Ulasan
Review
. .

Judul : Ever After
Arahan : Andy Tennant
Lakonlayar : Susannah Grant, Andy Tennant & Rick Parks
Pelakon : Drew Barrymore, Angelica Huston, Dougrey Scott, Megan Dodds, Melanie Lynskey, Patrick Godfrey, Jeanne Moreau dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Ever After dongeng lama tafsiran baru

Ever After Sesiapa yang pernah menonton filem E.T arahan Steven Spielberg pasti sukar melupakan seorang anak kecil yang mengagumi dan bersahabat dengan makhluk asing itu. Watak anak kecil itu dimainkan oleh Drew Barrymore. Dia menjadi cukup terkenal selepas itu.

Bagaimanapun selepas itu filem-filemnya tidak begitu berjaya di pasaran. Nasib Drew Barrymore sebagai remaja tidak sebaik nasibnya dalam filem ET. Dia melalui kehidupan yang bermasalah. Tetapi filem berbudjet kecil The Wedding Singer telah berjaya menaikkan semula namanya.

Di dalam Ever After Drew Barrymore memberikan imej baru kepada mitos Cinderella. Di dalam filem ini, Cinderella, dongeng yang pernah ditulis dalam lebih daripada 500 versi adalah Cinderella yang bukan lagi pasif, yang sekadar menanti untung nasib terpilih menjadi permaisuri oleh seorang putera raja.

Andy Tennant bersama dua lagi penulis lakon layarnya Susannah Grant dan Rick Parks telah menukar imej Cinderella. Tiada lagi magik, watak gadis sopan dan patuh. Dalam Ever After, Danielle (Drew Barrymore) yang dikatakan Cinderella itu adalah tomboy pada awalnya kemudiannya berubah menjadi gadis yang cerdik, tidak mudah mengaku kalah dan berani menghadapi cabaran.

Dia membantah tindakan ibu tirinya (Angelica Huston), mempertahankan hak dan kepentingannya daripada adik-adik tirinya dan seorang bangsawan yang tamak, malah dia juga membantu Putera Henry (Dougrey Scott) serta menyelamatkan putera raja itu daripada ancaman sekumpulan gipsi. Kerana kecantikan dan kecerdikannya itulah yang mengkagumkan Leonardo Da Vinci (Patrick Godfrey).

Andy Tenant cuba memberikan sentuhan yang lebih realistik. Watak-watak yang real diwujudkan seperti watak Leonardo dan lukisan Mona Lisanya yang cuba hendak dicuri oleh pemuda gipsi. Watak ibu tiri yang tidak melampau garang sepertimana yang selalu digambarkan dalam kisah dongengnya. Putera raja yang lebih real dengan persoalan yang juga real.

Dan Cinderella sendiri tidak ditunjukkan mempunyai magis. Pendekatan Tenant dibabak awal filem ini melalui babak pengenalan oleh waris Cinderella (penampilan khusus oleh Jeanne Moreau) yang hendak menceritakan kisah sebenarnya tentang Cinderella, cuba membuktikan yang ia bukan cerita fantasi.

Selain mengekalkan semangat dan beberapa aspek dongeng abad ke 16 ini, tafsiran baru yang dibuat oleh Andy Tennant ini berupaya memberikan sesuatu yang menyegarkan.

Sumber : Utusan Online 8/1/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001