Ulasan
Review
. .

Judul : Any Given Sunday
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Komersialisme musnahkan sukan

Any Given Sunday Bola sepak Amerika hanya popular di Amerika, di luar Amerika ia menjadi permainan yang tidak diminati dan tidak diambil peduli. Tetapi Oliver Stone sebagai pengarah dan bersama menulis lakon layar melihat dimensi dalam permainan ini. Any Given Sunday bukan menghujahkan tentang teknik permainan ini.

Filem arahan Oliver Stone ini lebih berminat tentang unsur kemusnahan, paranoia, kekerasan sikap tamak dan penipuan serta korupsi yang melanda permainan ini.

Seperti cerita tentang sukan yang lain, filem ini bercerita tentang jurulatih yang semakin tua, Tony DAmato (Al Pacino) yang masih percaya dia mampu membawa kejayaan kepada pasukan Miami Shark walaupun zamannya sudah berlalu, kapten pasukan Jack Rooney (Dennis Quaid) yang semakin luntur semangat juangnya dan kemunculan pemain baru Willie Beamen (Foxx).

Tambah mencabar Tony adalah apabila kelab itu dikuasai oleh Christina (Cameron Diaz) yang mewarisi daripada bapanya.

Pengurusan baru oleh Christina banyak bersandarkan pada soal kewangan dan Christina menggemari cara permainan Willie yang lebih bertenaga dan berani membuat improvisasi. Pada masa yang sama apabila permainan Willie semakin mantap, dia menjadi bertambah ego dan bintang komersial yang dipuja.

Kesemua ini menjadikan DAmato menyedari bahawa hari-hari kegemilangannya semakin berlalu dengan corak dan bentuk permainan serta sikap pemain yang baru ini. Dan turut mengacaukan DAmato adalah wartawan sukan (John C. McGinley) yang merasakan dia tahu semua aspek tentang permainan itu walaupun sebenarnya tidak dan cuba membina agendanya sendiri.

Filem ini memberikan komentar bagaimana wang telah begitu merasuk sukan ini dan sikap pemain, dan bagaimana elemen komersial begitu memainkan peranan untuk memusnahkan integriti permainan ini. Televisyen secara tidak lansung turut terbabit dalam agenda memusnahkan ini.

Apa yang berlakunya adalah pertentangan antara sekolah pemikiran lama yang dibawa oleh DAmato dan cara baru yang dibawakan oleh pemain dan pengurusan yang baru.

Kegilaan, keganasan dan sifat tamak permainan ini digambarkan oleh Oliver Stone melalui teknik suntingan bersilang dan pantas untuk membawakan kesan kacau, mendesak dan memusnahkan.

Mereka yang biasa dengan filem arahan dan gaya Oliver Stone (pendekatan gerila) akan tahu bahawa Oliver lebih berminat menyelami apa yang berlaku di sebalik kegemilangan sukan ini dan disampaikan melalui pendekatan visual yang keras dan ganas.

Akhirnya, apa yang berlaku dalam filem ini adalah persoalan yang dasar dalam mana-mana permainan sukan, dan Oliver Stone menyampaikannya secara yang lebih provokatif.

Sumber : Utusan Online 12/5/2000

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000