![]() |
Ulasan Review |
. | . |
Judul : As Good As It Gets
Arahan : James L. Brooks
Lakonan : Jack Nicholson, Helen Hunt, Greg Kinnear dan lain-lain.
Pengulas : A. Wahab Hamzah
Penilaian : B
Ingat filem Terms Of Endearment (1983), filem tentang hubungan antara anak dan
ibunya? Filem yang penuh emosi dengan situasi komedinya ini memenangi lima Anugerah
Akademi, antaranya sebagai Filem dan Pengarah Terbaik.
Pengarah dan penulis lakon layar filem ini ialah James L. Brooks. Jack Nicholson yang melakonkan watak sebagai pengganggu wanita dalam filem ini merangkul anugerah Pelakon Pembantu Terbaik.
James L. Brooks adalah antara pengarah siri televisyen yang berjaya di filem. Dia adalah orang yang bertanggungjawab menghasilkan beberapa siri televisyen yang berjaya dalam sejarahnya seperti The Mary Tyler Moore Show dan Taxi sebelum menghasilkan filem Terms of Endearment dan Broadcast News yang bukan sahaja berjaya di pasaran tetapi juga mendapat perhatian baik dari pengkritik.
Filem-filem ini bukan sahaja diolah secara komedi yang menarik tetapi persoalan kemanusiaannya sentiasa memikat dan emosional. Bagaimanapun filem komedi muzikalnya I'll Do Anything (1994) gagal di pasaran.
As Good As It Gets membawa kembali bukan sahaja pasangan Brooks dan Jack Nicholson tetapi komedi cara Brooks yang sederhana tetapi memikat.
Sebuah filem yang bercerita tentang individu yang mendiami Manhattan dengan permasalahan yang tersendiri dan juga tentunya dengan kegilaan serta keanehan mereka.
Filem yang ditulis oleh Mark Andrus ini penuh dengan kemungkinan yang menarik dan humanis, dan diberikan sentuhan oleh Brooks secara lebih liar dan humoris.
Pendekatan sebegini memberikan ruang dan kelebihan kepada para pelakonnya, terutamanya Jack Nicholson.
Jack Nicholson, apa lagi yang hendak dikatakan tentang dia? As Good As It Gets memberikan Nicholson ruang terbaik untuk berhumor dengan dialog yang melucukan, sinis, sarkastik dan watak yang kontras. Nicholson adalah yang terbaik bila diperlukan membawa watak sedemikian, yang penuh kontradiksi dan sekali gus humoris.
Dia membawakan watak novelis separuh usia Melvin Udall (yang telah menghasilkan 62 novel romantis) yang mementingkan diri, bersifat perkauman, anti-Yahudi, mulut celupar dan obsessif. Udall yang selalu berjalan dengan cara yang agak aneh kerana mengelak rekahan kaki lima jalan dan yang sentiasa membawa sudu garpu plastiknya ke kafe kegemarannya.
Udall juga tidak mempunyai reputasi yang baik dengan jiran-jirannya terutama dengan Simon (Greg Kinnear) pelukis gay yang mendiami hadapan unit apartmennya, hingga dia sanggup menghumban anjing Simon ke dalam corong sampah.
Malah dia sanggup menyerang sepasang Yahudi dengan kata-kata yang mempersenda. Cuma seorang sahaja yang boleh tahan dengan sikap Udall iaitu Carol Connelly (Helen Hunt) pelayan kafe yang menjadi tempat kunjungan tetap Udall untuk bersarapan.
Melayan orang yang separuh idiosinkratik seperti Udall barangkali sudah lali bagi Carol yang juga terpaksa menjaga anaknya yang mempunyai penyakit asma.
Di sini plot Brooks masih berjalan biasa hinggalah Simon dimasukkan ke hospital selepas dipukul oleh dua orang pencuri. Plot berubah bila mana Udall terpaksa memelihara Verdell anjing Simon sepanjang Simon di hospital. Verdell telah mengubah sikap Udall.
Bila Simon terpaksa ke Baltimore untuk mendapatkan wang membayar bil hospital yang tinggi, Udall dan Carol bersetuju membawanya ke sana. Perjalanan yang mengubah sikap mereka untuk saling memahami.
Menerusi filem ini, Jack Nicholson dan Helen Hunt muncul sebagai aktor dan aktres terbaik Anugerah Akademi ke-70 Selasa lalu.
Komedi dalam As Good As It Gets penuh dengan pelbagai kemungkinan yang menarik, kontras, liar dan sekali gus sentimental.
Filem ini melihat individualis di Manhattan yang kesunyian mengharung permasalahan sendiri dan lebih senang bertemankan anjing dari memahami manusia.
Brooks berjaya melihat kontradiksi manusia ini yang sekian lama dilindungi oleh hutan batu-bata secara humoris dan sinis. Manusia-manusia yang berpura dan politically incorrect seperti Udall, wanita setabah Carol atau pelukis gay yang serba salah.
Kekuatan lakonan Jack Nicholson dilengkapkan oleh keupayaan Helen Hunt (watak ini asalnya ditawarkan kepada Holly Hunter) yang membawa watak ibu tunggal yang cukup emosional, sensitif dengan beban masalah kesihatan anaknya tetapi menemui kewanitaannya semula.
As Good As It Gets cuba melihat kemungkinan kemanusiaan dari segala rencam kehidupan di Manhattan dengan manusianya yang individualistik.
Sebuah filem yang sinis, menyindir tetapi juga cuba memahami permasalahan manusianya.
Sumber : Utusan Online 27/3/1998
. | Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home |
. |
http://filemelayu.cjb.net | © khys 1999-2001 |