HOME

INTERNET DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Pengenalan

Internet atau "International Network of Network" ialah suatu rangkaian komputer di peringkat antarabangsa. Penggunaannya semakin meningkat di negara kita walaupun tidaklah sehebat negara maju. Ini menggambarkan keadaan realiti rakyat negara kita yang semakin celik komputer dan tidak lagi  fobia kepada teknologi baru. Ini jelas terbukti apabila institusi pendidikan juga semakin berusaha ke arah meningkatkan penggunaan teknologi moden ini terutamanya warga pendidik. Kalau dahulu, tidak adapun guru di Malaysia yang mengetahui apa itu internet, apa lagi untuk menggunakannya.Tetapi kini, bilangan guru yang mempunyai akses ke internet sudah mencapai angka ratusan dan tidak mustahil ianya akan meningkat kepada jumlah yang lebih besar pada masa akan datang.

Internet Sebagai Sumber Pengajaran Dan Pembelajaran

Sesetengah pihak mungkin tidak begitu memahami apakah yang boleh dibuat oleh seorang pendidik dalam  internet. Internet telah digunakan sebagai sumber untuk mendapatkan pelbagai bahan dan maklumat yang berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia juga amat sesuai digunakan sebagai sebuah saluran komunikasi antara seorang guru dengan guru yang lain, guru dengan murid, guru dengan ibubapa atau murid dengan murid yang lain. Antara bahan berunsurkan pendidikan yang boleh diperolehi daripada internet ialah projek-projek yang telah dijalankan oleh pendidik berasaskan internet, rancangan pengajaran dan pembelajaran, bahan maklumat yang menarik dan terkini, bahan bacaan dan kemahiran berbahasa, perkongsian maklumat , saluran komunikasi dan sejarah tentang matematik.

Penggunaan Internet Dalam Pendidikan Matematik

Internet merupakan satu sumber pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan matematik. Terdapat pelbagai bahan menarik yang meliputi tajuk-tajuk seperti arithmetik, geometri, statistik, kalkulus, algebra dan lain-lain yang boleh dimanfaatkan oleh guru dan pelajar berhubung dengan pendidikan matematik.

Antara bahan yang boleh diaplikasikan oleh warga pendidik dan pelajar melalui penggunaan internet  ialah :

Teori Pembelajaran

Antara teori pembelajaran yang sering dibincangkan oleh warga pendidik pada masa ini ialah konstruktivisme. Beberapa pendekatan pembelajaran yang berkait rapat dengan teori tersebut ialah pembelajaran koperatif, penyelesaian masalah dan konstruktif (inkuiri penemuan). Kajian oleh Christle (1996) terhadap penggunaan mel elektronik (email) dan penerokaan maklumat di kalangan para pelajar sekolah mendapati bahawa selain daripada semangat belajar secara kumpulan (cooperative learning), para pelajar semakin mesra dengan alat teknologi ini dan sentiasa berusaha untuk meneroka alam yang baru ditemui ini. Nolan dan Martin (1994) menyatakan bahawa pembelajaran dan suasana baru seperti menggunakan internet di sekolah telah membawa banyak perubahan kepada pelajar. Pelajar didapati lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal.  Antara laman-laman web yang boleh dilayari untuk mendapatkan bahan-bahan tentang teori pembelajaran konstruktivisme ialah :

i.    http://129.7.160.115/INST5931/Constructivist.html

ii.    http://edie.cprost.sfu.ca/it/constructivist-learning

iii.    http://pespmc1.vub.ac.be/construc.html

Pendekatan Pembelajaran Penyelesaian Masalah

Pendekatan pembelajaran peyelesaian masalah merupakan alternatif  yang paling sesuai dalam meningkatkan kemahiran berfikir pelajar. Melalui penggunaan internet, guru dan pelajardapat melihat pelbagai soalan mengikut aras pemikiran pelajar. Di sini para guru boleh membimbing pelajar untuk memilih soalan-soalan berkaitan untuk diselesaikan di dalam atau di luar kelas. Di antara laman-laman web yang boleh dilayari   ialah :

i.    http://mailer.fsu.edu/~ssproule/pow.htm

ii    http://www.col-ed.org/smcnws/studentdirections.html

iii.    http://virtual.chattanooga.net/math/article1.html

Jurnal dan Majalah Pendidikan Matematik

Koleksi jurnal matematik dari seluruh dunia dalam pelbagai bidang berhubung dengan matematik sesuai digunakan oleh para guru dan pelajar. Setiap jurnal mengandungi artikel yang terkini dan boleh dicetak untuk dijadikan sumber rujukan. Terdapat juga laporan hasil kajian yang telah dilakukan oleh para pengkaji dari seluruh dunia. Antara jurnal dan majalah yang berkaitan pendidikan matematik ialah :

i.    http://www.nctm.org/tcm/tcm/htm

ii.    http://www.math.psu.edu/MathList/Journals.htm

iii.    http://www.nctm.org/journals/jrme/jrme-home#JRME

Forum Matematik

 Satu ruangan perbincangan siber tokoh-tokoh pendidikan matematik dari seluruh dunia dimuatkan dalam ruangan ini. Tajuk dan perbincangan tokoh-tokoh tersebut dikumpulkan dan disusun dengan sistematik bagi memudahkan pencarian. Turut dimuatkan ialah isu-isu terkini dalam dunia matematik dan pendidikan matematik. Terdapat kemudahan "bahan pencari" atau search, di mana kita hanya perlu menulis kata kunci atau topik-topik tertentu tentang matematik. Satu senarai yang berkenaan akan muncul dan kita boleh memilih item/tajuk yang sesuai. Laman web yang boleh dilawati melalui internet ialah http://www.forum.swarthmore.edu

