang sama di antara Leftenan Adnan dan filem perang itu ialah semangat keperwiraan yang membara di jiwa pejuangnya.
Kali terakhir saya menonton filem perang Melayu yang hebat ialah Bukit Kepong arahan Datuk Jins Shamsuddin terbitan 1982. Kisahnya bertumpu kepada serangan komunis ke atas sebuah balai polis yang berakhir dengan tragedi menyayat hati.
Nyata babak akhirnya menyayat hati kerana begitulah selalunya filem-filem sentuhan Jins seperti Esok Untuk Siapa dan Menanti Hari Esok.
Jika dibandingkan dengan Bukit Kepong, senario peperangan Leftenan Adnan pula lebih besar kerana ia membabitkan serangan negara ke atas negara (Jepun terhadap Malaya) dengan bilangan tentera lebih besar lagi.
Selain itu, pihak British dan Tentera Bersekutu turut terbabit dalam kancah peperangan dunia yang turut menimpa Bumi Melayu itu.
Bagaimanapun, fokus utama Leftenan Adnan ialah kepada Adnan Saidi sendiri (lakonan Hairie Othman) yang mengetuai Rejimen Askar Melayu.
Bukan saja babak perang ditonjolkan dalam filem ini tetapi ia laksana satu biografi kerana menonjolkan rentetan hidup Adnan sejak kecil dari zaman bersunatnya hinggalah kepada memasuki latihan tentera di Port Dickson dan seterusnya berjuang menentang Jepun.
Saya tertarik dengan filem ini kerana persembahannya, terutama pada babak-babak awal, tidak membosankan. Ia berjalan pantas dengan dialog yang berisi.
Selain itu, aspek fotografi serta penataan seninya juga tidak memalukan kalau filem ini ditayangkan di peringkat antarabangsa.
Dari segi lakonan, Farid Amirul sebagai Mejar Fujimura atau perisik Jepun memang bagus. Mungkin juga ia hasil asuhan bakatnya dalam siri Gerak Khas. Pertuturan, mainan ekspresi serta ketegasan Farid dalam Leftenan Adnan memang bersahaja dan berbeza dengan watak lelaki lembut dalam siri Idaman.
Hairie tidak mengecewakan malah jauh lebih baik jika dibandingkan kemunculannya dalam Kad Cinta yang tidak ubah seperti batang kayu. Kalaulah Hairie bukan bidan terjun menggantikan Azri Iskandar dan mempunyai lebih masa untuk menyertai latihan ketenteraan, pastinya dia mampu menonjolkan lakonan yang lebih mantap lagi.
Umie Aida, Rusdi Ramli dan Faizal Hussein turut memberikan lakonan baik, cuma Faizal kelihatan hyper dan over-acting.
Walaupun tidak diragui ini filem terbaik Aziz setakat ini, penyudahnya dirasakan kurang "ummphhhh".
Ramai ingin melihat bagaimana babak Adnan ditawan, seterusnya dibunuh dengan kejam tetapi saya difahamkan, pihak terbabit enggan menonjolkan keseraman itu, cukup sekadar askar Jepun menghunus senapang dan benet ke tubuh Adnan.
Namun catatan yang mengakhiri filem ini menyatakan apa yang seterusnya berlaku ke atas Adnan, isterinya, Safiah, pihak British, Jepun serta Malaya.
Mungkin juga ketiadaan babak seksaan itu bertujuan menghormati keluarga Allahyarham dan menjaga imej Askar Melayu.
Selain itu, penataan muziknya kurang epik walaupun ceritanya dilabelkan epik. Seharusnya lagu elemen moden nyanyian Liza dan Awie tidak diselitkan walaupun nyanyian mereka sememangnya bagus.
Apa pun, semangat dan pengorbanan Leftenan Adnan sedikit sebanyak boleh dirasai selepas menonton filem ini.
Seharusnya filem ini ditonton golongan remaja terutama pelajar supaya dapat mengenali sejarah bangsa sendiri sambil menyemarakkan semangat patriotik.
Apatah lagi Leftenan Adnan berdasarkan kisah benar, impak yang dirasai berbeza jika dibandingkan menonton filem dan hero khayalan.
Dalam hal ini, tertanya-tanya juga saya adakah Kementerian Pertahanan turut bekerjasama dengan pihak lain terutama Kementerian Pendidikan bagi menggalakkan pelajar menonton filem ini? Bagi saya ini peluang dan masa yang terbaik.
Sumber : Berita Harian Online 18/9/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |