Ulasan
Review
. .

Judul : The Cup (Phorpa)
Arahan : Khyentse Norbu
Skrip/lakonlayar : Khyentse Norbu
Pelakon : Orygen Tobgyal, Neten Chokling, Jamyang Lodro, Lama Chonjor, Godu Lama, Thinley Nudi dan lain-lain

Pengulas : A. Wahab Hamzah


Phorpa ...kehebatan pengarah Tibet

Setelah sekian lama terasing dan mengasingkan diri, Tibet adalah dunia tertutup yang kini sedang membuka jendelanya. Kerana pengasingan itu, bagi dunia luar Tibet adalah dunia mistik yang sering diimaginasikan sebagai syurga spiritual.

Jadi tidak hairan kalau Hollywood atau dunia Barat melihat Tibet sebagai tempat yang cukup eksotik. Seawal tahun 1937, Hollywood telah menunjukkan minatnya terhadap Tibet apabila Frank Capra menghasilkan filem Lost Horrizon yang diadaptasi daripada novel James Hilton.

Dunia tertutup Tibet menyebabkan tidak banyak yang diketahui mengenainya selain daripada tokoh sucinya Dalai Lama.

Tetapi hal ini tidak pernah memudarkan imaginasi pembikin Hollywood yang melihat Tibet sebagai tempat yang kudus dan penuh rahsia mistik. Tiga filem semasa tentang Tibet iaitu Seven Years In Tibet (Jean-Jacques Annaud), Kundun (Martin Scorsese) dan Little Buddha (Bernardo Bertulucci) adalah contoh obsesi Hollywood.

Tetapi, filem-filem ini sekadar memperlihatkan imaginasi dunia kudus di Tibet dan kewarakan para sami yang lebih dilihat sebagai latar sahaja.

Realitinya dunia para sami di biara itu boleh sahaja penuh kelucuan dengan keinginan-keinginannya yang manusiawi. Dunia realiti para sami di biara inilah yang mahu diceritakan oleh Khyentse Norbu, seorang pengarah yang berasal dari Bhutan.

Dengan latar Khyentse yang bukan sebarangan sami, mempunyai pendidikan tradisi Buddha dan dianggap inkarnasi Lama, tiada siapa yang dapat mempertikaikan kelayakannya untuk melihat dunia kudus para biarawan di Tibet secara lebih realiti dan dekat.

Dunia dan pekerjaannya menjadikan Khyentse amat memahami batang tubuh para biarawan itu - sikap, kelucuan, kenakalan dan keinginan mereka.

Khyentse tidak pernah memasuki mana-mana sekolah filem tetapi dia mendapat pendedahan pertama dalam pembikinan filem apabila terlibat dalam produksi Little Buddha arahan Bernardo Bertulucci.

Lepas itu dia banyak menonton filem-filem yang dihasilkan oleh Andrei Tarkovsky, Satyajit Ray dan Yosujiro Ozu.

Apakah yang memukau mengenai Phorpa ini? Ceritanya sederhana, kelucuan komedinya tidak menjadikan ia slapstik, pun begitu filem ini tidak pergi begitu sahaja tanpa meninggalkan bisa gigitannya.

Phorpa atau The Cup adalah cerita mengenai para pelatih sami Buddha Tibet yang berada di sebuah biara di kaki Himalaya, India pada 1998 ketika berlangsung pertandingan bola sepak Piala Dunia.

Nyata kehidupan para sami Tibet yang terkenal kudus dengan ratip dan diselubungi asap dupa itu tetap juga mampu diterobosi oleh kegilaan bola sepak.

Orygen (Jamyang Lodro), pelatih sami yang berusia 14 tahun adalah seorang yang cukup meminati bola sepak sehinggakan dinding di biliknya dipenuhi dengan poster bola sepak terutama gambar Ronaldo.

Untuk menonton pertandingan bola sepak, Orygen terpaksa turun dari biara di atas bukit itu ke perkampungan.

Tetapi tindakan 'mencuri' keluar Orygen itu diketahui oleh Geko (Orygen Tobygal), sami yang cukup mementingkan disiplin. Geko melaporkan hal itu kepada Abbot (Lama Chonjor), sami tertua dan cukup dihormati di biara itu.

Hasilnya, Orygen dikenakan tindakan tetapi ini tidak mengubah minatnya terhadap bola sepak. Demam pertandingan akhir bola sepak menyebabkan Orygen dan teman-temannya nekad untuk menyewa sebuah televisyen supaya mereka dapat menontonnya di biara.

Drama yang berlaku dalam filem ini cukup sederhana tanpa konflik yang keras. Memang ada pergeseran antara generasi tua dan dunia anak muda. Tetapi ia berlaku secara senyap. Globalisasi dan perubahan budaya memang memasuki Tibet apabila minuman Coca-Cola, permainan bola sepak dan televisyen memasuki kehidupan para pelatih muda sami-sami di biara itu. Antara modenisasi dan tradisional bertembung.

Generasi tua yang diwakili oleh Abbot dan Geko memang tidak memahami apa itu bola sepak sehingga mereka memberikan komen-komen yang melucukan mengenai permainan itu.

Tetapi nyata kekurangan pengetahuan mereka itu tidak sampai membuatkan mereka kelihatan dungu lalu kelucuan yang timbul terasa kejujurannya.

Mereka tidak sampai menghukum tetapi berusaha memahami minat dan budaya baru anak muda. Filem ini berjalan dengan begitu bersahaja. Tidak ada yang berlebihan. Inilah kekuatannya.

Tepat seperti mana yang pernah dikatakan oleh Jean Renoir kepada Satyajit Ray, "anda tidak perlu menunjukkan terlalu banyak dalam filem, tetapi yang penting anda perlu berhati-hati untuk menunjukkan benda yang tepat sahaja."

Sebenarnya gambaran dalam filem ini adalah gambaran pedih orang Tibet. Filem ini menyerlahkan dunia orang Tibet yang hidup terasing di India selepas China menguasai Tibet.

Orygen menyokong Perancis kerana katanya hanya pasukan itu yang membela Tibet ketika China memasuki Tibet.

Sebagai filem pertama, usaha Khyentse Norbu ini memang mengagumkan, apatah lagi dia menggunakan para pelakon yang keseluruhannya adalah sami di biara Chokling di kaki Himalaya.

Mereka ini semuanya tidak pernah ada pengalaman berlakon. Lebih sukar dengan keadaan geografi, elektrik yang sering putus dan logistik yang tidak memungkinkan proses pembikinan filem ini berjalan seperti biasa.

Tetapi segalanya dapat diatasi kerana komitmen dan keyakinannya. Hasilnya sebuah filem yang cukup memikat, mengagumkan dan sekali gus membuatkan kita lebih mengerti dan memahami.

Tidak hairan, kalau filem ini terpilih ke Cannes 1999, Festival Filem London dan turut dicalonkan untuk anugerah terunggul di Anugerah Akademi.

Sumber : Utusan Online 2/2/2001

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999-2001