"Garis Bukan Pemisah" Bukti Cinta Penyair Jamaludin D
Oleh MARSLI N.O




SEBAGAI penyair, anak kelahiran Kampung Keladi, Kulim, Kedah yang memakai nama samaran Jamaludin D. ini dapat digolongkan sebagai penyair yang prolifik. Ini telah dibuktikan tidak saja dengan kegencaran beliau dalam berkarya yang boleh dikatakan hampir saban minggu puisinya dapat ditemui di pelbagai media cetak tanah air, tetapi juga dengan penerbitan buku puisi terbarunya Garis Bukan Pemisah (Persatuan Muzium Malaysia, 1999) iaitu selepas Jalur-jalur Rindu (DBP, 1991), Gunung Putih Bunga Benua (Pancang Perak Enterprise, 1993) dan Kawah Gelombang (DBP, 1995).

Keprolifikan penyair ini dalam berkarya, pastilah ada yang menjadi sumber dan dorongannya. Lebih-lebih lagi jika ditelusuri akan hakikat diri betapa seorang penyair itu, juga sekaligus sebagai seorang seniman. Dan sebagai seorang seniman, kerana memiliki daya pengamatan dan kepekaan yang tajam, pastilah hati dan nuraninya akan mudah tersentuh bila mendepani, sama ada sesuatu yang dialami oleh dirinya sendiri mahupun oleh orang lain, yang sekaligus juga akan selalu menjadikan dirinya seorang manusia resah gelisah. Rasa gelisah ini, antara lain diucapkan penyair lewat puisinya berjudul "Kutatap Seribu jendela di Pohon Mati" (halaman 59): Angin menggeliat/ rumpun berjajar di jalanan/ daun kekuningan. kian renggang tangkainya/ menanti gugur/ gerimis salju mengepung tiba,/ kutatap seribu jendela di pohon mati/ hatiku sayu/ gendang telah lama dipalu/ mereka tidak mengerti/ gemersik daunan mengusik kalbu./ Semalaman mereka mengunsi// sepi dan terpinggir/ siapa tahu/ tembakan terus meletus/ siapakah bakal mangsanya/ daun-daun di bumi meratap/ dunia terus menggeliat/ kuntum-kuntum mawar/ kelopaknya berkecamukan.

Resah gelisah ini, bagi seorang penyair yang sekaligus juga seorang seniman, sering menjadi suatu seksaan jika tidak segera dicarikan alternatifnya. Dan alternatif itu, tidak lain jika bukan dituangkannya kembali lewat sebuah karya.

Demikianlah sesungguhnya hakikat seorang seniman itu. Proses ini, selagi dirinya tetap menyedari akan hakikat kesenimanannya itu, merupakan proses yang tidak pernah sudah di sepanjang riwayat hidupnya. Meski lantaran itu penyair sering kali menghadapi sepi, seperti yang diucapkannya lewat puisi berjudul "Bak Sesepi Apa" (halaman 74): Bak sesepi apa?/ menikam birai/ rambut gugur/ berderai hilang/ tapak jalanan/ sesayup ingatan,/ entah sayang/ entah kembali/ entah rapat/ entah mengungsi/ atau hanya sekadar puisi biasa/ daun selebar cekera/ kering di telapak tangan/ pecah berserakan/ keping serpihan gugur/ menamatkan ceritera/ seghairah rasa,/ cinta.

Sebagai seorang penyair yang menyedari akan hakikat kesenimanan dirinya, Jamaludin D. ternyata memanfaatkan sebaik mungkin kebolehan yang dianugerahi Tuhan kepada dirinya ini. Apa saja yang menyentuh mata batinnya, setelah dicernanya sebaik mungkin akan segera dizahirkan dalam bentuk puisi. Lantaran itulah jugalah, sebagai seorang penyair yang agak banyak bergerak atau mengembara, beliau tidak hanya memaparkan apa yang dikesani di sekitar kepompong sempit dirinya sendiri, tetapi sekaligus juga apa yang telah beliau depani sewaktu berada di luar. Puisi-puisi beliau dalam kumpulan Garis Bukan Pemisah ini jelas membuktikannya. Antaranya "Teluk Bayur" (halaman 27), "Bukit Tinggi" (halaman 28) dan "Cambodia Dalam Pahit" (halaman 133).

