Ulasan
Review
. .

Judul : Affliction
Arahan : Paul Schrader
Lakonlayar : Paul Schrader berdasarkan novel karya Russell Banks
Pelakon : Nick Nolte, Sissy Spacek, James Coburn, Jim True, Holmes Osborne, Willem Dafoe, dll.

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Affliction kemusnahan sebuah keluarga

Ingat filem-filem Taxi Driver dan Raging Bull arahan Martin Scorsese? Penulisnya adalah Paul Schrader. Di dalam filem-filem ini, watak protagonisnya dilihat daripada dua sudut yang ekstrem, antara kewarasan dan kenanarannya.

Protagonis yang terperangkap dalam kekacauan hidup dalam filem-filem Schrader selalunya wujud terpinggir dan difinisi kehidupannya hanya tercapai setelah ia terpaksa melalui kesengsaraan dan keganasan yang ekstrem.

Paul Schrader menjadikan obsesi, kesengsaraan dan akhirnya kemusnahan diri protagonisnya sebagai tema yang cukup disenanginya dalam filem-filemnya.

Dengan itu, tidak hairan kalau dalam Affliction, Paul Schrader kembali dengan subjeknya yang begitu menganggu itu, tentang tragedi dan kemusnahan sebuah keluarga.

Tentang lelaki-lelaki yang hilang kawalan diri, terperangkap dengan trauma masa silam, hilang pertimbangan dan persepsi masa depan yang kacau.

Affliction dibuka dengan naratif suara latar Rolfe (Willem Dafoe) yang menceritakan tentang abangnya Wade (Nick Nolte) yang dikatakan mempunyai sifat jenayah yang aneh.

Apakah bentuk jenayah yang bakal menjelma dari Wade? Tetapi watak Wade yang muncul adalah Wade yang sedang berusaha mencipta kemesraan dengan anaknya Jill (Brigid Tierney) di mana mereka dalam perjalanan untuk menghadiri majlis Halloween di pekan kecil itu.

Bagaimanapun, Jill berkeras tidak mahu menyertai majlis tersebut sebaliknya mahu mengikut ibunya Lillian (Mary Beth Hurt) yang telah bercerai dengan Wade.

Schrader menggerakkan plotnya dengan perlahan tetapi pasti dalam membentuk unsur dramatiknya.

Subjek dan dunia dalam Affliction dilihat dari kaca mata Wade Whitehouse yang menghadapi permasalahan yang hampir sama.

Dia bersikap keras kepada teman-temannya, jiran dan malah kepada bekas isterinya yang sedang dihadapinya dalam usahanya mendapatkan hak penjagaan Jill.

Kerana cemburunya kepada bapa tiri Jill yang baru, Wade bercadang menyamannya untuk mendapatkan hak penjagaan. Usaha yang sukar sebenarnya kerana kehidupan peribadi Wade sendiri bercelaru.

Tetapi Jill sebagai anak juga menghadapi konflik dalam melihat Wade sebagai susuk ayah yang disayanginya dan yang dibenci. Teman baik Wade hanyalah Jack (Jim True) seorang anak muda yang membuat kerja-kerja sampingan di pekan itu. Kerana itu apabila Twombley (Sean McCann) seorang ketua kesatuan di pekan itu mati tertembak ketika berburu bersama Jack, Wade mula mengesyaki ada konspirasi yang sedang berlaku.

Dan plot konspirasinya semakin besar dengan melibat LaRiviere dan Mel Gordon iaitu anak menantu Twombley sendiri bahawa mereka sebenarnya sedang merancang membina sebuah resort luncur salji di kawasan itu dan Twombley dilihat sebagai penghalang yang utama.

Apakah faktor yang mendorong pelbagai tindakan tidak stabil Wade? Kehidupan masa kecil Wade adalah trauma yang terus menghantui hidupnya yang menyebabkan emosinya tidak stabil dan sering terganggu.

Sebagai anak kecil dia selalu menghadapi susuk seorang ayah yang alkoholik, bengis, tidak penyayang dan selalu bertindak keras terhadap anak-anaknya Wade dan Rolfe.

Affliction adalah saga sebuah keluarga kecil yang hampir musnah. Tetapi yang menjadikan filem ini menarik adalah pendekatan oleh Schrader terhadap subjeknya dengan struktur dan tempo dramatik yang terkawal.

Aksi yang dipaparkan tidak berlebihan. Eksplorasi dramatik dan psikologinya serta kesan misteri yang dijalin oleh plot filem ini tidak membenarkan kesimpulan tentang kebenaran secara yang mudah.

Memang Schrader memulakan prologue filem ini dengan kenyataan Rolfe tentang jenayah abangnya, tetapi filem ini bukanlah bertujuan menonjolkan aspek jenayah yang bersifat fizikal, tetapi lebih kepada unsur yang membawa kepada berlakunya tindakan jenayah tersebut.

Keruntuhan dan trauma psikologi yang berpanjangan akibat daripada penderaan anak-anak. Aspek inilah yang diterokai oleh Schrader.

Yang akhirnya menimbulkan persoalan apakah yang dimaksudkan oleh Rolfe dengan perlakuan jenayah semasa epilognya.

Lakonan adalah kekuatan filem ini. Nick Nolte dan pelakon veteran James Coburn memberikan yang terbaik.

Daripada Nick Nolte teralir ketidakpastian, kekacauan, kekecewaan dan kesengsaraan yang dilalui oleh Wade yang akhirnya membawa kepada tindakan keras dan di luar dugaan, membunuh ayahnya dan membakar mayat itu bersama rumahnya sekali, malah kerana keyakinan kepada konspirasi yang diimaginasikannya dia bertindak membunuh Jack, teman baiknya.

Kekuatan lakonan Nick Nolte dilengkapkan oleh penampilan yang cukup berkesan oleh James Coburn sebagai susuk seorang ayah yang begitu ditakuti kerana bengis dan tidak bersifat penyayang serta pemabuk.

Memang sebagai Glen Whitehouse, James Coburn bukanlah penjahat yang nyata, tetapi dialah menjadi punca kepada kemusnahan hidup Wade dan seluruh anggota keluarganya.

Filem ini berbicara sendiri secara visual. Di tangan pengarah fotografi Paul Sarossy, fotografinya bukan sahaja memberikan imageri yang menarik tetapi berjaya mengekalkan mood filem ini.

Affliction hanyalah kisah keluarga yang terpinggir di sebuah pekan kecil yang hampir tidak dipedulikan, tetapi ia bercerita tentang nilai hidup dan harga diri seorang lelaki yang terperangkap dengan kehidupannya. Sebuah filem yang cukup mengesan dan menginsafkan.

Sumber : Utusan Online 19/3/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001