PENDIDIKAN MATEMATIK ABAD KE-21
DELTA DALAM PERANAN GURU

[PREVIOUS][HYPATIA7][HOME][NEXT]

Pentaksiran Alternatif Dalam Pendekatan Konstruktivisme

    Pentaksiran merupakan asam garam dunia pendidikan matematik.  Apabila ianya dilaksanakan dengan
sempurna dan baik, ianya mampu menjanakan informasi yang agung.  Dapatan pentaksiran menyajikan
maklumat kepada pendidik tentang keberkesanan pendekatan, strategi, atau teknik pengajaran yang
digunakan, justeru memberi suntikan kepada proses pencarian kaedah mengajar yang lebih efisien.  Bagi
seorang pelajar pula, hasil pentaksiran merupakan satu indikator atau penunjuk kepada apa yang telah
mereka pelajari, apa yang masih perlu dipelajari dan bagaimana cara terbaik untuk mempelajarinya.  Di
samping itu juga, bagi pihak ibu bapa dan pemegang saham yang lain, ianya memberi panduan tentang
bagaimana cara yang terbaik untuk memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka.
    Dari kaca mata seorang pendidik, pentaksiran merupakan satu proses di mana pendidik mengumpul
bukti, membuat inferens, membuat kesimpulan, dan bertindak berdasarkan kesimpulan yang dibuat.
Pentaksiran itu adalah konstruktif apabila fokus diberi kepada proses pembelajaran matematik di kalangan
pelajar di mana penaksiran itu sendiri menjadi salah satu pemangkin ke arah pembelajaran matematik di
kalangan pelajar.
    Dari kaca mata seorang pelajar pula, pentaksiran dilihat sebagai satu wahana yang memberi peluang
kepada pelajar bagi mengetengahkan pemahaman dan kemahiran matematik masing-masing.  Ianya
mejadi medium komunikasi di antara pendidik dengan pelajarnya tentang apa yang pelajar sudah pelajari,
apa yang masih kabur, dan tentang apa yang telah membantu dan yang telah membantut proses
pembelajaran mereka, menjadikan ianya satu sumber untuk mencadangkan tindakan yang bakal diambil.
Maka, pentaksiran itu adalah konstruktif apabila ianya mampu menilai dan menghargai apa yang pelajar
sudah boleh buat dan pada masa yang sama, membantu mereka mengenali bahagian pelajaran yang masih
perlu diberi perhatian.
    Pentaksiran konstruktif dibina atas lima prinsip utama.

    Suatu pentaksiran yang berteraskan konsep konstruktivisme akan mengambil kira penggunaan alat
matematik dan kemahiran yang lazim dan tidak lazim secara kontekstual.  Pelajar akan bertindak dengan
memilih dan mensintesiskan kemahiran-kemahiran ini untuk menyelesaikan masalah sebenar dan berguna
(novel problems).  Untuk itu, pelajar wajar dilibatkan dalam kumpulan kolaboratif dan melaksanakan
masalah tersebut sama ada dalam bentuk penyelesaian masalah ataupun kerja projek.  Dalam
menjalankan kerja-kerja projek ini, pelajar mungkin perlu memilih dan menggunakan dengan sebaiknya
dan secara efisien teknologi masa kini.
    Salah satu aspek dalam pentaksiran konstruktif adalah penghasilan laporan kepada penyelesaian
masalah yang diajukan.  Dengan cara ini, pelajar akan menggunakan ide matematik masing-masing untuk
berkomunikasi.  Selain daripada itu, aktiviti refleksi secara berterusan, sistematik dan kritikal terhadap
pembelajaran masing-masing juga perlu diadakan.  Dengan itu, pendidik perlu bijak menggubal soalan,
merekabentuk bentuk aktiviti, mengumpul maklumat dan menganalisis, serta menilai hasil daripada kerja
projek pelajar.  Justeru itu, pendidik hendaklah menjadikan tabiat sentiasa mengemaskini pengetahuan
masing-masing melalui pembacaan hasil penyelidikan terdahulu.
    Pentaksiran konstruktif juga hendaklah merangkumi pentaksiran kegunaan bahasa matematik itu
sendiri.  Ini adalah kerana matematik bukan sekadar satu cabang ilmu yang mempersembahkan pelajarnya
dengan nombor dan simbol semata-mata, tetapi ianya juga merupakan satu bahasa komunikasi.  Justeru
itu, pelajar perlu dinilai sama ada mereka mampu untuk membaca dan memahami ayat matematik.
Interpretasi pelajar perlu sejajar dengan maklumat yang dibekalkan dalam soalan yang diajukan.  Di
samping itu juga, pelajar perlu mampu untuk menyatakan ide mereka secara matematik sama ada dalam
bentuk persamaan atau ayat matematik.
    Pentaksiran konstruktif juga mampu memberi penjelasan tentang kemahiran matematik yang sudah ada
atau sudah dipelajari oleh pelajar dan kemahiran yang mana satu yang masih kabur.  Cara penyelesaian
kepada sesuatu masalah secara lazimnya tidaklah terhad (non exclusive).  Pentaksiran itu adalah
konstruktif sekiranya ia mampu untuk memberi input kepada pendidik tentang pelbagai jenis kemahiran
yang boleh digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu masalah.  Daripada pilihan pelbagai alat matematik
tersebut, pelajar akan memilih salah satu daripadanya berdasarkan tahap pemahamannya.
    Selain daripada itu juga, proses pengajaran - pembelajaran berteraskan konstruktif ini meliputi pelbagai
jenis aktiviti yang menjurus kepada pembelajaran secara koperatif.  Justeru itu, alat pentaksiran tersebut
juga hendaklah selari dengan aktiviti-aktiviti tersebut.  Ini bagi memberi laluan kepada pentaksiran kepada
aspek kognitif, psikomotor dan afektif pelajar.  Justeru, satu bentuk penilaian yang menyeluruh dan lebih
kepada rujukan-kriteria, daripada rujukan-norma.
    Ringkasnya, pentaksiran konstruktif akan membezakan di antara pengajaran dan pembelajaran.
Adakah apa yang dipelajari oleh pelajar sama seperti apa yang telah diajar oleh pendidik?  Maka,
pentaksiran konstruktif ini merupakan satu cara pertukaran maklumat di antara seorang pendidik dengan
pelajar-pelajarnya.
    Terdapat pelbagai jenis alat pentaksiran yang boleh digunakan.  Di antaranya adalah Penilaian Melalui
Pemerhatian, Penilaian Melalui Interviu, Penilaian Pencapaian (Performance Assessment), dan Portfolio.
Hanya dua daripada alat yang disebut tadi akan dibincangkan dengan ringkas di bawah ini.

