![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : An American Werewolf In
Paris
Arahan : Anthony Waller
Lakonlayar : Tim Burns, Tom Stern & Anthony Waller
Pelakon : Tom Everett Scott, Julie Delpy, Vince Vieluf, Phil Buckman, Julie Bowen, Pierre
Cosco, Tom Novembre, dan lain-lain.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : C-
Apabila John Landis menghasilkan An American Werewolf in London pada tahun 1981, dia secara bijaksana telah mengadunkan unsur komedi dan seram. Hasilnya, sebuah filem yang memang menyeramkan dan pada masa yang sama begitu melucukan.
Ia sebenarnya juga begitu menyentuh, bilamana seseorang menjadi kacau perspektifnya yang tidak dapat membezakan antara realiti yang dihadapi dan igauan buruk yang sentiasa menganggu dan mendesaknya.
Filem arahan John Landis, seorang pengarah daripada generasi muda Hollywood ketika itu, menjadi antara filem terbaik dalam genrenya.
Filem An American Werewolf in Paris arahan Anthony Waller ini bukanlah sambungan daripada filem asal arahan John Landis.
Malah, bukan juga pembikinan semula daripada filem asal itu. Filem ini dibuka dengan tiga pelajar dari Amerika, Andy (Tom Everett), Brad (Vince Vieluf) dan Chris (Phil Buckman) menggembara ke Paris dan mereka berjaya mencuri naik Menara Eiffel di waktu malam. Apa yang mereka temui adalah seorang gadis Parisian, Serafine (Julie Delphy) yang sedang hendak terjun dari menara itu.
Andy bertindak pantas dan berjaya menyelamatkan Serafine dari terjun. Tetapi selepas itu, Serafine hilang dalam kegelapan malam. Bagaimanapun, Andy berjaya menjejak Serafine dan berjaya juga mengetahui rahsia Serafine yang akan bertukar menjadi serigala pada waktu malam bulan mengambang.
Dan dalam satu insiden di sebuah parti yang dihadiri Andy dan teman-temannya, Andy telah tercedera digigit oleh Serafine yang telah bertukar menjadi serigala jadian (insiden yang menjadi satu kemestian untuk memungkinkan transformasi manusia ke serigala ini walaupun ia satu klise dalam mana-mana "francais" filem-filem serigala jadian).
Ekoran daripada kejadian itu, Andy juga akan bertukar menjadi serigala jadian pada masa bulan mengambang dan mula mengganas di kota Paris.
Cuma satu kelainan dalam filem ini untuk bertukar menjadi serigala jadian rupanya sudah tidak perlu menanti malam bulan mengambang. Sebaliknya, sudah ada serum yang mampu menukarkan seseorang itu menjadi serigala serta-merta.
Bukan itu sahaja, sudah ada pula sekumpulan serigala jadian lainnya yang menganggap menjadi serigala jadian adalah sesuatu yang menyeronokkan dan istimewa.
Anthony Waller dalam filem ini cuba mengadunkan unsur seram dan humor, tetapi hasilnya terasa kering dan hampa. Ini kerana masalah idea dan binaan plot yang kacau dan tidak terarah.
Tidak seperti yang dilakukan oleh John Landis dalam filem asal, realiti yang menakutkan dan igauan ngeri dengan suasana yang melucukan telah menghasilkan konsep cerita yang cukup menarik.
Bukan sahaja minat menonton An American Werewolf in Paris semakin merosot kerana kelemahan ceritanya, efek khas komputer yang digunakan untuk menghasilkan serigala jadian juga gagal memperlihatkan efek yang lebih meyakinkan.
Sumber : Utusan Online 27/2/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |