Matematik
PENDIDIKAN MATEMATIK ABAD KE-21
DELTA DALAM PERANAN GURU

[PREVIOUS][HYPATIA7][HOME][NEXT]

Karekteristik Matematik

    Persoalan utama dalam pendidikan matematik adakah para pendidik memahami akan apa yang dimaksudkan dengan matematik.  Kalau ditanya, rata-rata pendidik mengatakan bahawa matematik adalah satu cabang ilmu yang berkait rapat dengan nombor.  Pemahaman sedemikian rupa adalah sangat sempit.  Matematik bukanlah sekadar berinteraksi dengan nombor semata-mata.  Ianya mencakupi skop yang jauh lebih luas daripada itu.  Matematik sebenarnya adalah bahasa universal yang unik yang menjangkau batasan sosial, budaya dan bahasa menggunakan simbol dan sintaksis yang diterima secara global.  Descartes menyatakan bahawa matematik adalah kajian tentang pola.  Science for All American (AAAS) pula menyatakan bahawa matematik adalah kajian tentang pola dan perhubungkaitan.  Sebagai kajian pola, matematik adalah satu cara inkuiri yang mendedahkan kebenaran utama tentang pola yang wujud di sekitar kita.  Matematik adalah juga satu bentuk komunikasi yang melengkapi perbendaharaan kata bahasa seharian atau sedia ada sebagai satu alat untuk menerangkan dunia yang kita diami.  Dengan bahasa tersebutlah, maka kita boleh saling berkomunikasi dengan alam semulajadi, tentang pola pertumbuhan dan percambahan biji benih, tentang perubahan musim, dan sebagainya.  Selain daripada itu, matematik adalah bahasa yang jitu dan tepat untuk dunia perdagangan dan perniagaan.  Ahli-ahli koporat dan ekonomi berkomunikasi sesama sendiri dengan bahasa matematik untuk menerangkan tentang untung-rugi, turun-naik prestasi syarikat atau negara masing-masing.  Jelaslah, matematik itu adalah suatu proses yang kreatif dan aktif, bukannya sekadar suatu proses penguasaan konsep dan prosedur secara pasif.  Ianya adalah satu tabiat minda yang membantu menjelaskan situasi yang kompleks.  Ianya merupakan satu cabang ilmu yang dinamik, yang sentiasa mengalami perubahan atau revolusi.
    Matematik sangat mempengaruhi kehidupan kita.  Kita tidak boleh lari daripadanya sama ada kita suka ataupun tidak.  Semasa membeli-belah, matematik mengekori kita.  Semasa memasak di dapur, matematik mengintip kita.  Matematik adalah penting untuk kehidupan seharian.  Itulah hakikatnya.  Selain daripada itu, matematik merupakan satu warisan budaya di mana hasil-hasil seni dilukis dan dibina.  Lihat sahaja kepada bangunan Twin Tower yang tersergam indah di ibu kota kita, Kuala Lumpur, tanpa adanya matematik maka, tiadalah jurutera dan arkiteksnya yang berkaliber.  Memandangkan matematik sangat memainkan peranan dalam kehidupan kita, ianya merupakan satu fungsi ekonomi bagi menentukan siapa yang berada di atas dan siapa yang berada di bawah.  Pekerjaan yang menjanjikan pendapatan yang lumayan, pastinya memerukan penguasaan matematik yang tinggi.  Malah di peringkat rendah sekalipun, matematik sangat mempengaruhi jenis pekerjaan yang layak dipohon oleh seseorang individu.  Akhirnya, matematik ini berperanan untuk membentuk satu komuniti saintifik dan teknikal yang menjadi faktor penentu kerjaya seseorang individu.
    Jadi, apakah sebenarnya matlamat pendidikan matematik?  Daripada huraian di atas, bolehlah dirumuskan bahawa  matlamat pendidikan matematik adalah untuk melahirkan warga yang bukan sahaja mampu untuk mengaplikasi pengetahuan matematik mereka, tetapi juga menyelesai masalah baru.  Dalam erti kata lain, individu berliterasi matematik yang kreatif dan kritis.  Pada akhir persekolahan, adalah diharapkan agar individu yang dihasilkan boleh menghargai matematik dari segi nilai sejarah, budaya, dan saintifiknya dan yakin dengan kebolehan kuasa matematik masing-masing.  Pelajar yang sedemikian akan berkemampuan untuk menyelesai masalah matematikal dan berkebolehan untuk berkomunikasi dengan menggunakan bahasa matematik serta mampu pula untuk membuat keputusan secara matematikal.  Matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang boleh berkomunikasi, berfikir, dan membuat justifikasi secara matematikal dan menggunakan kuasa matematik masing-masing untuk menyelesaikan masalah sama ada masalah yang sedia ada dalam situasi dunia sebenar mahupun masalah baru yang belum nyata lagi penyelesaiannya, menjurus kepada pendemokrasian pendidikan matematik, bagi mewujudkan keseimbangan peluang sosial dan ekonomi sekaligus menyediakan rakyat Malaysia yang berkeupayaan menghadapi cabaran dalam kehidupan pada alaf baru.
    Justeru itu, matematik perlu diajar sebagai satu seni, atau satu permainan, atau sebagai sains semulajadi, ataupun berorientasikan teknologi.  Aspek penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik adalah menjadikan ianya sebagai satu penaakulan.  Hal ini dicapai melalui penyelesaian masalah.  Setiap kali pelajar mencuba untuk menyelesaikan masalah, mereka akan menggunakan akal mereka untuk menaakul.  Selain daripada itu, aspek lain yang perlu ditekankan dalam pengajaran matematik adalah matematik sebagai komunikasi.  Pelajar perlu dilatih untuk menyampaikan idea mereka yang diperolehi secara individu ataupun kumpulan dengan jelas dan tepat agar orang lain boleh memahami dan membuktikan semula pendapat mereka.  Penyampaian idea sebegini membantu pelajar untuk membina konsep di samping membina perkaitan idea yang tidak formal, intuitif, bahasa abstrak dengan simbol.  Ia menggalakkan aktiviti sosial di mana dalam proses penyampaian idea ini, pelajar akan menerima idea melalui mendengar, membaca, dan visualisasi.
    Aspek yang ketiga dalam pengajaran dan pembelajaran matematik melibatkan penyelesaian masalah itu sendiri.  Malah tujuan utama proses pengajaran dan pembelajaran adalah menyelesaikan masalah.  Justeru, wajarlah pengajaran dan pembelajaran di kelas difokuskan kepada aspek ini.  Penyelesaian masalah yang dimaksudkan di sini adalah penyelesaian kepada masalah situasa yang tiada penyelesaian yang nyata.  Ini akan memangkinkan proses penaakulan pelajar yang bersistematik dan mengikut semantik yang teliti.  Kejayaan dalam menyelesaikan masalah tersebut adalah satu unsur motivasi dalaman di mana pelajar akan berasa puas kerana telah menemui penyelesaiannya.  Sehubungan dengan itu juga, fokus pengisian dan kemahiran hendaklah ditumpukan kepada beberapa perkara seperti yang disenaraikan di bawah.

    Pendidikan matematik sebenarnya adalah pendidikan yang banyak menekankan kepada pembinaan konsep oleh pelajar sendiri dan pengaplikasian konsep yang dibina bagi menyelesaikan masalah.  Cara pemikiran yang tertentu hendaklah dibudayakan di kalangan pelajar.  Pelajar hendaklah dibiasakan dengan amalan untuk mengenalpasti pola atau binaan kepada sesuatu situasi kerana itulah hakikat kehidupan kita di dunia.  Pola berada di mana-mana.  Pola itulah bahasa yang digunakan untuk komunikasi di antara yang manusia dengan alam semulajadi, baik ia pokok, mahupun kejadian alam semulajadi seperti pasang-surut dan siang dan malam.  Di samping mengenalpasti pola dan binaan, cara pemikiran yang kedua yang perlu ditanam di hati pelajar adalah membuat generalisasi.  Daripada pemerhatian tentang alam semulajadi dengan tumpuan kepada pola, pelajar akan membuat generalisasi.  Dalam proses membuat generalisasi, pelajar hendaklah dibiasakan dengan amalan membuat penafian (refutation).  Cara pemikiran ketiga adalah membuat analogi.  Sesuatu hubungan boleh dianalogi kepada sesuatu yang lain.  Penggunaan analogi ini tidak jauh dengan S-R dalam psikologi tingkahlaku.  Cara pemikiran seterusnya adalah pemikiran intuitif di mana penyelesaian dibuat berdasarkan kepada pengalaman yang lalu.  Selain daripada itu, pelajar juga harus didedahkan dengan cara pemikiran induktif yang banyak meminta pelajar membuat konjektur dan hipothesis.  Konjektur dan hipothesis ini kemudiannya akan diuji untuk menentukan keesahannya melalui proses penafian tadi.  Akhir sekali, pelajar juga perlu didedahkan dengan pemikiran berdasarkan pembuktian.
    Adakah amalan-amalan yang dibincangkan di atas sudah dipraktiskan di bilik-bilik darjah kini?  Tepuk dada, tanya selera.  Namun yang pastinya masalah tentang pendidikan matematik bukan sahaja dibincangkan di peringkat sekolah ataupun di peringkat kebangsaan, tetapi ianya juga dibincangkan di peringkat dunia.  Oleh kerana itulah, pihak Amerika Syarikat sanggup membelajar sejumlah wang yang banyak untuk menstruktur semula pendidikan mereka.  Kita di Malaysia juga wajar, malah sepatutnya berbuat perkara yang sama.  Kita tidak sepatutnya berasa megah diri ataupun sebaliknya, malu dalam memperkatakan tentang masa depan generasi muda kita yang bakal menerajui dunia.  Kalau dunia kini mempertaruhkan kepercayaan kepada pendekatan konstruktivisme, maka pendekatan tersebutlah yang akan kita guna kerana ianya merupakan pendekatan yang mengambil kira perkara-perkara yang telah dibincangkan dalam setakat ini.
1