![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Lips to Lips
Tahun : 2000
Pengarah : Amir Muhammad
Lakonlayar : Amir Muhammad
Pelakon : James Lee, Anitha Abdul Hamid, Huzir Sulaiman, Patrick Teoh, Joanna Bessey dan
lain-lain
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Lips to Lips adalah karya dan arahan Amir Muhammad. Filem ini ditayangkan di
Actors Studio Kuala Lumpur. Lips to Lips adalah sebuah komedi dalam genre filem
bebas yang cuba mengambil sebahagian daripada kehidupan dan kegilaan manusia dalam
masyarakat Malaysia masa kini.
Amir Muhammad sebelum ini lebih dikenali sebagai penulis yang banyak membuat komentar sosial masyarakat Malaysia dan juga membuat kritikan tentang dunia sastera, teater dan filem.
Lips to Lips dihasilkan menggunakan teknologi video digital (dalam tahun 1986, filem Julia-Julia dihasilkan menggunakan teknologi video HDTV tetapi gagal di pasaran).
Filem Lips to Lips menumpukan kepada dua watak utama iaitu James Lee, seorang pemuda yang menghadapi kehidupan yang muram akibat kematian ibu tirinya secara tiba-tiba (tercekik semasa makan epal) dan kegagalannya beberapa kali dalam usahanya membunuh diri. Satu watak lagi adalah Anitha, DJ radio yang ceria tetapi sebenarnya menghadapi personaliti berbeza di luar tugas.
Dia cuba lari daripada permasalahan hidup yang sukar difahaminya. Dunia James dan Anitha adalah dunia anak muda yang tidak pasti, absurd, kacau dan sepi. Kedua-duanya menjalankan kehidupan harian yang membingungkan dan kacau dalam menanggapi realiti kehidupan. Mereka menemui sejumlah watak-watak manusia yang kelihatan biasa tetapi juga aneh dalam peristiwa kehidupan yang berlaku dalam tempoh sehari.
Lips to Lips tidak bertolak daripada struktur naratif konvensional. Sebagaimana filem-filem dalam tradisi filem bebas, filem ini tidak mementingkan binaan plot tradisi yang perlu disoal hubungan peristiwa dan logik kejadian atau aturan strukturnya.
Filem ini juga membawa imbasan dari filem-filem Pulp Fiction, Clerks dan malah cebisan dari filem Blue Velvet. Antara realisme, absurd dan komedi hitam berbaur.
Kematian berlaku dengan tiba-tiba, tindakan dan peristiwa berlaku tanpa alasan munasabah, watak-watak aneh seperti bekas gengster Mr. Patrick yang berbaju merah jambu dengan kegemaran mereka yang aneh, ahli falsafah jalanan, pembantu kedai yang akhirnya tenggelam dalam halusinasi dan dua anggota polis (wakil ahli etablishment) yang bercakap tentang masyarakat madani.
Peristiwa dan watak-watak ini membuat kita tersenyum dalam merenung kehidupan seharian. Dan semua keanehan hidup itu dirangkumkan di sekitar persoalan seks, makanan dan kematian.
Filem ini agak kasar, mentah dan sesekali memeranjatkan. Komedinya melucukan dan sinismenya tinggi. Cuma filem ini terasa meleret dan agak mendatar kerana suntingannya agak kacau dan perlu diperbaiki.
Lips to Lips sebenarnya mempunyai cerita yang menarik dengan konsep dan pendekatan yang berbeza daripada filem-filem tempatan lain, tetapi adalah lazim bagi filem bebas.
Tayangannya di Actors Studio dengan konsep persembahan diselarikan dengan lakon teater oleh Anitha dan James di awal persembahan filem juga menarik. Cuma filem begini terasa agak asing bagi penonton yang sudah biasa dengan konsep filem-filem arus perdana.
Sumber : Utusan Online 21/7/2000
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |