![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : Air Force One
Arahan : Wolfgang Petersen
Lakonlayar : Andrew W. Marlowe
Pelakon : Harrison Ford, Glenn Close, Gary Oldman, Jurgen Pruchnow, Wendy Crewson, Liesel
Matthews, dll.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B
Apakah Amerika sudah begitu terdesak untuk memulihkan imej dan kredibiliti presidennya? Maka ada sebuah filem yang harus tampil membela dan cuba mengembalikan keyakinan umum terhadap imej presiden yang bukan sekali dicemuh dan dipersoalkan di media.
Malah dalam beberapa buah filem yang terakhir ini seperti Nixon, The American Presiden dan Absolute Power, imej presiden Amerika dihina dan dipermainkan. Kerana itu filem Air Force One mempunyai tanggungjawab moral untuk mengembalikan keyakinan dan sekali gus melonjakkan semula imej presiden Amerika.
Fantasi superior presiden Amerika kali ini dibawakan oleh Wolfgang Peterson, pengarah filem asal German yang sebelum ini telah pernah menghasilkan antaranya filem Das Boot, The Never Ending Story dan In The Line of Fire.
Air Force One cuba membawakan fantasi ini. Seorang Presiden Amerika haruslah seorang yang berani dan bijak dalam menghadapi tekanan dan teror dari pengganas antarabangsa yang tidak pernah bersimpati. Malah imej seorang presiden Amerika juga haruslah seorang lelaki yang kelihatan gagah dan kacak. Maka itu, tidak ada pelakon lain yang lebih layak untuk dipertanggungjawabkan untuk membawakan imej presiden Amerika yang sedemikian melainkan Harrison Ford.
Untuk melengkapkan imej presiden Amerika dan kekaguman umum, ia harus dilengkapkan dengan sebuah pesawat yang super canggih, seperti Air Force One iaitu pesawat Boeing 747 yang telah dilengkapi dengan teknologi yang mampu menahan kapalterbang ini dari gegaran ledakan bom nuklear.
Mampu mengelak dari tembakan peluru berpandu dan dalam keadaan yang terpaksa dapat pula menyelamatkan presiden dan penumpang lainnya kerana ia dilengkapi oleh pod keselamatan dan peralatan payung terjun.
Dengan imej yang sedemikian canggih, Amerika perlu mencari antoganis yang setaraf dari segi kecanggihan teknologi dan mempunyai reputasi yang tidak mudah digugat.
Kerana itu Hollywood tidak mempunyai pilihan lain selain dari menggunakan Russia, sungguhpun Russia selepas perang dingin bukan lagi musuh utama Amerika.
Air Force One bermula dengan jamuan makan malam selepas Moskow berjaya menangkap seorang pemberontak iaitu Jeneral Radek (Jurgen Prochnow), di mana Presiden Amerika James Marshall (Harrison Ford) turut berucap dan menegaskan tentang prinsip Amerika yang tidak pernah berkompromi dengan pengganas dan tekanan.
Adegan awal ini sudah memberi tahu apa yang bakal berlaku. Bila Ivan Korshnov (Gary Oldman,) dan kumpulannya berjaya menaiki pesawat Air Force One dengan menyamar sebagai wartawan, maka itulah permulaan awal yang pesawat itu sudah ditawan. Kerana itu bila tiba-tiba Ivan dan kumpulannya bertindak menawan pesawat itu dengan begitu mudah (pastinya ada bantuan petugas dari dalam), ia sudah tidak begitu memeranjatkan.
Ivan menuntut Jeneral Radek dibebaskan atau dia akan membunuh seorang demi seorang tebusannya dalam tempuh selang setengah jam.
Berita penawanan Air Force One sampai ke Washington dan rundingan berlaku di antara Timbalan Presiden, Kathryn Bennett (Glenn Close) yang harus bijak mengendalikan suasana pada ketika presiden tidak diketahui keselamatannya. Seluruh pesawat Air Force One diperiksa oleh kumpulan Ivan tetapi tidak berhasil menemui Marshall.
Marshall bertindak secara gerila untuk menewaskan orang-orang Ivan dan berusaha menyelamatkan orang-orangnya serta keluarganya yang ditawan. Marshall boleh sahaja bertindak demikian kerana sebelum menjadi presiden, Marshall adalah hero perang Vietnam yang pernah menerima Medal of Honor.
Dengan kejayaan Marshall menyelamatkan keluarga dan orang-orangnya serta menewaskan Ivan dan kumpulannya, maka lengkaplah imej seorang presiden Amerika yang difantasikan.
Cerita dalam Air Force One adalah tipikal filem aksi thriller Amerika. Segala klise dan stereotaip filem aksi thriller diulang dan dieksploit sepenuhnya.
Sebenarnya cerita dalam filem ini sudah tamat bila ditunjukkan Marshall terselamat dan masih berada di dalam pesawat Air Force One.
Untuk menutup kelemahan yang ketara dalam pembinaan plotnya, Wolfgang Petersen menggunakan efek khas dan kekuatan fotografi. Memang efek khasnya wajar dipuji. Fotografi cemerlang oleh Michael Ballhus memberikan kekuatan dan kesan psikologi yang diharapkan oleh filem ini. Ruang kapalterbang yang sempit dan terhad memberikan kesan tertekan dan terkurung.
Dan kekuatan fotografi ini dimungkinkan pula oleh suntingan yang cukup terkawal dan baik oleh Franchis Bruce dalam menimbulkan kesan yang cukup dramatik. Harrison Ford sebagai presiden yang gagah tampil sederhana dan tidak jauh bezanya dengan Harrison Ford dalam filem-filemnya sebelum ini.
Dia ditenggelamkan oleh lakonan Gary Oldman yang sungguh berkesan dan cukup bertenaga. Malah lakonan Glenn Close sebagai Timbalan Presiden ternyata cukup menyerlah.
Filem ini memang menghiburkan. Tetapi usahanya untuk meningkatkan imej presiden Amerika di depan khalayak boleh sahaja dipersoalkan keupayaannya. Ini kerana bila seorang presiden Amerika bertindak seperti Rambo dengan plot yang begitu tipis dan sukar meyakinkan, ia hanya sekadar jadi bahan lucuan.
Sumber : Utusan Online 3/10/1997
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999 - 2000 |