Perjalanan keluar dari kepompong sempit dirinya ini diakui Jamaludin D. memberikan beliau pengertian dan makna baru terhadap kehidupan kepenyairan dirinya sendiri. Lewat perjalanan jugalah, beliau menemukan "warna peribadi" dan "wawasan penuh erti" seperti diucapkan beliau lewat puisinya "Peta perjalanan" halaman (34): Kabus dinihari menenggelam kemaraan/ terbaris seribu hasrat/ puncak kemenangan lama/ siapa singgah/ menanam semangat dalam tidur lena/ lama begitu lama.// Kabus horizon,/ menerbangkan sayap mimpinya/ bergumpalan menyerkap wajah/ wajah siapa, tertinggal di batas tandus/ berlenangan air mata/ diselimuti gebar tua.// Kabus menipis di lantunan rasa/ matahari menikam suasana/ menyerikan wajah,/ tiba-tiba kilat menyelinapkan jalur cahaya/ bermurung dukakah lagi/ pergi mencium bibir di getar sukma/ mengutip bijian benih di ladang terbuka.// Kabus inilah peta perjalanan/ memimpin sukma mencari lurah arah/ mengatur langkah pancang keyakinan/ menanda warna peribadi/ tidak akan undur lagi/ wawasan penuh erti.

Dengan keyakinan ini jugalah Jamaludin D. meneruskan perjalanan hidup kepenyairannya bagaikan tidak menoleh ke belakang lagi. Bagi Jamaludin D. tiada apa pun yang akan dapat menghalangnya lagi. Keyakinan ini antara lain telah beliau jelmakan di dalam puisi beliau berjudul "Garis Bukan Pemisah" (halaman 123) yang juga dijadikan judul kumpulan puisi terbaru beliau ini: Dongak memerhati puncak bukit/ tinggi mengawan gunung ditemui/ puncaknya disembunyikan awan gemawan/ putih biru tetapi benci merintih.// Sesekali kesejukan,/ diraba bayu sombong berhembusan/ dingin menipis, tangkaplah kabus berarak/ biar jarang tetapi gebu di telapak tangan/ jangan diingkari hasrat murni/ demikian tersurat, bukan layu menyepi/ sisip berani. Garis, bukan pemisah/ di tengah sempadan, sekadar memberanikan/ tanduk tajam menikam suasana/ penawar air doa/ pemanis ratib zikir.

Namun tentu saja keyakinan kental beliau untuk memilih puisi sebagai satu-satunya alat pengucap resah batinnya ini tetap punya landas berpijaknya. Bagi Jamaludin D. segalanya ini bertolak daripada rasa cintanya yang kental, seperti yang diungkapkan beliau di dalam puisinya berjudul "Di Rumah Cinta" (halaman 26): Engkaulah resah semilir di kalbuku/ mendesah di hulu jantung/ mendetak di tangkai hati/ mengimbau ombak darah/ di lautan batiniah// Kuselam dan teguk air atma jiwa/ di limpahan empangan/ bintik hujan mendukung sukma/ mencurah pesan kekasih/ di rumah cinta.

Dengan cintanya yang mendalam itu jugalah Jamaludin D. terus melanjutkan langkah kepenyirannya. Juga, dengan penuh rasa insaf, Jamaludin D. menyedari akan hakikat dirinya sendiri sebagai manusia yang hidup di alam fana dan merasakan dirinya bagaikan sentiasa berlumba dengan waktu. Tetapi ini sedikit pun tidak meresahkan Jamaludin, malah dengan yakin diungkapkan beliau betapa jika nanti beliau akan pergi, dia telah pasti akan ke mana arah serta tujuannya itu, seperti yang diungkapkan beliau di dalam puisinya yang berjudul "Pengembara" (halaman 155): Tidak semestinya/ aku berhenti di sini/ puisiku belum selesai/ sekawan burung terbang/ mengimbau rinduku/ pada-Mu yang dikasihi/ hanya Engkaulah/ dapat memberhentikan segala,/ lalu kurebahkan/ pengembaraanku/ di rumah-Mu.

Memang, kita ini tidak lain adalah pengembara. Tetapi berapa keratkah dari kita yang memilih sikap seperti Jamaludin D., yang menganggap tiada sebarang garis yang menjadi pemisah di antara dunia yang di sini dengan dunia yang di sana dan lantaran itu tidak tega sewenangan berbuat onar?

Kuantan, 23 jun 1999

KEMBALI