    (a)  Penilaian Melalui Pemerhatian

            Penilaian melalui pemerhatian adalah satu proses untuk menentukan apa yang pelajar tahu
bagaimana hendak melakukan sesuatu tugasan atau operasi dalam masa sebenar.  Ianya merupakan satu
alat pentaksiran yang sesuai untuk mentaksir aspek afektif dan psikomotr pelajar.  Tujuan utamanya
adalah untuk membekalkan data yang bersifat objektif tentang kualiti pencapaian pelajar, termasuklah
proses dan prosedur dalam menyiapkan tugasan dan cabaran yang dihadapi sepanjang proses tersebut.
Maklumat ini boleh digunakan oleh pendidik dalam merencanakan proses dan prosedur pengajarannya.
            Masalah yang mungkin timbul dalam penilaian berdasarkan pemerhatian adalah ketidakadilan
(bias).  Masalah ini sebenarnya tidak akan timbul sekiranya tingkahlaku yang ingin diperhatikan diberi
definisi secara objektif dan boleh dilihat sebagai ada atau tiada.  Sebagai satu panduan dalam
menggunakan kaedah pentaksiran ini, berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan.

            1.  Fahami asas kepada pemerhatian

            2.  Bersedia untuk membuat pemerhatian dengan             3.  Memerhati dan merekod bagaimana pelajar melakukan tingkahlaku tersebut.  Prosedur
                 pemerhatian ini boleh dalam bentuk formal ataupun tidak formal

            4.  Buat ringkasan atau rumusan kepada hasil pemerhatian dengan jelas dan berguna sebagai satu
                 "feedback" kepada setiap pelajar dan kumpulan; dan bantu pelajar dalam menganalisa data
                 pemerhatian dan membuat refleksi tentang bagaimana;

    (b)  Penilaian Melalui Interviu

            Interviu adalah satu proses interaksi di antara penemuramah, iaitu pendidik dengan seorang atau
lebih orang yang ditemuramah (pelajar) di mana soalan dan jawapan diolah dalam bentuk verbal.  Ianya
merupakan satu sumber yang kaya dengan maklumat tentang pemikiran, pemahaman, dan perasaan
pelajar terhadap matematik.  Penilaian sebegini lazimnya melibatkan satu set soalan yang disusun dalam
turutan yang paling sesuai bagi menjana pemerolehan maklumat tersebut.
            Prosedur intervie melibatkan pendidik bersemuka dengan pelajar semasa pelajar menyelesaikan
masalah.  Pelajar tersebut dibiarkan bekerja dengan sendiri untuk mencapai penyelesaian kepada sesuatu
masalah.  Pada masa yang sama, pendidik hendaklah mengetahui apa yang dilakukan, mengapa
dilakukan, bagaimana melakukan, bila melakukan, dan soalan-soalan jurnalis yang lain.