![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Leftenan Adnan
Tahun : 2000
Pengarah : Aziz M. Osman
Lakonlayar : Aziz M. Osman, A. R. Sulaiman dan Mejar Ramli Abu
Bakar
Pelakon : Hairie Othman, Umie Aida, Rusdi Ramli, Faizal Hussein, Sherie Merlis,
Shaharuddin Thamby, Farid Amirul, M. Osman dan lain-lain
Pengulas : hasmihashim@excite.com
Kelam-kabut atau kabur!? Entah. Barangkali kedua-duanya sekali. Mungkin lebih daripada
hanya kelam-kabut dan kabur, atau sememang sukar menemukan rasional pada keseluruhan
struktur naratif, sebagai bahasa visual yang teranyam tanpa bentuk, bersimpul-simpul.
Aku tak fahamlah, perasaan aku jadi tak karuan, gelisah, keluh seorang teman sejurus keluar pawagam. Aku diam. Cuma di dalam tahun 1950, Pramoedya Ananta Toer menulis sebuah cerpen. Judulnya pendek Sunat.
Dikarang tatkala dikurung dalam penjara oleh Belanda. Penjara seperti yang kita sering sangkakan memang sempit, tidak bebas, tetapi rupa-rupanya ruang yang sempit itu menjadi luas untuk kepala berkhayal, retrospektif, mengimbau-ngimbau semula zaman kecil Pramoedya.
Di perkampungan pada sebuah daerah, Blora. Budak kampung waktu itu menyakini bersunat suatu proses pengiktirafan daripada seorang anak lelaki menjadi seorang jejaka dan layak berkahwin.
Disunati juga bererti menjadikan dia seorang Islam sejati, agar boleh ke syurga yang dipenuhi bidadari dan angannya di syurga kelak, seperti yang dikatakan kepada pak kiai yang mengajarnya mengaji Quran, betapa dia ingin seharian memancing pada sungai yang mengalir dibawahnya air susu.
Dan kerana itu, baginya dia perlu disunati, agar menjadi seorang Islam sejati. Filem epik Lt. Adnan juga bergerak dengan latar masa Adnan Saidi pada zaman kanak-kanaknya, dengan fragmen imaginatif terhadap upacara bersunat secara adat Melayu di kampungnya, Sungai Ramal. Adnan seperti juga Pram dan adiknya Tato, akhirnya disunati. Namun, sambung Pram lagi di dalam cerpennya itu, betapa dia masih tidak dapat merasai menjadi seorang Islam sejati, biar pun setelah disunati.
Tidak seperti yang tersangka di dalam hatinya sebelum itu, yang pernah dicakapkan kepada ibunya, biarpun ibu cuma tersenyum, diam.
Selepas bersunat, Pram memang punya beza dengan Adnan.
Pram gagal merasakan dirinya seorang Islam sejati, sementara Adnan berjaya menjadi seorang anggota tentera seperti yang menjadi harapan dan nasihat tuk mudim ketika menyunati Adnan.
Pram pada jiwanya jujur menyatakan akan kegagalanya menjadi seorang Islam sejati, dan dia semakin yakin dengan perasaannya itu apabila ayahnya tidak dapat ke Makkah berbuat haji, juga untuk menjadi seorang Islam sejati. Demi mengenal Leftenan Adnan (lakonan Hairie) pula, seorang wira negara, tidak cukup dengan hanya berpandukan kepada kemuncak naratif dengan adegan pertempuran di Bukit Candu.
Pertempuran di Bukit Candu cuma klimak kepada naratif, juga bukti akhir untuk meyakinkan betapa filem ini adalah filem epik yang mengangkat Lt. Adnan sebagai protoganisnya. Lebih utama adalah pembentukan keperwiraan watak Adnan yang sekiranya diamati seolah-olah tuntas di dalam graf naratif sejak awal. Dalam kata mudah, Lt. Adnan dianggap perwira hanya disebabkan lorongan luar naratif, luar filem. Lt. Adnan menjadi wira kerana sejarah, tetapi filem tidak menjanjikannya menjadi wira, sebagaimana sejarah.
