SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL SURAT KAWAT

Dua minggu sudah kejadian itu, datanglah surat Rosnah yang dijanjikannya kepada suaminya itu, demikian bunyinya:

"Kekanda yang tercinta!"

 

Adinda kirimkan surat ini menyusul surat kawat yang dahulu.

Zainab wafat. Apakah selain dari itu lagi yang harus adinda nyatakan? Dia telah menanggung penyakit dengan sabar dan tawakkal, mula-mula adinda hendak sampaikan khabar ini kepada Hamid, sebab sentiasa Hamid menjadi buah mulutnya sampai saatnya yang penghabisan, tiba-tiba kawat kekanda datang pula, Hamid telah menyusul kekasihnya.

Demikianlah kedua makhluk yang tidak beruntung nasibnya itu, mudah-mudahan arwahnya mendapat bahagia di akhirat.

Adinda harus mengaku, bahawa jarang sekali kita bertemu dengan seorang perempuan sebagai Zainab. Tidak ada orang yang tahu tentang keadaan dirinya, kecuali ibunya dan adinda. Pendengaran yang sampai kepadanya, bahawa Hamid ada di Mekah mengobarkan kembali akan api yang telah hampir padam.

Lima hari sebelum ia meninggal dunia, pagi-pagi benar dia sudah bangun dari tempat tidurnya, mukanya lebih jernih dari biasa. Dengan senyum dia berkata, bahawa dia bermimpi melihat Ka`bah, dantara manusia yang sedang tawaf. Dia melihat Hamid melambaikan tangannya memanggil dia, supaya mendekat kepadanya, setelah dia mendekat dia terbangun…..

Lepas hari itu, tidak banyak bicara lagi, doktor pun datang juga memeriksai dia, tetapi ketika melihat wajahnya, mengertilah adinda, bahawa ubat yang dibawanya sebenar-benarnya ialah buat ibu Zainab, tidak buat Zainab lagi, sebab di tangga ketika dia akan pulang, jelas benar oleh adinda doktor itu menggeleng-gelengkan kepalanya.

Pada malam 9 Zulhijjah panasnya naik daripada biasa. Kira-kira pukul dua tengah malam, dipandangnya adinda tenang-tenang, kemudian dilihatnya pula buku album yang terletak di meja tulisnya; adinda pun mengertilah apa yang dimaksudkannya. Adinda ambil album itu dan adinda buka. Demi dilihatnya gambar Hamid, jatuhlah dua titis airmata yang bulat dari mata yang telah cekung itu. Setelah itu diambilnya tangan ibunya, dibawanya ke dada. Maka dengan beransur-ansur, laksana lampu yang kehabisan minyak, bercerailah badannya dengan sukmanya.

Kekanda, demikianlah kematian Zainab, dan sekarang suatu pula yang menjadikan was-was adinda, iaitu keadaan ibunya, bagaimanakah kelak perasaan perempuan itu kerana kehilangan anaknya.

Sekianlah dan buat semangat orang yang telah mati, adinda kirimkan salamku dan moga kekanda lekas pulang.

 

 

Adindamu.


Rosnah.

SURAT ROSNAH YANG MENYUSUL SURAT KAWAT

<< DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH

PENUTUP >>

INDEX


* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.
* Cetakan : Pustaka Antara