Soaljawab Matematik

Dalam ruangan ini, kita berpeluang untuk mengemukakan sebarang kemusykilan dengan matematik dalam pelbagai bidang. Soalan yang ditanya akan dijawab oleh pakar-pakar matematik yang berpengalaman. Melalui email kita juga dapat membaca koleksi soalan dan pertanyaan yang telah dikumpulkan mengikut topik-topik tertentu. Laman web yang berkaitan dengan soaljawab matematik ialah http://forum.swarthmore.edu/dr.math/

Rancangan Pengajaran

Terdapat banyak rancangan pengajaran yang telah disediakan oleh para pendidik dari seluruh pelusuk dunia yang boleh dimanfaatkan oleh guru-guru lain. Rancangan pengajaran ini mengandungi aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang meliputi pelbagai topik dan tahap. Kita juga berpeluang untuk mengemukakan rancangan pengajaran yang lengkap untuk dimuatkan dalam laman web (jika terpilih). Laman web yang boleh dilawati ialah :

i.    http://forum.swarthmore.edu/arithmetic/arith.units.html

ii.    http://scssi.scetv.org/mims/lp_ssi.htm

Sejarah Matematik

Melalui internet, kita boleh mengetahui tokoh-tokoh matematik silam yang lahir atau meninggal pada tarikh-tarikh tertentu. Paling menarik ialah kita dapat mengenali tokoh-tokoh ini dengan melihat gambarnya sekali. Contohnya ahli matematik yang tersohor seperti Martin Gardner, Keith Devlin dan Ian Stewart. Sejarah matematik ini telah disusun mengikut tajuk dan bidang tertentu dalam matematik untuk memudahkan kita mengetahui sesuatu peristiwa dan tokoh mengikut kronologi. Sebagai contoh kita boleh meminta para pelajar mencari dan mengenalpasti tokoh-tokoh yang berkenaan dengan matematik dengan melayari laman tersebut :   http://www.groups.dcs.st-and.ac.uk/~history/HistoryTopics.htm

  "Online Exercises"

Online exercises ialah latihan yang dibuat secara online di mana para pelajar akan membuka laman web yang dikirimkan oleh guru dan menyelesaikan semua masalah yang terdapat dalam latihan tersebut. Para pelajar dikehendaki mengemukakan jawapan sahaja atau bersama-sama dengan jalan pengiraan. Cara ini boleh digunakan untuk aktiviti pemulihan, pengukuhan, ujian, kerja projek, soal selidik dan sebagainya. Melalui cara ini juga, pembelajaran dapat dilakukan secara optimum dan berterusan. Proses pembelajaran akan berlaku di dalam dan luar waktu persekolahan melalui bimbingan secara siber. Ini kerana masa dan tempat bukan lagi penghalang kepada proses pembelajaran. Laman web yang boleh dilawati ialah :

i.    http://www.geocitiec.com/Athens/Acropolis/2766/latihan.html

ii.    http://www.oocities.org/Athens/Acropolis/2766/latihan2.html

iii.    http://math.uc.edu/onex/demo.html

Kesenian Matematik

Matematik adalah suatu seni. Bentuk-bentuk geometri yang diolah dan dipelbagaikan akan menghasilkan satu corak yang menarik dan berharga. Guru dan pelajar akan berpeluang menghasilkan corak-corak tersebut dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi masing-masing. Ianya boleh digunakan sebagai bahan projek atau dalam pendidikan seni.

Perisian Matematik

Terdapat banyak perisian matematik yang boleh digunakan untuk pengajaran sesuatu konsep dan penguasaan kemahiran matematik. Perisian ini boleh digunakan samada secara "online" atau didownload ke komputer peribadi. Ianya mudah digunakan dan merangkumi banyak topik dalam matematik.

Kesimpulan 

Berdasarkan penggunaan internet yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa ianya berpotensi untuk menjadikan sesuatu p & p itu lebih menarikdan bermakna. Terpulang kepada guru untuk membawa penggunaan internet ini ke bilik darjah dengan kebijaksanaan dan kemudahan yang sedia ada. Walaupun akses ke internet ini masih belum meluas di peringkat sekolah pada hari ini, tetapi kemudahan untuk menggunakan internet terdapat di mana-mana; rumah, kedai, perpustakaan awam, pusat/kedai komputer dan lain-lain. Penggunaan komputer dan internet diyakini akan dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang lebih kepada student centered / berpusatkan murid. ini akan menjayakan matlamat perlaksanaan sekolah bestari untuk melahirkan warga negara yang berketrampilan, kreatif, inovatif serta berakhlak mulia..

  

BIBLIOGRAFI

1)    Al Gahmudi, Y.A. S (1987). The Effectiveness of Using Microcomputers in Learning Algebraic Precedence Conventions. Doctoral Dissertation, Florida State University.

2)    Cockroft, W.H. (1986). Mathematics Count. London. HMSO

3)    Funkhouser, C. (1993). The Influence of Problem Solving Software in Students' Attitude about Mathematics. Journal of Research on Computing in Education. 23(3), 339-346.

4)    Ibrahim Saad, (1990). Perubahan Pendidikan Di Malaysia : Satu Cabaran. DBP, Kuala Lumpur.

5)    Sue Brown & Bette Bush, (1992). Multimedia Math. The Computer Teacher, 20(3), 57-58

6)    Wan Mohd. Zahid Wan Mohd Nordin, (1997). Sekolah Bestari Di Malaysia, Hala Tuju Ke Masa Depan. Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia