Ulasan
Review
. .

Judul : Wild Wild West
Pengulas : A. Wahab Hamzah


Siri TV popular bukan janji kejayaan

Saya selalu sedikit sangsi apabila sebuah filem diangkat daripada sebuah siri televisyen yang pernah berjaya dan amat popular. Siri televisyen yang popular ini selalu menjadi mangsa apabila produser atau pengarah filem kemiskinan idea atau cerita yang baik.

Sikap pesimistik ini memang tidak menghairankan kerana jarang sekali filem yang dihasilkan berdasarkan siri tersebut menjadi filem yang hebat dengan konsep cerita yang menarik.

Apa yang selalu terhasil adalah karya yang mengecewakan, semangat yang kering dan kualiti yang lebih buruk kecuali kehebatan dari segi produksi dan teknik efeknya, kerana hanya itu yang menjadi matlamat pengarah atau produser.

Dengan bersandarkan kepada sejumlah filem yang didasarkan secara longgar daripada siri televisyen yang popular, rasa sinis tidak dapat dielakkan apabila menonton filem Wild Wild West.

Siri koboi Wild Wild West adalah antara siri klasik koboi yang mendapat sambutan cukup hebat di televisyen sekitar tahun 1960-an dan 70-an. Siri ini berkisar tentang dua orang sahabat di abad ke-19 selepas perang saudara Amerika, yang bukan sahaja bijak dan tangkas, tetapi mempunyai unsur humor dan wit yang tersendiri dalam menghadapi musuh-musuh mereka.

Mereka beroperasi dari dalam gerabak kereta api yang selalu sahaja bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

Kini, Wild Wild West kembali menemui penonton dengan pendekatan yang lebih gila, aksi yang lebih hebat tetapi mood yang kering, remeh dan terasa sekali bentuknya yang agak aneh.

Orang yang bertanggungjawab membawa Wild Wild West ini ke layar besar ialah Barry Sonnenfeld, pengarah yang sebelum ini telah pernah memberikan kita sebuah filem fiksyen sains yang surreal, tetapi berjaya mendapat sambutan iaitu filem Men In Black.

Filem pertama yang memperkenalkan Barry Sonnenfeld yang bermula sebagai pengarah fotografi berbakat ialah The Addam Family (1991) dan keupayaannya teruji apabila dia berjaya memfilemkan novel Elmore Leonard iaitu Get Shorty (1995). Filem Men in Black berjaya menewaskan filem The Lost World: Jurassic Park yang lebih hebat produksinya dari segi pungutan pasaran.

Lalu, wajar Sonnenfeld mahukan kejayaan blockbuster bagi filem Wild Wild West. Tetapi, ambisi itu kali ini turut menjadi sebab kemusnahan filem ini. Wild Wild West yang sebelum ini adalah sebuah siri western dan buddy yang menarik dengan kekuatan tradisi dan stail westernnya telah berubah bentuk dan konsep.

Filem ini telah berubah menjadi sebuah filem yang surreal dari segi konsep dan bentuk, apabila konsep dan tradisi western digabungkan dengan elemen fiksyen sains dan persembahan efek khas yang berat, yang berlatarkan tahun 1869.

Sepertimana siri televisyennya, filem Wild Wild West yang masih digerakkan oleh dua watak utama iaitu James West (Will Smith) seorang ejen kerajaan yang selalu bertindak pantas, bijak, cuma James West (yang dulunya dilakonkan oleh Robert Conrad) yang ini berkulit hitam dan dia berlagak sebagai penyelamat yang maha hebat (ingat, ini adalah zaman di mana hamba kulit hitam baru berusaha mendapat hak mereka).

James ditemani oleh Artheus Gordon (Kevin Kline) yang selain daripada bijak mencipta gadget aneh, juga seorang yang arif menyamar. Malah, hampir separuh masa dalam filem ini dia seperti wanita.

Dengan keupayaan dan kebijaksanaan ini, mereka telah diminta oleh kerajaan persekutuan Amerika untuk menghalang dan menumpaskan usaha Dr. Loveless (Kenneth Branagh) yang cacat kedua belah kakinya.

Dr. Loveless sedang merancang memusnahkan Presiden Amerika Ulysses S. Grant dan sekaligus menguasai Amerika. Untuk itu, Dr. Loveless telah menculik sejumlah saintis terhebat untuk menjayakan usahanya membina senjata dan alat pengangkutan canggih.

Hasilnya ialah sebuah kenderaan berbentuk labah-labah gergasi dengan ketinggian 80 kaki, yang sekali gus juga adalah senjata yang hebat kemampuannya. Ketika menjalankan tugas mereka inilah mereka menemui seorang wanita Rita Escobar (Salma Hayek) yang juga mempunyai agenda tersendiri.

Sonnenfeld selain menggabungkan unsur fiksyen sains dengan tradisi western, dia memenuhkan filem ini dengan efek khas visual dan kesan bunyi yang bising.

Tetapi yang agaknya lama kekal dalam ingatan kita hanyalah adegan James West dan Gordon berusaha menyelamatkan diri daripada ancaman senjata piring terbang pembunuh yang melayang kearah mereka.

Kesan efek yang selebihnya sekadar alat penghias yang mudah dilupakan. Filem ini seharusnya menjadi filem western yang menarik kerana diisi dengan humor, tetapi jadi membosankan kerana plot cerita dan arahan yang lemah, terbiar dan longgar.

Filem ini berbelanja besar (AS$150 juta), juga dilengkapkan dengan nama bintang yang besar, tetapi kecuali Will Smith dan Kennegh Branagh, pelakon yang lain gagal memberikan impak pada lakonan mereka.

Salma Hayek yang berbakat besar dan begitu menyerlah dalam filem Desperado dan From Dusk Till Dawn arahan Robert Rodriguez, seharusnya lebih berkesan kiranya wataknya dalam filem ini dapat dikembangkan lagi.

Wild Wild West sebenarnya menepati kerunsingan saya tentang kecenderungan yang bakal berlaku apabila sebuah filem dihasilkan berdasarkan kepopularan sebuah siri televisyen tetapi gagal diberikan dimensi dan dinamisme baru.

Tetapi itulah Hollywood, yang akan mengambil apa sahaja yang pernah tersiar atau tercetak asal mereka fikir mampu dieksploit menjadi sebuah filem.

Sumber : Utusan Online 6/8/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000