Ulasan
Review
. .

Judul : Nafas Cinta
Tahun : 1999
Pengarah : Jailani Ghani

Lakon Layar : Jabatan Skrip Astro Shaw
Pelakon : Awie, Maizurah Hamzah, Norman Hakim, Arni Nazira, Rosyam Nor, Jalaluddin Hassan dan lain-lain

Pengulas : Zainal Rashid Ahmad


Nafas Cinta - Idealisme anak muda

Nafas Cinta Cinta memang menjadi agenda utama filem ini - tetapi instrumen penting yang menggerakkan persoalan cinta dalam filem ini menemui natijahnya ialah citra empat anak muda yang penuh pekerti. Nafas Cinta tidak hanya sebuah filem muzikal klise yang menemukan bintang rock Awie dan artis popular Maizurah Hamzah, tetapi lebih dari itu filem ini cuba menggarap sebuah idealisme tentang penentuan sikap dan watak anak muda masa kini.

Suria (Maizurah Hamzah) pertama kali diperkenalkan dalam filem ini hanya melalui kemerduan suaranya mengucapkan kalimah-kalimah Al-Quran, manakala Amir (Awie) tatkala itu bergelandang dik kerana terhina oleh kata-kata bapa kekasihnya, Zurina (Arni Nazira Anuar).

Maka bertemulah si bunga desa dengan anak gelandangan dari kota dengan berlatarkan kehidupan di sebuah pulau nan indah.

Lagu demi lagu bergema dan aroma cinta mula meresap dalam filem ini. Nafas Cinta tetap sebuah filem cinta gaya Melayu - dengan plot dan cita rasa lama, yakni cinta dalam sebuah filem digerakkan oleh kata-kata yang romantis, dialog teruna dara di tepi pantai, cabaran-cabaran dari lingkungan yang menguji ketaatan, rasa cemburu, simpati, rahsia dan kekecewaan manusianya.

Rencam ini juga dipinjam oleh pengarah Nafas Cinta, Jailani Abdul Ghani. Tapi yang menyelamatkan filem pertama terbitan Astro Shaw ini ialah idealisme baru yang terpancar melalui watak-wataknya. Terkadang filem ini mengingatkan kita akan kemurnian beberapa watak anak muda dalam filem 'A Few Good Man'.

Suria, gadis kampung yang tulus-mulus menyayangi neneknya malah bersikap praktikal dalam hidup. Dia ketemu Amir, pemuzik yang berkelana kerana kecewa dik cinta tapi masih mempunyai cita-cita besar untuk berjaya sebagai komposer.

Dari pulau itu, setelah terikat oleh minat terhadap muzik, mereka berhijrah ke kota membawa Nenek (Kamalia Mat Dom) menderita penyakit telinga. Di Kuala Lumpur nafas cinta pun bergelora.

Dengan lampunya yang berkerdipan, arus jalan raya yang sesak, dunia hiburan yang glamor, imej Kuala Lumpur sekali lagi dipergunakan sebagai medan hidup sentiasa mahu membunuh kaum perempuan. Suria mahu dijadikan perkakas seks oleh Datuk Rahim (Jalaludin Hassan) yang selama ini banyak memperdayakan artis-artis baru melalui subahat pengurus syarikat rekodnya Syam (Rosyam Nor).

Tapi dik terpana oleh kecantikan Suria ketika pertama kali melihatnya menyanyi, Syam tak sampai hati menghidangkan Suria pada Datuk Rahim. Dalam diam, Syam jatuh cinta pada kembang desa yang berambut ikal itu.

Masalah mula timbul, bila buaya industri muzik ini gagal meratah habuannya. Buaya mengamuk dan Syam dibelasah.

Di hospital Syam menceritakan segala-galanya tanpa bersembunyi. Yang paling terkejut dengan pendedahan itu ialah anak lelaki Datuk Rahim sendiri.

Siapa yang bangun menuntut keadilan dalam Nafas Cinta yang semakin bergelora ini. Maka bertindaklah anak muda bernama Norman (Norman Hakim), anak Datuk Rahim. Norman yang baru pulang dari luar negara dengan gaya lelaki tulen kebaratan bercampur idola sikap generasi baru anak muda Melayu merupakan lulusan bidang perubatan.

Norman tidak menanggalkan budi nurani bangsanya dibalik kaca mata hitam dan rambut panjangnya. Anak muda Melayu ini berkereta sport, hidup mewah tetapi tidak senteng akalnya.

Norman muncul, dan mencela ayahnya sendiri - menentang tidak sekadar perang mulut tapi menjebak Datuk Rahim hingga kuasa jutawan yang ada ayahnya lelap dalam sekelip mata. Norman menggunakan haknya sebagai pewaris kekayaan aruah ibunya untuk menghentak ayahnya.

Datuk Rahim yang tersentak oleh kenekadan anak lelakinya, kemudian kembali sedar bahawa menjadi jutawan, usahawan atau bergelar Datuk bukan bererti dia berhak melaksanakan segala kerakusan nafsu berahinya.

Gelombang emosi dalam filem Nafas Cinta tidak berhenti di situ, tatkala Datuk Rahim berundur dari kegilaan buayanya, muncul trauma cinta antara Suria dengan tiga perjaka utama iaitu Awie, Norman dan Syam. Siapa pilihan Suria dan nafas cinta meletakkan Suria dalam tiga pertimbangan. Memilih si pemuzik yang bercita-cita, pengurus yang pernah mempertahankan maruahnya atau graduan perubatan yang lebih dahulu melamarnya.

Untuk itu, eloklah ke pawagam untuk mendapatkan jawapannya bila Nafas Cinta ditayangkan pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Tidak sekadar itu, anda perlu menonton filem ini, paling tidak untuk melihat apakah Maizurah Hamzah yang semakin matang lakonannya. Sesekali mungkin mengingatkan kita pada Alicia Silverstone, Meg Ryan atau tidak keterlaluan juga seiras Latifah Omar.

Sumber : Utusan Online 16/1/1999

. Terkini | Ulasan | Muzik | Pelakon | Pengarah | Filem | Trivia | Gambar
Rencana | Anugerah | Dialog | Tetamu | E-mail | Luar Negara | Home
.
http://filemelayu.cjb.net © khys 1999 - 2000