| 
         
        Sukar 
        bagi kita menggambarkan keadaan seperti ini.Setelah merdeka 43 tahun 
        sukar bagi orang Melayu hari ini memikir akan keadaan semasa kita 
        dijajah dahulu.Yang kita tahu ialah hari ini kita merdeka, hari ini kita 
        mempunyai Kerajaan yang dikuasai oleh kita, hari ini Kerajaan melindungi 
        kita. Takkanlah Malaysia boleh mengadakan Kerajaan yang mengabaikan 
        kepentingan Melayu. Apa juga yang dibuat oleh orang Melayu mereka tetap 
        selamat. Jika mereka berpecah, berperang sesama sendiri pun mereka akan 
        selamat. Bahawa mereka masih lemah dalam semua bidang, lemah daripada 
        segi ekonomi, tidak berilmu, kurang cerdik, mudah disogok, menjadi 
        penagih dadah, menghidap penyakit aids dan lain-lain; semua ini tidak 
        mengapa kerana mereka tetap selamat, tetap akan mendapat perlindungan 
        daripada Kerajaan Malaysia. 
                   
                  Yang ternampak oleh orang Melayu ialah politik demokrasi 
        memberi jalan yang mudah untuk mendapat sesuatu bagi diri sendiri. 
        Sedikit sahaja usaha yang perlu dibuat tetapi keuntungan yang akan 
        didapati amat besar. Dalam parti pemerintah dan parti-parti Melayu lain, 
        yang diutamakan ialah perebutan tempat. Keupayaan memberi khidmat atau 
        menyumbang kepada kebaikan, kepada pembangunan orang Melayu dan negara 
        Malaysia tidak penting. 
                   
                  Perebutan inilah yang membawa kepada keruntuhan akhlak 
        sehingga kawan yang menolong kita pun sanggup kita caci, sanggup kita 
        jatuhkan. Rasuah sanggup dihulur, agama sanggup diputarbelitkan dan 
        bangsa dipecahbelahkan. Tidak ada langsung penghargaan kepada jasa dan 
        bakti. Kita cantas, kita kebas, kita buat apa sahaja untuk mencapai 
        cita-cita besar kita. 
                   
                  Parti yang begitu berjasa kepada bangsa, agama dan tanahair, 
        bahkan kepada kita sendiri sanggup kita buruk dan lemahkan dalam usaha 
        kita untuk mendapat sesuatu bagi diri kita. Perpaduan dalam parti, dan 
        perpaduan orang Melayu sendiri sanggup kita tolak dan sanggup kita 
        pecahkan.  
                   
                  Orang Melayu sudah lupa. Mereka sudah lupa bagaimana dahulu 
        mereka dijajah dan dihina kerana mereka berpecah, tidak bersatupadu. 
        Mereka sudah lupa akan kekuatan dan kejayaan mereka apabila mereka 
        bersatu dan melawan British dan mencapai kemerdekaan. 
                   
                  Mereka sudah lupa akan tujuan sebenar perjuangan politik 
        mereka. Apakah perlu bahasa Melayu sahaja dijadikan bahasa rasmi? Apakah 
        taraf agama lain tidak boleh disamakan dengan taraf agama Islam? Apakah 
        perlu ada perbezaan di antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera? Semua 
        ini dilupakan. Dalam keghairahan untuk mendapat undi daripada pihak 
        tertentu semua kepentingan Melayu yang diperjuangkan ini dijadikan tajuk 
        untuk tawar-menawar. Bagi undi dan kami sanggup gugur apa sahaja yang 
        dianggap hak orang Melayu. 
                   
                  Apakah perasaan orang Melayu terhadap penderhakaan kepada 
        kepentingan Melayu oleh parti Melayu tertentu ini? Apakah mereka akan 
        menyokong juga parti yang secara terang-terang menolak hak keistimewaan 
        orang Melayu? Jawabnya "Ya", mereka akan terus menyokong. Penyokong 
        parti yang sanggup menggadai hak orang Melayu akan meyakinkan diri 
        mereka bahawa pendirian pemimpin parti mereka hanyalah tipu helah untuk 
        mendapat sokongan bukan Melayu. Kononnya pemimpin mereka begitu kuat 
        pegangan kepada agama Islam dan tidak mungkin membenarkan hak orang 
        Melayu Islam tergadai. Apabila sudah berjaya maka pemimpin dan parti 
        mereka akan teruskan agenda Islam mereka dan menipu orang bukan Islam. 
        Oleh itu penyokong mereka akan teruskan sokongan mereka secara fanatik. 
                   
                  Cuba hitung. Hari ini 72 daripada wakil rakyat Melayu adalah 
        daripada parti Kerajaan dan 32 daripada parti lawan. Jika hanya 21 
        kerusi lagi dimenangi oleh parti lawan mereka akan dapat 53 dan UMNO 
        dapat 51. Untuk mendapat 21 kerusi lagi tidak susah. Dalam kawasan yang 
        mana UMNO menang sedikit sahaja, 200-300 undi daripada kaum lain akan 
        memberi kemenangan kepada parti lawan. Oleh itu membelakangkan 
        kepentingan Melayu untuk mendapat sokongan bukan Melayu memang bijak. 
                   
                  Tetapi untuk memerintah perlu ada sekurang-kurangnya 97 kerusi. 
        Oleh itu jual-beli, tawar-menawar mesti diteruskan. Apakah yang hendak 
        dijual jika tidak kepentingan Melayu? Kerajaan yang akan didirikan 
        dengan parti-parti tertentu tetap lemah kerana siapa sahaja boleh 
        menjatuhkannya. Jika parti yang berkongsi menarik diri, Kerajaan 
        campuran PAS akan jatuh. 
                   
                  Apakah Kerajaan yang lemah seperti ini boleh memerintah dengan 
        tegas? Apakah Kerajaan seperti ini boleh melindungi orang Melayu yang 
        masih lemah? Sama-samalah kita renungkan. 
   |