Tentunya mind-set bahawa Lt. Adnan sememangnya seorang perwira terbina daripada berita mengenainya di akhbar, radio, internet mahupun TV. Malang apabila keperwiraan karektoristik Lt. Adnan tidak boleh berdiri sendiri, lantaran di dalam skrip dan babak yang terisi dengan plot yang menyenggol pihak lain. Sejarah seorang wira boleh menjadi wira, seandainya tidak menidakkan keperwiraan pihak lain.
Jelas tercatat dalam sejarah dan tidak boleh dinafikan perjuangan menuntut kemerdekaan, menghalau penjajah datang daripada galur yang berencam. Sebagai contoh bagaimana di dalam beberapa babak disulam perihal ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), Ibrahim Yaacob yang diwatakkan bekerjasama dengan Jepun, secara senyap.
Begitu juga disebut nama Datuk Bahaman yang tegas dinyatakan tidak mendapat sokongan majoriti di kalangan orang Melayu. Sedang sejarah jugalah yang menyatakan bahawa Datuk Bahaman juga Mat Kilau yang dilabel sebagai penderhaka oleh Inggeris jelas mendapat sokongan orang Melayu.
Cumanya Inggeris melalui pegawainya, Clifford mengugut Sultan akan dibuang negeri ke daerah jajahan Inggeris di India, sekiranya tidak berpihak kepada Inggeris. Adakah dengan tidak menyenggol KMM mahupun Datuk Bahaman akan boleh menghilangkan warna keperwiraan Lt. Adnan? Tanpa prejudis, British dan Jepun, adalah pihak yang ingin menjajah negara ini.
Berpihak kepada Jepun bermakna berpihak kepada penjajah. Berpihak kepada British juga bermakna berpihak kepada penjajah.
Malah Pramoedya Ananta Toer ditawan selama 29 bulan (1945 - 1949) juga akibat tekadnya menghalau Belanda. Begitulah keseluruhannya filem Lt. Adnan, mahupun watak Lt. Adnan itu sendiri yang masih tidak dapat disenyawakan dengan kebenaran sejarah betapa orang Melayu tidak mahu dijajah oleh sesiapa pun, dan kerana itu juga Lt. Adnan menyertai askar Melayu.
Sekilas pandang imejan metafora Adnan yang memberi rokok dari England kepada orang kampung menjelaskan watak itu membawa pulang unsur tidak sihat kepada bangsanya. Secara pembalikan, watak itu yang sewajarnya menghisap rokok daun sebagai satu kenyataan dia yang pulang ke kampung, ke pangkuan keluarga. Bukan membawa keluarga dan bangsanya ke England.
Tanpa menyenggol sisi sejarah yang lain, ruang percintaan antara Adnan dan Safiah (lakonan Umie Aida) boleh memperkukuhkan maksud keperwiraan. Tidak cuma pertemuan dengan dialog kasih-sayang, rindu-dendam atau cuma imejan jelingan manja ataupun saling lambai-melambai.
Sesungguhnya benar betapa sukar mencari nafas baru pada pengkisahan yang aromanya cinta. Sejak dulu pun, bermula daripada watak Romeo oleh Shakepeare empat abad lalu, dengan si Romeo yang terus menunggu Juliet di bawah anjung rumah besar, sambil memanggil nama kekasihnya itu. Begitu jua Majnun di kota Baghdad berekspresi sama dengan Romeo untuk membuktikan cinta sejati setia menunggu di bawah anjung rumah Laila yang bangsawan itu, sambil medendangkan lagu cinta buat Laila.
Sekiranya kisah cinta antara Romeo dan Juliet, Laila dan Majnun mahupun Adnan dan Safiah digambarkan pada sebuah catan, tidak mustahil begitulah imejan yang akan diulang-cetak. Imejan begini berulang apabila Adnan mandi di sungai sebelum bersunat sambil Safiah melihat dari tebing yang tinggi. Menangani hubungan antara watak yang aromanya sebuah percintaan, bukan hal yang boleh dipetik enteng. Komposisi imejan yang kuat sesungguhnya boleh langsung menyokong ide utama. Perjuangan yang tidak hanya dengan kata abang berjuang untuk negara semata-mata.
Tatkala Pram menyedari betapa ayahnya tidak juga mampu berbuat haji, menaiki kapal ke negeri Arab, dia merasa seolah-olah hilang harapan untuk menjadi orang Islam sejati. Sebelum dia mampu mengerti betapa semuanya itu telah diragut oleh kemiskinan.
Sumber : Berita Harian Online 18/9/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |